Terbaiklah Abang Viva! Semakin yakin, berpengetahuan! Selesai jalani Kursus Asas Pertahanan Awam!

Published by
KitaReporters


SEBUT Azwan Omar mungkin tidak ramai yang mengenali namun apabila disebut Abang Viva, rasanya satu Malaya mengenalinya!

Terbaharu wira banjir ini berkongsi rasa bangga apabila selesai menjalani Kursus Asas Pertahanan Awam di Ayer Keroh selama tiga hari di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka pada 18 Julai 2022 lalu.

Lelaki berusia 30 tahun itu mengakui banyak ilmu yang ditimba selama menjalani kursus asas berkenaan yang disertai lebih 40 peserta.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Abang Viva


Malah pemuda kelahiran Alor Gajah, Melaka itu yakin untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa bencana terutama melibatkan misi bantuan banjir, jika terlibat dengan kerja-kerja kesukarelaan pada masa akan datang.

“Untuk pengalaman pertama kali sertai kursus APM ini, banyak benda baharu saya pelajari. 

“Sebelum ini saya memang tidak tahu apa-apa, pergi misi bantuan banjir pun secara solo tanpa pengalaman semua, tapi dengan kursus ini stamina kita semakin bertambah,” katanya.

Kongsinya lagi, sepanjang tiga hari menjalani kursus yang dianggap penting itu, Abang Viva berkata pelbagai kemahiran yang diterima dalam program berkenaan termasuklah kemahiran asas penyelamatan seperti bantuan pernafasan dan ikatan tali pada saat kecemasan.



Kini katanya dia sudah memiliki pengetahuan baharu yang akan digunakan sekiranya menyertai misi banjir pada masa akan datang

“Saya sudah tahu bagaimana cara memberikan CPR dan ikatan simpul mati dengan lebih baik, selain menjadi lebih berdisiplin yang mana pengalaman ini tidak dapat di tempat lain.”

“Sebelum ini tengok orang pengsan pun saya lari, sekarang insya-Allah saya boleh bantu dengan ilmu yang ada semasa menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam ini,” katanya lagi.

Kursus yang berlangsung selama tiga hari tersebut disertai 42 peserta terdiri daripada guru, pelajar tingkatan enam dan orang awam.



Azwan mulai dikenali selepas kesungguhan dirinya yang nekad membantu mangsa banjir di Shah Alam pada Disember 2021 

Perjalanan dalam membantu misi banjir dilakukan secara sendiri dengan menggunakan kereta Perodua Viva membawa sebuat bot getah di atas bumbung keretanya.

Ketika menyertai misi berkenaan dia hanya berbekalkan wang tunai sebanyak RM50 iaitu RM20 digunakan untuk mengisi minyak kereta manakala RM30 lagi bagi membeli makanan buat mengalas perut.

Bagaimanapun, berkat keihlasan yang dihulurkan membuatkan dia semakin dikenali. Lebih membahagiakan apabila menerima pelbagai hadiah sebagai menghargai jasanya membantu mangsa-mangsa banjir.

Dia juga pernah menerima  hadiah sebuah motosikal Yamaha XJ6 Diversion bernilai RM30,000 selepas mendapat sebuah kereta pacuan empat roda.

Namun kongsi pemuda berkenaan selepas kisahnya tular, perjalanan hidupnya berubah 360 darjah. Malah, setiap masa rumahnya sentiasa didatangi tetamu yang hadir mahu berjumpa dengannya. - KitaReporters


 

10
14
0
13
0

Copy Link: