Syabas Mazwan Johar! Jualan Ehsan Rahmah barangan keperluan dapur sangat laris! Penduduk bersyukur!
Published by"ALHAMDULILLAH, saya dapat nombor giliran dan membeli barangan keperluan dapur walaupun terpaksa beratur panjang.
"Saya sanggup beratur untuk mendapatkan nombor giliran kerana barang-barang yang dijual di sini semuanya murah, tempat lain tak dapat harga macam ni," kata seorang warga emas, Suhor Abd Aziz, 67, yang hadir di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tapak pasar malam Kampung Sungai Ramal Luar, Kajang, Selangor. Dia memperoleh penjimatan belanja dapur di antara RM5 hingga RM9 setiap kali membeli-belah barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, ikan dan daging dalam jualan itu.Mazwan Johar turun padang menyantuni orang ramai setiap kali program JER diadakan di DUN Sungai Ramal, Kajang, Selangor
“Banyak jimat, minyak masak RM25, ayam (RM10), telur (RM10), cuma beras dah naik harga sikit, dulu RM10 untuk kampit 5 kilogram, sekarang harganya RM13 tapi masih murah berbanding di pasaran.
"Harga sangat berbaloi apatah lagi jika keluarga bersaiz besar dan dalam kalangan berpendapatan rendah (B40). Cuma saya cadangkan beri keutamaan kepada warga emas, kasihan kami terpaksa beratur lama untuk mendapatkan nombor giliran," kata Suhor lagi.Suhor mengakui, datang seawal jam 7.30 pagi untuk memastikan dia mendapat nombor giliran kerana pengunjung terlalu ramai.
"Sekarang orang ramai dah tahu mengenai JER, jadi setiap kali diadakan jualan, pengunjung mencecah sehingga 300 orang. Namun, saya berharap tiada warga asing mengambil kesempatan, petugas JER perlu memberi perhatian perkara ini," katanya.
Suhor Abd Aziz
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mazwan Johar, berkata walaupun tidak memegang sebarang jawatan, beliau akan terus komitmen untuk menyumbang khidmat bakti kepada penduduk di DUN Sungai Ramal.
Melalui JER, pihaknya membantu penduduk meringankan beban kenaikan harga.Walaupun menghadapi masalah bekalan beras, beliau akan pastikan setiap kali ada program ini, stok beras mencukupi. Setakat ini, semua yang hadir mendapat bekalan beras dan jualan barangan lain juga laris.
"Untuk JER Sungai Ramal Luar, kami membawa 400 kampit, lebih sedikit berbanding sebelum ini. walaupun harga beras untuk 5 kilogram dinaikkan dari RM10 kepada RM13 tapi masih murah berbanding pasaran yang dijual di antara RM18 - RM20.
Orang ramai yang mendapat nombor giliran beratur untuk membeli barang keperluan di JER Sungai Ramal Luar, Kajang, Selangor.
"Saya memberi jaminan, kerajaan negeri akan meneruskan program ini sehingga akhir tahun. Dan, setiap kali ada JER, kami akan memaklumkan kepada penduduk sama ada melalui poster, FB Mazwan Johar dan saluran media sosial lain," tambah beliau. Katanya, ada juga bertanya kepadanya mengapa JER tidak diadakan pada Sabtu dan Ahad kerana orang ramai mudah untuk datang membeli barang berbanding hari biasa.
"Mungkin ada yang tidak faham kerana untuk mendapatkan slot JER pada Sabtu dan Ahad terpaksa bersaing dengan tempat-tempat lain di Selangor. Jika penduduk mahu juga tarikh itu, mereka terpaksa menunggu giliran lebih lama.
"Sebab itu saya ambil keputusan buat hari bekerja tapi rasanya tiada masalah kerana kebanyakan golongan yang datang dari B40, isteri tidak bekerja, jadi boleh datang. Selain itu hebahan sudah dibuat lebih awal, mudahlah mereka merancang," katanya.
Minyak masak antara barangan yang dijual di JER dan sentiasa mendapat permintaan tinggi orang ramai.
Beliau juga mengambil perhatian terhadap aduan penduduk bahawa ada warga asing mengambil kesempatan membeli barang di JER setiap kali program itu diadakan.
"Saya maklum mengenai perkara ini dan keputusan yang kita buat ialah petugas akan meminta pembeli yang mencurigakan dan disyaki warga asing supaya menunjukkan kad pengenalan mereka.
"Pada peringkat awal, ada juga penduduk yang disangka warga asing tapi apabila diminta menunjukkan kad pengenalan, mereka warga tempatan. Jadi, saya minta petugas saya lebih berhati-hati dan jika berlaku kes sedemikian, saya meminta maaf. "Bagaimanapun, kaedah memeriksa kad pengenalan akan tetap diteruskan kerana ia salah satu cara untuk memastikan tiada warga asing mengambil kesempatan untuk mendapatkan barang keperluan di program JER," katanya. - KitaReporters
Bekalan beras yang lebih murah di JER berbanding pasaran menyebabkan stoknya terpaksa ditambah setiap kali jualan diadakan kepada orang ramai.