KECOH apabila tular kisah penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan reput di sebuah rumah di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 3, Kampung Manjoi di Ipoh, Perak pada Rabu, 22 April 2020. Lebih mencemaskan lagi apabila si mati itu dikatakan jemaah tabligh dan merupakan pesakit Covid-19 berikutan penemuan surat pengesahan yang menyatakan lelaki itu telah dijangkiti virus berkenaan. - KitaReporters 

Mesej tular yang menyebut seorang lelaki pesakit Covid-19 meninggal dunia di rumahnya di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 3, Kampung Manjoi, Ipoh, Perak. - Gambar media sosial

Mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp itu turut disertakan dengan rakaman video berdurasi dua minit yang memaparkan mayat lelaki itu diangkat oleh petugas lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE).
Kisah tersebut agak mencemaskan orang ramai khususnya penduduk di Manjoi tambahan lagi PPE yang digunakan itu biasanya dipakai petugas barisan hadapan ketika mengendalikan kes Covid-19.
Situasi 'panik' itu bagaimanapun reda susulan penafian oleh Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd. Aziz.

Tangkap layar petugas memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) semasa mengangkat mayat simati.
Menurut beliau, mesej yang tular itu adalah tidak benar kerana ujian Covid-19 yang dilakukan ke atas mayat lelaki itu mendapati negatif dijangkiti wabak berkenaan.
Sebaliknya beliau berkata, lelaki berusia 44 tahun itu meninggal dunia akibat serangan jantung berdasarkan laporan bedah siasat dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
"Keputusan ujian Covid-19 ke atas lelaki itu adalah negatif dan pihak Forensik HRPB juga mengesahkan punca kematian si mati akibat serangan jantung.
"Berkenaan hantaran yang dimuat naik di laman sosial berkenaan petugas memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) semasa mengangkat mayat untuk dihantar ke Jabatan Forensik, ia adalah prosedur operasi standard (SOP) tambahan yang diambil sebagai langkah pencegahan Covid-19," katanya.
Mengulas lanjut A Asmadi memberitahu, tiada unsur jenayah dikesan berkaitan kematian si mati yang tinggal seorang diri di rumahnya.
Hailah......berita palsu rupanya. Banyak betul masa untuk mereka-reka cerita. 
Bukan ke lebih baik berhati-hari dalam memuat naik sebarang hantaran dalam media sosial. 

Selidik dahulu sebelum sebar. Salah fakta....semua orang jadi panik!!

Menurut A Asmadi, hantaran palsu itu bukan sahaja menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat bahkan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
"Masyarakat diminta tidak menularkan berita-berita yang tidak diketahui fakta sebenar. 

"Perasaan keluarga simati seharusnya dijaga terutama apabila ia adalah berita yang menggusarkan.

"Petugas-petugas memakai PPE untuk tugas jumpa mayat adalah SOP tambahan untuk pencegahan daripada ovid-19," katanya. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: