Lidah Pengarang| Hati-hati main mercun! Kebakaran deretan kedai di Pekan Jitra Lama jadi peringatan!
Published byInsiden kebakaran yang berlaku malam tadi, 16 Mac 2025 di deretan kedai Pekan Jitra Lama telah mengejutkan banyak pihak. Difahamkan, kebakaran ini berpunca daripada mercun yang dinyalakan berdekatan kawasan tersebut.
Api yang marak dengan pantas menyebabkan kemusnahan besar, sekali gus memberi peringatan kepada kita semua tentang bahaya mercun yang sering dimainkan tanpa kawalan terutama menjelang musim perayaan.
Setiap kali tiba musim perayaan penggunaan mercun dan bunga api semakin meningkat.
Walaupun ia dianggap menjadi sebahagian daripada kemeriahan sambutan mana-mana perayaan hakikatnya mercun boleh mendatangkan bahaya besar jika tidak dikendalikan dengan betul.
Tragedi kebakaran ini harus menjadi pengajaran kepada kita semua agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menyambut perayaan.
Api merebak begitu cepat dan memusnahkan deretan kedai.
Nasihat Kepada Ibu Bapa
Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengawal dan mendidik anak-anak mengenai bahaya bermain mercun.
Jangan biarkan mereka membeli atau menyalakan mercun tanpa pengawasan dan pastikan mereka faham bahawa mercun bukan sekadar permainan tetapi boleh menjadi punca kemusnahan dan kecederaan yang serius.
Nasihat Kepada Anak-Anak dan Remaja
Bermain mercun mungkin menyeronokkan tetapi risikonya amat besar dan dinasihatkan jangan ambil ringan tentang keselamatan diri dan orang sekeliling.
Ingatlah bahawa satu kesilapan kecil boleh membawa padah seperti kebakaran, kecederaan atau lebih buruk lagi kehilangan nyawa. Raikan perayaan dengan cara yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Nasihat Kepada Masyarakat dan Orang Ramai
Masyarakat harus lebih peka dan prihatin terhadap aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan awam dan jika melihat anak-anak atau remaja bermain mercun secara berbahaya segera ambil tindakan dengan menegur atau melaporkan kepada pihak berkuasa jika perlu.
Sikap tidak peduli boleh membawa kepada tragedi yang lebih besar.
Kebakaran di Pekan Jitra Lama malam tadi bukan sekadar satu insiden biasa tetapi satu peringatan serius kepada kita semua.
Keselamatan harus diutamakan agar kegembiraan perayaan tidak bertukar menjadi duka dan sama-samalah kita mengambil iktibar dan bertindak dengan lebih bijak demi kesejahteraan bersama. - KitaReporters
Orang ramai sedang menyaksikan kebakaran deretan kedai itu.