Berita Terkini| Tinggal di bot usang di Tasik Kenyir! 6 beranak tabah lalui keperitan hidup!
Published byKEADAAN bot usang yang kini dijadikan tempat berteduh buat keluarga Samsuddin Khalid bersama isteri serta empat anaknya di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Terengganu. - Kredit foto: Sinar Harian.
KEPERITAN hidup memaksa enam sekeluarga meneruskan kehidupan di sebuah bot usang yang dijadikan tempat berteduh di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir sejak penularan pandemik Covid-19, pada tahun 2020 lalu.
Shamsuddin Khalid bersama isterinya, Nor Farhana
Yusop, serta empat anak mereka yang sebelum ini menghuni di sebuah rumah
rakit berdekatan sejak 12 tahun lalu terpaksa mendiami bot berkenaan selepas
pekerjaan hakiki sebagai pemandu bot tidak diteruskan berikutan penutupan sektor pelancongan.
Shamsuddin memberitahu dia sebelum ini mempunyai
sebuah rumah bot dan dua bot fiber, namun ketiga-tiganya kini tersadai selepas
berlaku kerosakan.
"Saya beli rumah bot ini sembilan tahun lalu
untuk 'cari makan', tapi tidak kesampaian apabila enjin bot rosak pada Mac
tahun lalu (2020). Saya kehabisan duit untuk membaikinya. Bot ini kini tersadai dan
tidak dapat disewakan kepada orang ramai.
"Jika sektor pelancongan kembali dibuka, saya
belum tentu dapat menggerakkan rumah bot ini kerana terlalu banyak yang perlu
diperbaiki dan memerlukan kos yang besar," katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian pada Jumaat, 25 Jun 2021.
Menurut Samsuddin, dia pernah memohon Bantuan Sara Hidup (BSH) serta Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kerana buntu memikirkan soal kewangan, bagaimanapun permohonannya itu tidak berjaya disebabkan namanya berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyebabkan permohonan tidak diterima.
Malah lelaki berusia 45 tahun pernah memohon rumah di
bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun sehingga kini tiada
jawapan. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
SHAMSUDDIN mendukung anak bongsunya yang berusia lapan bulan terpaksa melalui keperitan hidup selepas pekerjaan hakiki yang dilakukan sebelum ini terpaksa dihentikan.