SETIAP pusat jagaan khususnya penghuni dalam kalangan warga emas wajar menyantuni mereka itu dengan sebaik mungkin bagi memastikan golongan berkenaan dapat meneruskan kelangsungan hidup selepas disisih oleh ahli keluarga atau hidup sebatang kara tanpa waris.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Munim, berkata warga emas berkenaan mungkin selama ini hidup diselubungi pelbagai kisah silam yang ditempuhi sehingga ada dibuang orang tersayang sehingga menyebabkan hilang tempat bergantung  untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Menurutnya, keadaan itu memaksa warga emas berkenaan mencari tempat untuk berteduh, menagih kasih sayang daripada mereka yang sudi menerima seadanya dengan berhasrat melupai kisah silam sebagai satu pengajaran.



Tambahnya, selaras Malaysia Madani agar negara bertambah baik dan berjaya dalam ekonomi, ia juga merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar serta pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

Jelasnya, namun paling penting memahami nilai konvensional untuk ditekankan yang membabitkan soal insan memupuk rasa kasih sayang, cinta dan hormat menghormati antara satu sama lain serta belas insan melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan.

“Seperti kisah benar yang terkandung dalam buku Terkulai Di Senja Hari terbitan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), nilai-nilai kemanusiaan dan kasih sayang sudah tiada maka menjadikan usaha kerajaan melahirkan warga bertamadun menerusi konsep Madani lebih penting,” katanya ketika berucap pada Program Lawatan dan Santuni Warga Emas PJMM, Semenyih, Selangor, pada 21 September 2023.


Muhammad Kamil Munim menyantuni warga emas PJMM yang terlantar kerana keuzuran


Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha PJMM, Muhammad Shafiq Mohiadin; dan ahli sukarelawan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain beramah mesra dengan warga emas, Muhammad Kamil turut menagihkan cenderamata di samping menyantuni warga emas yang terlantar di atas katil dan melawat sekitar PJMM yang memerlukan bantuan dana untuk melengkapi kemudahan untuk keselesaan penghuni.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dapat memenuhi harapan PJMM untuk hadir menyantuni warga emas pusat jagaan berkenaan yang sering tertangguh kerana berpeluang berkongsi ilmu, kasih sayang dan rezeki dengan penghuni yang rata-rata sudah uzur dan menderita pelbagai penyakit.


Muhammad Kamil (tengah) bersama-sama Azman Rasman (kiri), Muhammad Shafiq Mohaidin dan Mohiadin Bahado (kanan) melihat pelbagai barangan keperluan asas yang diinfak oleh penyumbang pada Program Lawatan dan Santuni Warga Emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor pada 21 September 2023.


Beliau berkata, setiap kejadian yang menimpa serta dilalui warga emas terbabit ada hikmahnya jika sebelum itu mereka terlantar di hospital, kini dihantar ke PJMM untuk meneruskan kehidupan dengan mendapat penjagaan serta perhatian terbaik.

Menurutnya, di PJMM mereka disantuni dengan sempurna, disediakan makanan, minuman serta pakaian malah mewujudkan hubungan baik dengan penghuni-penghuni lain dan berpeluang mengikuti kelas mengaji al-Quran, fardu ain, solat berjemaah dan sebagainya.

“Saya kagum dan amat menghargai pengurusan PJMM ini walaupun sebagai NGO masih mampu mengurus serta menjaga warga emas dengan hanya bergantung kepada dana di samping sumbangan pelbagai pihak yang secara tidak langsung membantu kerajaan menyantuni golongan berkenaan,” katanya yang turut mengumumkan sumbangan bantuan sebanyak RM20,000.


Muhammad Kamil bertanya khabar warga emas perempuan yang menghuni PJMM.


Sementara itu, Mohiadin dalam ucapan mewakili PJMM memaklumkan pusat itu mampu menempatkan kira-kira 100 penghuni tetapi kerana kekangan kos operasi yang mencecah RM65,000.00 sebulan, mereka terpaksa mengehadkan kepada tidak lebih 50 warga emas sahaja.

Menurutnya, pusat itu terbuka kepada semua bangsa yang secara tidak langsung sudah mewujudkan semangat perpaduan sekian lama antara penghuni selepas dirujuk pelbagai pihak termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hospital seluruh negeri selepas terdampar tanpa waris, disisihkan oleh keluarga atau saudara mara.

“Setakat ini, selain dana diinfak pelbagai pihak, PJMM turut menerima bantuan daripada JKM dan Lembaga Zakat Selangor namun jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung kos operasi, menyebabkan kami terpaksa bergerak sendiri mencari sumbangan.


Muhammad Kamil mengagihkan cenderamata sumbangan penginfak kepada penghuni.


“PJMM akan sentiasa berpegang kepada falsafah iaitu kerja kebajikan membantu masyarakat Malaysia yang kurang bernasib baik bersesuaian dengan konsep serta prinsip Madani, ihsan bermaksud peduli dan juga belas kasihan.

“PJMM juga akan berfungsi sebagai pusat khidmat masyarakat dengan membuka peluang kepada semua pihak termasuklah institusi pengajian seperti sekolah, kolej, universiti , syarikat korporat, artis, pusat tahfiz, NGO untuk mengadakan aktiviti amal kebajikan atau menjalankan kajian di samping menjadikannya mesra ibadah pertama di Malaysia,” ujarnya. - KitaReporters


Sebahagian warga emas merakam kenangan bersama Muhammad Kamil.

16
16
0
17
0

Copy Link: