Lagu 'Zuraida' yang dimuatkan dalam album sulungnya menjulang nama Azman Idris sebagai salah seorang artis popular pada era 1980-an. - Kredit foto: Media sosial.


Masih ingat dengan Azman Idris, pelantun suara untuk lagu ‘Zuraida’ yang popular pada sekitar tahun 1980an dahulu?

Generasi sekarang mungkin tidak mengenali siapa dia malah generasi lama juga mungkin sudah ada yang terlupa kepada penyanyi ini sedangkan yang ingat pula mungkin tertanya-tanya ke mana beliau menghilang?

Tidak ramai yang tahu bahawa Azman, 61, kini terlantar di rumahnya di Taman Selayang, Batu Caves, Selangor, dan berjuang melawan penyakit kanser prostat tahap empat serta masalah buah pinggang tahap lima!

Isterinya, Madinah Abu Bakar memberitahu KitaReporters, Azman dikesan menghidap kanser pada 2017 lalu dan sejak itu kerap keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan artis veteran


Namun, sejak lima bulan kebelakangan ini, keadaannya semakin teruk sehingga menyukarkan pergerakan menyebabkan beliau hanya mampu berbaring di tempat tidur.

Bagai jatuh ditimpa tangga, penyanyi itu menerima satu lagi berita buruk apabila doktor mengesahkan buah pinggangnya pula mengalami kerosakan yang memerlukan beliau menjalani dialisis.

“Azman mula mengalami masalah kesihatan apabila mengalami bengkak kaki kiri. Ketika itu kami menetap di Kulim (Kedah) kerana Azman mempunyai kontrak sebagai artis residen Monrods Kulim dengan membuat persembahan di sebuah restoran milik syarikat itu di sana.


Sejak lima bulan lalu Azman hanya mampu berbaring kerana menghidap kanser serta masalah buah pinggang yang kronik. - Kredit Foto: Madinah Abu Bakar.


“Pada awalnya, Azman menyangka dia mengalami gout dan hanya mengambil ubat. Tapi, bila keadaannya semakin teruk, kami membawanya ke hospital.

“Pemeriksaan dilakukan di Hospital Kulim mengesahkan dia menghidap kanser prostat tahap empat. Selama sebulan dia terlantar di Hospital Kulim sebelum dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang,” cerita Madinah.

Madinah berkata, sebelum ini Azman tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat serta aktif membuat persembahan di restoran berkenaan sejak 2012.

Menurut Madinah, sejak disahkan menghidap kanser, Azman kerap keluar masuk hospital sehingga menjejaskan kerjayanya sebagai penyanyi namun atas keprihatinan majikannya (pemilik Monrods), Roslan Zainol Abidin, beliau tetap dibayar gaji walaupun tidak mampu lagi membuat persembahan.

“Pada November lalu (2020), kami mengambil keputusan untuk kembali ke sini (Selangor) untuk memudahkan rawatannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana lebih dekat berbanding jika kami berulang-alik dari Kulim ke Pulau Pinang.

“Semasa baru balik ke sini, Azman masih boleh duduk dan berjalan walaupun terpaksa dibantu. Tapi, sejak empat atau lima bulan kebelakangan ini kesihatannya semakin merosot sehingga dia hanya mampu berbaring sahaja.


Azman sentiasa ditemani isteri, Madinah Abu Bakar serta anak-anak selepas tidak mampu bangun dan bergerak. - Kredit foto: Madinah Abu Bakar.


“Banyak temu janji dengan doktor terpaksa kami batalkan kerana Azman tidak mampu bangun apatah lagi untuk berjalan. Sepatutnya, dia perlu berjumpa doktor pakar sekurang-kurangnya tiga kali sebulan tapi setakat ini sudah enam kali kami gagal hadir.

“Baru-baru ini, saya terpaksa menyewa ambulans untuk membawanya ke HKL. Saya sangat berterima kasih kepada Uncle Kentang (Kuan Chee Heng) kerana menyediakan perkhidmatan ambulans hanya dengan bayaran RM100, kalau syarikat lain mereka minta antara RM300 hingga RM500.

“Selain masalah kanser, dia kini disahkan pula mengalami penyakit buah pinggang tahap lima. Pada awalnya, doktor mencadangkan agar Azman menjalani dialisis dan kimoterapi tapi keadaannya yang lemah menyebabkan doktor menangguhkan proses itu.

“Kini, Azman hanya bergantung pada ubat untuk menahan sakit kerana itu sahaja yang mampu dilakukan oleh doktor malah kerana keadaannya sekarang, doktor membenarkan dia menjalani pemantauan dari rumah dengan bantuan sebuah NGO, Kasih Hospice Care,” katanya.


Semasa sihat dulu, Azman aktif membuat persembahan di sebuah restoran di Kulim, Kedah dengan menjadi artis residen kepada Monrods Kulim. - Kredit foto: Azman Idris. 


Mengenai kehidupan mereka yang perlu turut menanggung lima orang anak berusia antara 8 hingga 23 tahun, Madinah melahirkan rasa syukur kerana banyak menerima bantuan pihak yang prihatin dengan nasib Azman.

Selain menerima bantuan wang perbelanjaan bulanan sebanyak RM650 dan bantuan sewa rumah sebanyak RM800 daripada Pusat Zakat Selangor (PZS), bekas majikan Azman, Monrods memberi ‘pencen ilat’ sebanyak RM500 sebulan.

Pada masa sama persatuan penduduk, komuniti setempat serta beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa tampil membantu dengan menghulurkan barang keperluan dapur.

Malah, walaupun sudah tidak aktif menyanyi, persatuan seni seperti Seniman, Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP), Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Astro dan beberapa badan lain juga tidak lupa menghulurkan bantuan.

“Malah, kawan-kawan sekolahnya dari Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) juga kerap menziarahinya sambil menghulurkan sumbangan.

“Pada masa sama, saya berniaga makanan secara kecil-kecilan dengan mengambil tempahan daripada jiran-jiran di sekitar tempat tinggal saya. Sedikit sebanyak ia dapat membantu sumber kewangan kami.


Pemilik Monrods Kulim, Roslan Zainol Abidin banyak membantu Azman sejak beliau jatuh sakit dan tidak mampu lagi mencari rezeki sebagai penyanyi. - Kredit foto: Azman Idris.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu. Ia bukan sahaja meringankan beban kehidupan kami malah memberi semangat kepada Azman untuk terus berjuang melawan penyakit ini,” kata Madinah.

Sepanjang pembabitan sebagai artis rakaman, Azman atau nama sebenarnya Shahrulzaman Idris, menghasilkan tiga album solo, Zuraida, Dilamun Rindu dan Kembali serta album Akan Ku Bahagiakan Hidupmu bersama Kumpulan Angka (Digital).

Namun, satu-satunya lagu menjulang nama Azman adalah ‘Zuraida’ yang pernah bersaing dengan lagu ‘Rindu Bayangan’ (Carefree) mengungguli rancangan carta lagu popular di Radio Televisyen Malaysia (RTM). – KitaReporters

Sejak disahkan menghidap kanser prostat, Azman kerap keluar masuk hospital. - Kredit foto: Azman Idris


Madinah merupakan sumber kekuatan Azman dalam menghadapi penyakit dialaminya malah sentiasa berada di sisinya untuk memberi sokongan moral. - aaKredit foto: Madinah Abu Bakar.

32
6
66
8
7

Copy Link: