Rumah habis musnah terbakar! Rizal, Tumiran gagal selamatkan barangan! LZS hulurkan sumbangan
Published byDALAM menjalani kehidupan harian pelbagai musibah dan dugaan boleh terjadi kepada seseorang. Ini semua tiada siapa yang menjangka kerana ia adalah takdir ketentuan illahi. Bagaimanapun kita wajar menerimanya dengan penuh reda lagi ikhlas. Kejadian yang berlaku tentunya mempunyai hikmah tertentu. : KitaReporters
Beginilah keadaan rumah milik Mohd Rizal yang musnah keseluruhan dalam kebakaran yang berlaku semasa beliau menjalankan perniagaan gerai makanan di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. Kredit Foto: FB LZS.
Lagi laporan-laporan kebajikan berkaitan LZS:
https://kitareporters.com/search?search=LZS
Bagi sebuah keluarga peniaga kecil yang gigih berusaha mencari rezeki sama sekali tidak menduga kehidupan yang selama ini penuh tenang dan bahagia ditimpa musibah secara tiba-tiba.
Mohd. Rizal Mohd. Idrus, yang berniaga di sebuah gerai makanan berhampiran pekan Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, dan ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah dalam satu kejadian kebakaran pada Rabu 13 Januari 2021.
Malahan yang agak memilukan pada kejadian tersebut dia dan keluarga gagal menyelamatkan barangan dan harta benda disebabkan tiada di rumah kerana menjalankan perniagaan.
Beliau yang sibuk menguruskan perniagaan gerai makanan hanya mengetahui mengenai kejadian yang berlaku oleh salah jiran di kawasan taman tempat tinggalnya.
Setelah mendapat maklumt Mohd. Rizal yang bergegas pulang ke rumah bagaimanapun tidak sempat berbuat apa-apa dan gagal menyelamatkan barangan berharga kerana telah musnah dijilat api.
Berikutan kejadian itu beliau sekeluarga terpaksa tinggal sehelai sepinggang. Peristiwa malang tersebut dimuat pada catatan laman sosial FB Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Rumah jiran Mohd. Rizal yang terletak bersebelahan turut terlibat dalam kebakaran tiga keluarga di Taman Seri Indah, Sungai Besar, Selangor pada 13 Januari 2021.
Dalam kejadian yang berlaku di Taman Seri Indah, Sungai Besar itu turut melibatkan dua buah rumah jiran peniaga berkenaan yang terletak bersebelahan. Namun kedua-dua keluarga jiran beliau sempat menyelamatkan diri semasa kejadian kerana mereka berada di rumah.
Premis kediaman kedua-dua keluarga berkenaan hanya mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan dinding kesan daripada api kebakaran tersebut.
Musibah yang menimpa ketiga-tiga keluarga ini terutama bagi Mohd. Rizal bagaikan episod duka bakal jadi kenangan seumur hidup lebih-lebih lagi semasa bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 selama dua minggu dari 13 hingga 26 Januari 2021 di Selangor dan lima negeri yang lain.
Azizul Fitri Salam ( baju t biru ) menyampaikan bantuan kecemasan Lembaga Zakat Selangor kepada tiga keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Taman Seri Indah,Sungai Besar.
Ketua Operasi Agihan Zakat LZS Daerah Sabak Bernam, Azizul Fitry Salam yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu mengadakan kunjungan ziarah kepada ketiga-tiga keluarga berkenaan.
Beliau bersama salah seorang pegawainya Aminuddin Shahid pada kunjungan tersebut di samping mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian turut menyampaikan bantuan kecemasan bagi meringankan beban mereka terlibat.
Rumah Tumiran yang terletak di Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor hanya tinggal tapak setelah berlaku kebakaran baru-baru ini.
Sementara itu, seorang penduduk asnaf miskin di Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor terpaksa menyelamatkan diri dalam keadaan api marak dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sama sekali rumah kediamannya.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3 pagi itu, Tumiran yang menghidap kencing manis hanya mampu menyelamatkan dirinya sahaja sehelai sepinggang.
Semua peralatan, barangan dan dokumen pengenalan diri miliknya hangus terbakar tanpa dapat diselamatkan kerana api marak terlalu pantas. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.
Wakil Lembaga Zakat Selangor bagi Daerah Kuala Selangor (tengah) menyampaikan bantuan kecemasan kepada adik Tumiran yang mewakili beliau. Waktu kunjungan ziarah pegawai lembaga zakat berkenaan, Tumiran berada di hospital kerana rawatan kencing manis.
Sehubungan itu, LZS Daerah Kuala Selangor pada Jumaat 8 Januari 2021 semasa kunjungan ziarah telah menyampaikan bantuan kecemasan untuk meringankan beban beliau.
Namun ketika itu Tumiran berada di hospital bagi menjalani rawatan penyakit kencing manisnya. Sumbangan tersebut diserahkan kepada adiknya bagi mewakili beliau.
Pihak LZS juga menguruskan bantuan bayaran rumah sewa untuk membolehkan Tumiran tinggal di kawasan berhampiran rumahnya yang terbakar itu.
Kebakaran yang melibatkan rumah Tumiran kira-kira jam 3.00 pagi memusnahkan keseluruhan struktur rumah berkenaan.
Dalam pada itu, LZS berharap semua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran berkenaan tabah menghadapi ujian yang berlaku dan didoakan sentiasa dalam peliharaan Allah.
Insafilah setiap musiabah dan bencana yang berlaku kerana ada hikmahnya.
Bantulah mereka yang memerlukan melalui sumbangan zakat anda. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka. - KitaReporters