DUDUKLAH KEK RUMAH ONTOK-ONTOK - ABAH KJ
Published by“KALAU nak minam teh kek kodai, sabar dulu. Kalau nak jongok sedaro kek rumah dio, pun sabar dulu. Sebab Esey dimaklumkan kebanyakan kes di Ghombau berpunco dari keluargo terdokek. Kita jago sesamo kito, kalau tak ado urusan mustahak, duduklah kek rumah tu ontok-ontok. Agak-agak ehh paham ko tak cakap Esey ni? : KitaReporters
Tangkap layar hantaran Khairy mengenai pesanan duduk di rumah buat penduduk Rembau. (https://www.facebook.com/Khairykj/)
Hantaran terbaharu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam laman Facebooknya malam tadi (Sabtu, 4 April 2020) menarik perhatian netizen apabila ditulis dalam dialek Negeri Sembilan.
Hal itu kerana jarang sekali pemimpin yang mesra dipanggil Abah ini bercakap Nogori.
Khairy yang merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi meminta seluruh penduduk Rembau agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua dengan duduk di rumah dan tidak keluar jika tiada sebarang urusan mustahak.
Beliau juga berharap orang ramai dapat bersabar dengan tidak melakukan aktiviti rutin seperti minum teh di kedai atau menziarahi saudara-mara sepanjang tempoh ini kerana kebanyakan kes penularan wabak COVID-19 di sekitar Rembau difahamkan berpunca daripada keluarga terdekat.
Setakat pukul 2 petang ini, hantaran yang dimuat naik bersama-sama video yang memaparkan pesanan duduk di rumah oleh seorang wanita bercakap dialek Negeri Sembilan menerima hampir 9,000 tanda suka, di samping lebih 1,000 komen dan perkongsian.
Rata-rata netizen membalas komen tersebut dalam Nogori walaupun ada segelintir yang mengakui kurang faham dan berhasrat untuk mempelajari lebih lanjut keunikan dialek itu.
Tangkap layar antara komen netizen yang teruja mahu melihat Khairy bercakap dialek Nogori. (https://www.facebook.com/Khairykj/)
Dalam pada itu, salah seorang netizen yang dikenali sebagai Mimi Arif pula mencadangkan agar Khairy membuat Live FB bercakap dialek Negeri Sembilan dan pendapat itu turut disokong netizen lain. - KitaReporters