Covid-19: Lebih 3.5j dijangkiti, lebih 73k maut! Argentina buat perintah lockdown sekali lagi!
Published byKEADAAN pesakit yang menerima rawatan Covid-19 di salah sebuah hospital di Argentina. - Kredit foto DW.com
DENGAN kadar jangkitan pandemik Covid-19 yang disahkan di Argentina melebihi angka 3.5 juta, dan angka kematian melebihi 73,000 orang sehingga kini, negara Amerika Selatan yang kini menghadapi gelombang kedua Covid-19 itu tiada pilihan lain untuk mengekang penularan selain sekali lagi mengenakan lockdown.
Ketika gelombang pertama Covid-19 melanda Argentina pada 2020, negara itu mengenakan perintah lockdown untuk tempoh yang lama, iaitu dari bulan Mac sehingga Julai 2020.
Kini dengan angka jangkitan harian mencecah hingga 35,543 pada Selasa 18 Mei 2021, dan berlegar dalam lingkungan itu untuk beberapa hari, Argentina bertindak menguatkuasakan lockdown bermula dari 22 Mei hingga 31 Mei 2021, yang pertama untuk tahun 2021 ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lockdown
PRESIDEN Argentina, Alberto Fernandez, menyifatkan keadaan Covid-19 di negara itu sangat kritikal. - Kredit foto Britannica
Memetik laporan Aljazeera, lockdown ini yang dikenali sebagai ‘circuit breaker’ atau pemutus litar, bertujuan memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam usaha mengurangkan angka jangkitan dan kematian dalam kalangan penduduk negara itu.
Pelaksanaan lockdown tersebut, akan mengehadkan pergerakan orang ramai serta menggantung semua kegiatan sosial, bisnes, pendidikan, keagamaan dan sukan.
Bagaimanapun pekerja yang mempunyai kebenaran khas akan dibenarkan melakukan aktiviti mereka.
Presiden
Argentina, Alberto Fernandez dalam siaran ke seluruh negara melalui TV,
menyifatkan negara itu kini sedang melalui fasa kehidupan yang paling buruk
sejak pandemik Covid-19 melanda tahun 2020.
Memandangkan
angka jangkitan dan kematian semakin meningkat, dia mahu rakyat memandang
serius gejala yang sedang berlaku. Dia mahu mengelakkan apa yang sedang melanda
sekarang menjadi tragedi bagi Argentina.
Selepas tempoh lockdown berakhir pada 31 Mei 2021, Alberto menjangkakan langkah pencegahan Covid-19 akan kembali ke asal, iatu perintah berkurung dari pukul 8 malam hingga 6 pagi. Selain itu kegiatan bisnes dan rekreasi dalam kawasan tertutup tidak dibenarkan.
Pada 5 Jun 2021 pula, kuarantin mandatori dikenakan kepada penduduk.
Pada permulaan pandemik tahun 2020, ketika Argentina melaksanakan lockdown pertama, kesan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat sangat ketara. Aspek inilah yang diberi perhatian serius apabila kerajaan melaksanakan lockdown kedua ini.
Menurut
Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO), tiga daripada lima negara di dunia
yang mempunyai kadar jangkitan teritinggi terletak di benua Amerika, iaitu
Brazil, Amerika Syarikat dan Argentina.
Namun ketika kadar
jangkitan di Amerika Syarikat menurun kerana kempen suntikan yang agresif,
kadar di Argentina terus meningkat. Antaranya kerana bekalan vaksin yang tidak
mencukupi.
Menurut Our
World in Data, sehingga ini dianggarkan hanya 18 peratus penduduk Argentina
menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya sekali, seperti juga Brazail di
mana tahap jangkitan juga tinggi.
Menyedari sektor ekonomi akan terkesan akibat lockdown 22 hingga 31 Mei 2021 ini, kerajaan Argentina akan memberi bantuan kepada sektor tersebut.
Selain itu, empat juta dos vaksin Sputnik V dan AstraZeneca dijangka sampai ke negara itu tidak lama lagi. - KitaReporters.com
PENGGALI kubur di tanah perkuburan Memorial, (kiri) bersama rakannya memakai pakaian perlindungan keselamatan untuk pengkebumian mayat pesakit Covid-19 di Buenos Aires, Argentina.-Kredit Reuter.