SELEPAS lima hari keluarga remaja perempuan mangsa bunuh kehilangan anak kesayangan, keluarga Siti Nur Surya Ismail masih dalam keadaan trauma serta diselubungi perasaan sedih dan pilu. Namun mereka terus menerima ramai tetamu termasuk orang kenamaan dan pemimpin setempat yang mengunjungi keluarga terbabit termasuk Ustaz Ebit Lew sebagai tanda simpati dan sokongan. : KitaReporters


Ismail Muda memeluk Ustas Ebit sambil menitiskan air mata kesedihan. Kredit foto:  FB Ustaz Ebit Lew


Lagi cerita-cerita berkaitan Siti Nur Surya Ismail:

https://kitareporters.com/search?search=siti+nur+surya


Kehadiran beberapa pemimpin dan tokoh masyarakat yang berkunjung ke rumah keluarga mangsa terbabit sedikit sebanyak mengubat kesunyian perasaan rindu selepas mengalami peristiwa hitam dalam sejarah hidup mereka.

Kemunculan tokoh masyarakat dan agama Ustaz Ebit Lew yang berkunjung ke rumah keluarga mangsa yang disambut oleh bapa arwah Ismail Muda, 58, dengan penuh terharu dan linangan air mata kesedihan.

Kelihatan Ustaz Ebit Lew dan Ismail berpelukan seolah-olah sudah kenal lama sedangkan pertemuan mereka hanya baharu semalam, Rabu 4 November 2020.



Ustaz Ebit berpeluang menziarah ibu mangsa Zaini Musa yang terlantar sakit ketika berkunjung ke rumah keluarga mangsa bunuh, Siti Nur Surya Ismail. - Kredit foto: FB Ustaz Ebit


“Sayu pilu sangat rasa hati perginya adik Siti Nur Surya. Sampai jer rumah mereka. Ayahnya terus datang peluk,” begitulah catatan menerusi Facebook Ustaz merujuk kepada pertemuan tersebut. 

Katanya, "beratnya ujian mereka. Tadi berkongsi kisah Nabi Yakob AS kehilangan Nabi Yusuf AS. Kisah ujian Nabi SAW yang kita cintai.  Dapat berdoa bersama semua ahli keluarga. Saya beri sedikit sumbangan. Semoga Allah beri kekuatan buat seluruh ahli keluarga." 


Ustaz Ebit sedang mengaminkan doa bersama Ismail untuk kesejahteraan keluarga Siti Nur Surya. - Kredit foto: FB Ustaz Ebit


Ustaz Ebit menulis, "Ismail berkata, dia menangis. Terharu ustaz hadir ke sini. Saya pun tak tahan rasa sedih. Ya Allah. Saya tak dapat lupa ustaz. Air mata asyik mengalir jer cerita tentang arwah. Arwah anak baik. Beliau selepas SPM sentiasa jaga maknya yang sakit kanser. Boleh urus seorang diri dibantu adik perempuannya tingkatan Tiga.

"Arwah Siti Nur Surya, 19, sanggup korban belajar sebab nak jaga mak dekat rumah. Mandikan dan uruskan mak nya sentiasa. Maknya kenal saya. Katanya selalu tengok saya walau dalam keadaan tak sihat."


Hanafiah Mat  menziarah ibu arwah mangsa bunuh.


Sementara itu, Kerajaan Negeri Terengganu sedia membantu dan membuat pemantauan secara berkala kepada keluarga Allahyarhamah Siti Nur Surya yang ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu pada 1 November 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi membantu keluarga ini meneruskan kehidupan mereka, terutama ibu mangsa, Zaini Musa, 55, yang terlantar lumpuh akibat kanser otak.


Hanafiah menyampaikan sumbangan kepada Ismail


"Kerajaan Terengganu akan beri sokongan dari segi moral, bantuan kewangan dan sebagainya kepada keluarga mangsa. Untuk hari ini, saya serahkan sumbangan mewakili Pengerusi Darul Iman di samping bantuan serta khidmat kaunseling dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Tabung Darul Iman yang akan diberikan dari semasa ke semasa," katanya ketika menziarahi keluarga arwah mangsa pada hari ini, 5 November 2020

Keluarga Siti Nur Surya yang mati dibunuh dengan kejam masih lagi trauma dan tidak mampu menjejakkan kaki ke kediaman mereka di Kampung Lubuk Batu, Telemong, Hulu Terengganu yang menjadi lokasi pembunuhan tragis gadis 19 tahun itu.


Ismail menceritakan sesuatu kepada Hanafiah Mat


Ismail berkata selepas kejadian ngeri yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik itu, mereka sekeluarga masih belum mendapat kekuatan untuk pulang ke kediaman mereka dan kini tinggal buat sementara waktu di rumah arwah datuknya di Kampung Beladau Selat, Kepong, Kuala Terengganu.

"Masih terbayang di ingatan saya keadaan kakak (Siti Nur Surya) yang berlumuran darah ketika ditemui di ruang tamu rumah. Itulah yang menyebabkan saya sendiri belum mampu balik ke rumah di Telemong selepas kejadian itu. 

“Hanya anak-anak lelaki sahaja yang berulang alik melihat rumah dan mengambil barang keperluan seperti pakaian, namun tiada siapa yang sanggup bermalam di sana buat masa ini,” katanya.


Hanafiah Mat  mendengar sesuatu yang diceritakan oleh Ismail


Dalam kejadian pada 1 November 2020 , mayat Siti Nur Surya ditemukan dengan kesan tetakan pada badan serta putus tangan kiri di ruang tamu rumah oleh adik perempuannya, Nor Liyana Syuhada, 15, semasa pulang dari sekolah kira-kira pukul 2.30 petang 1 November 2020.

Susulan kejadian itu, seorang pelajar perempuan tingkatan enam yang juga rakan sekolah arwah telah ditahan reman tujuh hari sehingga 9 November 2020 bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - KitaReporters

1
2
8
0
1

Copy Link: