PULANGKAN ATAN!! CHE TAM TAK HENTI NANGIS
Published bySUDAH beberapa hari Che Tam tidak berhenti menangis. Namun kelibat Atan masih belum lagi kelihatan malah tiada tanda ia akan ditemui setakat ini. Tolonglah pulangkan Atan!! : KitaReporters
Keakraban antara Che Tam dan seekor kerbau yang dipanggil Atan.
Jika sebelum ini Che Tam pernah menangis semasa kerbau kesayangannya yang dipanggil Atan itu hendak dijual, namun tangisan terhenti dan bertukar keceriaan selepas datuknya tidak jadi menjual haiwan jinak berkenaan.
Namun kini entah sampai bila Che Tam atau nama sebenarnya Nurul Afina Aqila Azman, 6, meratap dan terus menangis selepas kerbau yang begitu jinak dan 'sehati sejiwa' dengannya itu hilang dipercayai dicuri.
Kerbau betina berusia dua tahun setengah itu disedari hilang pada pukul 5 petang pada Sabtu, 25 April 2020 bersama dua ekor lagi kerbau selepas Azman Umar, 29, pergi ke kandang kerbau berkenaan di Ladang Kelapa Sawit Lepar Hilir 2, Gambang, Kuantan, Pahang.
Kerbau yang dipanggil Atan begitu jinak dengan Che Tam
Azman berkata, semasa tiba di kandang yang berjarak kira-kira lima kilometer dari rumahnya itu dia mendapati pagar dalam keadaan tertutup tetapi kerbaunya hilang dipercayai dicuri.
"Sekarang saya buntu kerana Che Tam tak berhenti menangis dan tidak mahu makan pula. Sebagai ayah saya risau, dia juga tidak mahu jika saya belikan kerbau lain.
"Sebelum ini Che Tam pernah demam ketika atuknya hendak menjual kerbau itu menyebabkan ayah saya tidak jadi menjual demi cucunya itu.
"Kali ini saya berasa bimbang dengan keadaannya," katanya di Kuantan pada Isnin, 27 April 2020.
Che Tam sering bermain dan mengusap Atan
Menurut Azman, anak tunggalnya itu sememangnya begitu rapat dengan kerbau berkenaan sejak berusia tiga tahun lagi.
Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir setiap hari anaknya itu akan datang dan bermain dengan Atan di sekitar kawasan kandang berkenaan.
"Anak saya begitu gembira apabila bermain dengan Atan begitu juga Atan yang menunjukkan sikap mesra setiap kali anak saya datang," katanya.
Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya kerbau lain yang hilang tetapi kehilangan Atan begitu memberi kesan kepadanya yang tidak sanggup melihat kesedihan anaknya.
Che Tam masih menunggu Atan akan pulang ke kandangnya.
Justeru beliau merayu sesiapa sahaja yang mengambil kerbau berkenaan dapat memulangkan atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap anaknya.
Katanya, dia juga menawarkan ganjaran sebanyak RM1,000 kepada sesiapa sahaja yang berjaya mengesan kerbau berkenaan yang pada masa ini sedang bunting.
Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Azman melalui talian 012-2170533.
Tiga ekor kerbau termasuk yang dipanggil Atan hilang dicuri di Felda Lepar Hilir 2 di Kuantan, Pahang
KitaReporters.com