Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntuk sebanyak RM1.27 juta untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu akibat Pandemik COVID-19. 

Peruntukan tersebut disalurkan melalui dua bantuan iaitu Bantuan Kasih YKM dan Bantuan Persekolahan.  

Bantuan YKM melibatkan dua kategori iaitu kategori A yang berusia dari sehari sehingga 15 tahun, menerima sumbangan sebanyak RM2,000, manakala Kategori B yang membabitkan anak-anak berusia 16 tahun sehingga tamat ijazah sarjana muda pertama, menerima sumbangan sebanyak RM2,500. 

Bantuan Kasih YKM akan dikreditkan terus ke akaun penerima dalam tiga fasa iaitu pada 20 Mac 2024 ini, Julai dan November.  

Ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini, pihak Yayasan telah menyalurkan Bantuan Persekolahan sebanyak RM300 kepada setiap  penerima. Ia membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM176,700 dan 589 penerima.




Pengerusi YKM, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan memastikan anak-anak yatim ini mendapat pendidikan yang sempurna sehingga berusia 18 tahun atau tamat ijazah pertama di institut pengajian tinggi.  

“Biarpun sudah dua tahun berlalu, kesan pandemik ini masih terasa. Ada antara anak-anak ini masih trauma.

“Anak-anak ini tidak boleh dilupakan. Mereka masih memerlukan bantuan, bagaimanapun YKM tidak mampu melakukannya bersendirian. 

"Kami  menyeru golongan korporat dan orang ramai untuk bersama-sama  membantu anak-anak ini,” katanya. 



Terdahulu, beliau berbuka puasa dan menyerahkan Bantuan Kasih YKM kepada 109 anak-anak yatim COVID-19 di Hotel IDEAS, Kuala Lumpur. Ia  merupakan simbolik kepada permulaan penyaluran Bantuan YKM bagi tahun 2024.  

Majlis tersebut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YKM, Dato’ Ruhaidini Abd Kadir dan rakan-rakan media.  

Anak-anak tersebut turut dibawa ke Sogo untuk membeli baju raya di Sogo Kuala Lumpur sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri pada  bulan hadapan (April 2024). - KitaReporters/Kenyataan Media



5
14
0
8
0

Copy Link: