IR Malaysia santuni keluarga kurang mampu! Bantuan pek makanan menerusi program MySinggah Ramadan!
Published byMohd Shukor Tahir (tengah) menyerahkan pek makanan Rezeki Ramadan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Pegawai Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia merangkap Pengarah Program MySinggah Ramadan, Aidel Qayyum Mahmood (kanan); Pengerusi Surau Al-Mustaqim, Mohd Nor Pazil (dua dari kanan) dan Pengerusi JPKK Kampung Gadong Jaya, Mohd Shukor Ibrahim (kiri).
Seramai 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan yang diagihkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), Mohd Shukor Tahir pada program MySinggah Ramadan yang diadakan di Surau Al-Mustaqim pada 16 Mac 2024.
Mohd Shukor berkata, agihan itu merupakan sebahagian daripada projek Rezeki Ramadan IR Malaysia tahun ini (2024) yang menyasarkan bantuan kepada lebih 6,000 keluarga kurang berkemampuan di seluruh Malaysia.
“Dalam usaha untuk meringankan beban masyarakat semasa bulan Ramadan ini, Islamic Relief Malaysia meneruskan bantuan Rezeki Ramadan bertujuan untuk memastikan bahawa setiap penerima mempunyai bekalan untuk berbuka dan bersahur selain dapat merasai kegembiraan dan keberkatan bulan yang penuh rahmat ini.
“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, begitulah matlamat Islamic Relief Malaysia di dalam menyantuni golongan yang terkesan dan memerlukan di Malaysia.
"Kami berterima kasih kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang turut menjayakan projek ini,” katanya.
Nurul Atiqah (tengah) menerima bantuan pek makanan Rezeki Ramadan IR Malaysia.
Sementara itu, salah seorang penerima manfaat yang ditemui, Nurul Atiqah, 48, berkata bantuan yang diterima sangat membantu keluarganya apatah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang.
“Alhamdulillah, bantuan ni sangat membantu akak sekeluarga. Sekurang-kurangnya akak tak perlu beli beras. Insya-Allah, pek makanan ni dapat bertahan dalam tempoh sebulan,” katanya.
Dalam program MySinggah Ramadan kali ini, IR Malaysia bekerjasama dengan empat rakan kemanusiaan iaitu Surau Al-Mustaqim, Kumpulan Megaklinik Zahran, Persatuan Mahasiswa Johor (PERMAJ) UKM dan Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS), Shah Alam.
Magdelyn (kiri) bersama salah satu kumpulan peserta aktiviti kanak-kanak.
Selain agihan pek makanan, antara aktiviti lain yang dijalankan sepanjang program ialah gotong-royong pembersihan, aktiviti remaja dan kanak-kanak, ujian saringan kesihatan percuma, merewang dan memasak, ziarah asnaf dan ceramah Ramadan.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Azalinor Abdul Rahman dan Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz daripada kumpulan Saujana serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood.
Dalam pada itu, sukarelawan dari JKE Politeknik Shah Alam, Magdelyn, 20, yang mengendalikan aktiviti kanak-kanak berkata, program MySinggah Ramadan dapat merapatkan hubungan terutama kanak-kanak dalam komuniti tersebut.
“Saya nampak adik-adik ni semakin aktif dan dapat banyak ilmu bila kita buat kuiz. Daripada biarkan mereka asyik dengan gajet, lebih baik buat aktiviti macam ni.
“Saya galakkan remaja-remaja dari umur 16 tahun atau 13 tahun sekalipun, joinlah aktiviti sukarelawan. Walaupun masih muda, banyak yang boleh kita belajar,” kata pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) itu.
Bagi menjayakan misi menyantuni masyarakat di bulan Ramadan tahun ini, IR Malaysia akan meneruskan program MySinggah Ramadan di lokasi kedua pada 23 Mac 2024 di Masjid Al-Huda, Sungai Besar, Selangor. - KitaReporters/Kenyataan Media
Siti Fadilah Mohd Hood (dua dari kanan) menziarahi salah seorang penerima bantuan pek makanan Rezeki Ramadan, Anisah (kiri).