Video| Hikmah cubaan cancel culture terhadap Daud Kim! Kembali kepada bekas isteri, keluarga!

Published by
KitaReporters

Dulu berseorangan, kini Daud Kim sering ditemani isterinya, Mia dalam menyampaikan konten videonya. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Setelah terkesan seketika dengan percubaan dijadikan mangsa`cancel culture' (CC) di Korea Selatan, Daud Kim, Youtuber tersohor dengan konten Islam, kini bahagia meniti kehidupan berkeluarga, bersama isteri dan anak yang pernah ditinggalkannya. Baca artikel ini sampai ke akhir untuk mengetahui maksud CC.

Bukan mudah bagi individu di negara itu untuk bangkit semula apabila `terhukum` dengan CC kerana difahamkan budaya masyarakat itu sukar memaafkan atau menerima semula individu yang dianggap telah melakukan sesuatu kesalahan menimbulkan kontroversi awam. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Daud Kim:

https://kitareporters.com/search?search=daud+kim




Sekali terbabit dengan CC tahap tinggi, kehidupan bagi mangsa itu seakan sudah berakhir, namanya kekal buruk, kesalahannya akan terus diingati, seakan tiada lagi tempatnya dalam masyarakat, yang akhirnya membawa kepada perbuatan bunuh diri. 

Daud Kim tidak terkecuali menjadi sasaran CC pada tahun 2020 lalu.

Mengakui kehilangan hampir semua kawan dan sangat terkesan dengan apa yang berlaku, dia bagaimanapun mampu mengharungi ujian getir itu. 

Tahun lalu adalah tahun penuh kontroversi bagi Daud Kim, dia benar-benar terasa jatuh, namun dalam sebulan dua sahaja murung, dia kemudian berjaya bangkit dan kini hidup seperti biasa. 

Dengan alasan, dia percaya Allah menyayanginya kerana Allah itu Maha Penyayang dan Pengampun. Dia tahu kalaupun seseorang itu bersalah, Allah akan mengampuni orang itu dengan bertaubat. Ketakwaan kepada Allah sebagai saudara baru Islam yang belum lama dianuti, menyelamatkan dirinya daripada tumpas.

Apa yang berlaku kepada Daud Kim, menepati surah Al Furqan ayat 70,  “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 


Dugaan cancel culture (cc) membawa Daud Kim kembali ke pangkuan isteri dan anak mereka. - Kredit foto - Youtube Daud Kim


Saat dia kehilangan hampir semua kawan dan menjadi sasaran kritikan awam, Allah menjentik hatinya untuk kembali kepada bekas isterinya yang ditinggalkan selepas mereka dikurniakan seorang anak. Mengakui, perpisahan berpunca daripada dirinya kerana `belum bersedia` ketika itu dan kini sedang menebus kesilapannya.

Dalam sehari dua selepas Mia bersyahadah, mereka berkahwin semula mengikut Islam (bernikah). 

Menariknya, Mia dengan mudah menerima Daud Kim kembali dan menerima Islam. Mereka bernikah November 2020 lalu di sebuah masjid yang hanya dihadiri jurunikah dan dua saksi.



Perkembangan terbaru, Mia yang sukakan anak, disahkan mengandung yang apabila dikira, bermula tarikh mereka bernikah. Anak dalam kandungan digelar mereka sebagai `nikah baby` (bayi nikah). Masing-masing menyambut berita itu dengan gembira dan rasa syukur lalu berkongsi berita ria itu dengan pengikutnya.  

Terbaru mereka memaklumkan, anak dalam kandungan itu adalah lelaki, mengikut ujian doktor.

Biarpun mengharapkan seorang puteri namun Mia berkata dia tetap gembira, manakala Daud Kim menerima sahaja sama ada lelaki atau pun perempuan.

Ternyata dengan ujian CC itu juga Allah merancang sesuatu lebih baik untuk Daud Kim. Kini dia meladeni hidup berkeluarga yang bahagia, menjaga dengan teliti Mia yang sedang berbadan dua. Berusaha melakukan yang terbaik sebagai suami dan bapa. Kebahagiaan terserlah dalam konten-konten videonya bersama famili. 

Bahkan hubungannya dengan ibu sendiri dan mertuanya baik-baik sahaja. Tiada lagi tentangan daripada ibunya seperti sewaktu dia mula-mula memberitahu mengenai status Islamnya.


Mia membuka saluran Youtube sendiri, Mia Vlog. - Kredit Foto - YouTube Mia Vlog.


Walaupun namanya telah diburukkan, Daud Kim terus disayangi pengikutnya dari kalangan orang Islam, membuat haters lagi iri hati.

Lagi mengenai huraian CC atau cancel culture, terjemahan terus adalah `batalkan budaya` namun maksud sebenar merujuk gerakan untuk “membatalkan” seseorang dengan erti kata, memboikot atau menghilangkan pengaruh individu tersebut, baik dalam media sosial maupun di dunia nyata kerana sesuatu perlakuannya yang dianggap menyinggung perasaan umum.

Uniknya dalam hal Daud Kim, di mana beliau dalam satu kenyataan, telah mengaku bersalah di atas tuduhan yang dilemparkan, tetapi baru-baru ini dengan beraninya membuat pengakuan lain, bahawa kenyataannya terdahulu bukanlah betul kerana ia dibuat mengikut kehendak pihak tertentu, yang membabitkan ugutan terhadap dia dan ahli keluarganya. 


 Mia cuba menggayakan selendang yang dihadiah oleh Daud Kim kepadanya, sebagai dorongan untuk berhijab. - Kredit foto: Youtube Daud Kim



Pengakuan terbarunya itu dibuat setelah Daud Kim berjaya mengumpul senarai bukti untuk menyanggah dakwaan pihak yang mereka cerita perlakuan buruknya sewaktu dia dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Berkat takwa, Daud Kim gagal ditendang keluar daripada masyarakat maya, malah subscribernya kekal tinggi, terkini 2.48 juta, ditambah pula dengan subscriber saluran YouTube isteri dan anaknya yang baru dibuka, iaitu Mia Vlog (45.2k) dan anaknya, Jasonworld (57.3K). Mereka adalah YouTuber sepenuh masa.

Dalam pada menerima pelbagai kritikan dan dibenci, Daud Kim tetap mendoakan kawan-kawannya supaya diberikan petunjuk ke jalan lurus oleh Allah. Tidak pernah sekali-kali dia mengeluarkan kata-kata buruk terhadap pihak yang mengecam atau `membuangnya`,  membuat ramai kagum dan memuji ketulusan hati insan bernama Daud Kim.

Nama asalnya, Jay Kim, bermula sebagai YouTuber daripada bidang hiburan (nyanyian), beralih kepada konten Islam setelah memenuhi jemputan persembahan di Indonesia, kerana tertarik dengan gaya hidup masyarakat Islam di sana. - KitaReporters


3
3
0
2
1

Copy Link: