"BAYANGKAN bagaimana gembiranya golongan asnaf apabila kami menghantar sendiri sehingga ke pintu rumah mereka. Dan, melihat senyuman mereka sudah memadai untuk menghilangkan penat, keletihan dan bahang panas ketika memasak bubur lambuk ini.

"Inilah peluang mereka menikmati bubur lambuk yang kami masak kerana mungkin sebelum ini mereka tiada peluang untuk mendapatkan, jadi mereka boleh makan sepuas hati dan mendoakan untuk semua yang menderma bagi program ini.

"Ada yang terharu dan mengucapkan terima kasih kepada Misi Amal kerana sanggup bersusah payah meredah perjalanan  jauh, masuk ke kawasan penempatan mereka semata-mata untuk menghantar bubur lambuk untuk dikongsi bersama mereka," kata Timbalan Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Tina Wardi. 

Inilah barisan sukarelawan Misi Amal yang membantu menyiapkan masakan bubur lambuk untuk diagih-agihkan kepada golongan asnaf dan badan kebajikan.


Beliau yang juga Penyelaras Program Bubur Lambuk Misi Amal berkata, sempena Ramadan tahun ini, mereka mengenal pasti tiga lokasi untuk mengagih-agihkan makanan itu iaitu Stesen Shell Jalan Reko bagi membolehkan pemiliknya memberi 120 pek bubur lambuk secara percuma kepada pelanggan yang datang mengisi minyak di tempatnya.      

"Lokasi kedua ialah pengagihan 130 pek bubur lambuk dan kuih muih kepada golongan asnaf di Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan ketiga di Rumah Sahabat, Sungai Tekali sebanyak 150 pek selain sumbangan bahan mentah seperti beras, minyak masak, telur, kuih muih, ayam sejuk beku, ikan dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri ahli Misi Amal di Bandar Baru, Bangi, Selangor.

"Semua agihan bubur lambuk akan diuruskan Biro Penggerak merangkap Bendahari Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Ustazah Norhayati Sulaiman. 

"Beliau juga mengenal pasti golongan asnaf dan lokasi untuk menghantar bubur lambuk dan sumbangan bahan mentah. Kami juga mengagih-agihkan makanan itu kepada jiran dan ahli Misi Amal," kata Tina lagi.   


Tina Wardi


Mengenai persiapan memasak, katanya ramai ahli yang membantu malah beliau sudah membahagikan tugas mengisar bahan mentah seperti halia, bawang putih dan merah. Ini menyebabkan kerja lebih mudah dan apabila datang, kerja menumis boleh dimulakan lebih awal dan dalam tempoh tiga jam, bubur lambuk siap dimasak dan disejukkan sebelum dimasukkan dalam bekas makanan.

"Dengan bantuan seramai 15 sukarelawan, kerja-kerja memasukkan bubur lambuk dalam bekas siap jam 12.30 tengah hari dan Ustazah Norhayati bersama timnya boleh mengagih-agihkan makanan itu ke lokasi yang dikenal pasti selepas solat zuhur bagi membolehkan penerima menikmatinya untuk hidangan berbuka puasa.

"Alhamdulillah, kos menyediakan bubur lambuk itu sebanyak RM700 disumbang oleh ahli-ahli Misi Amal dan orang ramai manakala kerja-kerja memasak makanan itu juga mudah kerana ini tahun keempat kami menyediakan hidangan itu, cuma tahun ini kami menghantar sendiri ke rumah golongan asnaf dan lokasi terpilih berbanding memberi kepada pengguna kenderaan dan orang ramai yang lalu lalang, tahun lalu," kata Tina.     

Kerja memasak dan menyiapkan bubur lambuk dilakukan secara gotong royong bagi mengeratkan hubungan ukhwah di kalangan ahli Misi Amal.


Ditanya keistimewaan bubur lambuk Misi Amal, katanya cara penyediaan tiada banyak perbezaan berbanding dilakukan di tempat lain, cuma beliau memasukkan kacang kuda sebagai perasa tambahan bagi membolehkan rasanya lebih enak kerana kacang kuda memang berkhasiat dan berlemak, selepas dimasak rasanya lembut dan sedap.

"Saya menggunakan lima kilogram kacang kuda, lima kilogram daging dan 10 kilogram beras. Dan, campuran itu boleh menghasilkan 450 pek bubur lambuk untuk diserahkan kepada golongan yang memerlukan.

"Resepi bubur lambuk ini saya dapat daripada keluarga di Johor, memang menjadi tradisi adik beradik dan saudara mara memasak bubur lambuk setiap kali Ramadhan, jika tidak menikmati hidangan itu pada bulan puasa, rasanya tidak lengkap Ramadan tahun itu," kata Tina sambil tersenyum.     

Walaupun penat dan bahang cuaca yang panas, mereka tetap gembira menyiapkan hidangan bubur lambuk untuk diberikan kepada orang ramai.


Harapan Tina, program memasak bubur lambuk itu akan diteruskan sampai bila-bila kerana ia amat baik bagi mengeratkan ukhuwah antara ahli, menghidupkan semula aktiviti merewang yang kini hampir dilupakan masyarakat termasuk di kampung dan generasi muda.

"Kerja-kerja gotong royong dan merewang ini patut diteruskan atau ia akan dilupakan terus dan menjadi sejarah jika kita tidak menghidupkan semula. Inilah tujuan kami memasak bubur lambuk selain memberi peluang golongan memerlukan seperti asnaf untuk merasai makanan itu.

"Saya amat berpuas hati dengan usaha yang dilakukan selama ini, selain dapat rewang dan bergotong royong, usaha Misi Amal juga membantu golongan yang memerlukan. 

Ustazah Norhayati Sulaiman menunjukkan bekas bubur lambuk siap dengan pelekat Misi Amal untuk diberikan kepada golongan asnaf.


Bubur Lambuk Misi Amal yang dimasak menggunakan resepi warisan keluarga dan campuran kacang kuda menjadikan hidangan itu enak untuk sajian berbuka puasa.


"Sambil menyampaikan sumbangan bahan mentah dan agihan bubur lambuk, kami juga dapat menyantuni mereka, bertanya khabar selain merebut pahala 10 terakhir Ramadan. Inilah peluangnya jika sesiapa mahu berkongsi rezeki dan bersama kami untuk membuat kebajikan, insya-Allah kami akan membantu mereka," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, orang ramai boleh mengikuti aktiviti pertubuhan itu melalui FB, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor atau datang sendiri ke ibu pejabatnya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk melihat aktiviti perkebunan yang dilakukan ahli-ahli bagi menambah dana pertubuhan itu.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, bernombor 562263560241 (Maybank). 


Orang ramai gembira menerima sumbangan bubur lambuk yang dijadikan program tahunan setiap kali Ramadan. 


Selain bubur lambuk, Misi Amal turut memberi sumbangan bahan mentah seperti minyak masak, beras, sayur-sayuran, ikan dan ayam kepada Rumah Sahabat di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.

 

12
15
0
10
0

Copy Link: