Video| Remaja maut digilis lori! Mahu bertemu kakak untuk bayar hutang! Dan mohon 'cuti' bekerja!
Published byAllahyarham Danial Haris (depan sekali) bersama keluarga pada Hari Raya Aidilfitri lalu. - Kredit gambar: FB Zaini Ahmad
BARU dua tiga hari membantu di Rumah Kopi ZAS milik ibunya di Anggun City, Rawang, Selangor dan dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Taman Bayu Permai yang tidak jauh dari situ untuk membayar hutang kakaknya, sebelum motosikalnya yang ditunggang oleh remaja ini dikatakan terbabas di jalan berlubang yang meragut nyawanya akibat digilis oleh lori pada 10 Mei 2022 lalu.
Remaja itu, Allahyarham Danial Haris Rosli, 18, adalah anak bongsu bekas Ketua Muslimat Masjid Cahaya Iman di Bandar Country Homes, Zaini Ahmad yang sedang menuju ke rumah kakaknya jam 5.30 petang apabila motornya dikatakan termasuk ke jalan berlubang, menyebabkan dia dalam keadaan tidak seimbang sebelum terjatuh ke jalan raya dan diheret oleh lori. Pemandu lori itu dilaporkan tidak nampak susuk tubuhnya.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kejadian kemalangan maut
"Danial baru habis kerja di Rumah Kopi ZAS (Zaini, Aina dan Shakila), biasanya pulang menunggang motosikal di jalan belakang yang lebih dekat dengan rumahnya. Tapi sudah takdir, dia berkeras untuk menemui kakaknya semata-mata untuk membayar wang yang dipinjamnya." kata ibu angkatnya, Linda Hefnie.
"Menantu saya yang juga kakaknya sudah meminta jangan datang, Danial pula yang beria-ria mahu datang ke rumahnya. Dia juga minta upah kerja termasuk wang yang belum diambil sejak bekerja di kedai itu dua tiga hari lalu, terus dia menunggang motosikal melalui jalan itu yang dia tidak biasa," katanya ketika ditemui di rumah besannya di Bandar Country Homes pada Khamis, 12 Mei 2022 .
Linda yang sudah dianggap sebagai "ibu" oleh arwah Danial, berkata remaja itu sangat baik, lemah lembut dan sangat menghormati orang tua. Sebelum meninggal dunia, dia sempat bergurau dengan ibunya, Zaini untuk berkahwin muda.
Arwah juga ada menyuarakan cadangan supaya ibunya menjadikan sebahagian daripada banglo yang menjadi kediaman mereka sebagai rumah tumpangan kerana "besar dan dia berasa sunyi".
Linda Hefnie
Danial yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bercita-cita menjadi jurutera dan membantu kedai kopi milik ibu dan kakaknya bagi mengisi masa.
Rumah Kopi Zaini, Aina dan Shakila (ZAS) itu adalah antara kedai kopi popular dalam kalangan orang ramai di sekitar Rawang kerana keenakan seperti kopi luar negara.
"Selepas beberapa hari bekerja dan mendapat upahnya Danial memohon untuk "bercuti" dan kami tidak menduga permohonannya untuk bercuti adalah untuk meninggalkan kami selama-lamanya," katanya yang sudah reda dengan pemergian "anaknya" kerana itu sudah suratan takdir.
Malah beberapa minggu sebelum ini, Linda juga hairan dengan perubahan sikap Danial yang melayannya agak dingin dan tidak menyangka itu adalah petanda remaja itu mahu meninggalkannya dengan "kenangan" yang akan kekal dalam ingatan sepanjang hayatnya.
Kad pengenalan yang dipaparkan dalam WhatsApp Surau Bayu Permai ketika mencari warisnya.
Menurut Linda lagi, Danial adalah remaja yang sangat suka membantu rakan-rakan sekolahnya dan biarpun dibesarkan dengan kemewahan dia dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan hormat rakan-rakannya.
Malah sebahagian besar rakan sekolahnya datang memenuhi ruang masjid untuk bersolat jenazah dan menemani ketika jenazah itu disemadikan di Tanah Perkuburan Country Homes.
"Semua impian kami untuk melihat dia berjaya hancur bersama pemergiannya. Apapun kami reda kerana dia anak yang sangat manja dan soleh. Satu-satunya yang paling disayangi oleh ibu kerana dia menemani orang tuanya di rumah.," katanya.
Linda turut memberitahu, dia sendiri pernah bergurau dengan arwah, siapa saja yang menjadi pasangan hidupnya tentu bahagia dan gembira kerana lauk kegemarannya ialah nasi putih, berlaukkan ayam yang tidak kira dimasak dalam apa cara sekalipun. Janji lauk ayam. - KitaReporters
Linda (kiri) adalah kenalan lama Zaini yang kemudian akrab sebagai besan.