200 keluarga B40 PPR Desa Rejang! Terima bantuan pek makanan
Published bySEBANYAK 200 keluarga daripada golongan B40 dan ke bawah telah menerima bantuan pek makanan dan kit kebersihan di bawah program Iltizam tajaan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) di PPR Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur. : KitaReporters
Penerima manfaat yang hadir perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu untuk semakan nama dan cek suhu sebagai langkah pematuhan SOP. - Kredit foto-foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia
Lagi kisah-kisah berkaitan IRM:
https://kitareporters.com/search?search=islamic+relief
Objektif program yang diadakan pada Ahad 20 Disember 2020 itu adalah bagi membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
"Kebanyakan penerima manfaat terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, OKU dan ketua keluarga yang hilang punca pendapatan. Kami memilih PPR Desa Rejang ini kerana kepadatan penduduk di sini semuanya hampir 17,000 orang yang kebanyakannya tiada pendapatan tetap.
"Di pihak penaja pula, ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sudah lama dilaksanakan dalam membantu mereka yang memerlukan,” kata Fa’azurah Kadir, Pegawai Kanan, Bahagian Program IRM dalam satu kenyataan media.
Setiap pek makanan dilengkapi dengan beras 10 kilogram, kicap, sos cili, tepung, bihun, minyak masak, sardin, biskut, gula garam, pelitup muka, pencuci tangan serta pelbagai lagi.
Fa'azurah Kadir (kiri) bersama seorang anak penerima manfaat dalam sesi agihan bantuan.
“Penghuni rumah kami semuanya 11 orang. Dahulu, saya bekerja mengasuh anak-anak jiran bagi membantu suami, namun sejak pandemik melanda, ibu bapa mereka tidak lagi menghantar anak-anak mereka untuk saya jaga kerana pendapatan mereka turut terjejas. Sekarang, hanya suami saya sahaja yang bekerja untuk menyara keluarga besar kami.
“Pandemik ini memang memberi impak yang sangat mencabar pada kami sekeluarga. Bil api dan air kadangkala tertunggak. Dalam keadaan gaji suami yang telah dipotong dan pemberian elaun juga sudah dihentikan, keadaan kewangan keluarga kami memang sangat terjejas.
"Dari segi makanan, kami memang cuba sedaya upaya untuk berjimat cermat. Alhamdulillah, anak-anak faham keadaan ibu ayah mereka sedang susah sekarang dan mereka tidak merungut walaupun terpaksa makan nasi berlaukkan telur selalu,” kata Sharifah Nor Hayati, penduduk PPR Desa Rejang.
Sharifah Nor Hayati bersama suami menerima bantuan pek makanan dan kit kebersihan di bawah tajaan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia.
Rata-rata penerima manfaat yang ditemui menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas bantuan yang diberikan. Ucapan terima kasih tidak putus-putus diucapkan daripada mulut mereka.
Islamic Relief Malaysia selaku organisasi pelaksana mengharapkan agar lebih banyak lagi pihak tampil untuk menjalinkan kolaborasi bersama agar keperitan yang ditanggung golongan rentan dapat dikurangkan selain menyemarakkan semangat cakna dan prihatin akan nasib mereka yang memerlukan di sekeliling kita. - KitaReporters
Saadiah Arifin, salah seorang penerima manfaat pek makanan dan kit kebersihan yang merupakan seorang ibu tunggal OKU lumpuh kedua belah kaki. - - Kredit foto-foto: Ihsan Islamic Relief Malaysia