NIK Che Ngah bersama akar kayu tembesu berbentuk badan kambing yang belum divarnis sepenuhnya.


TIDAK disia-siakan, seni ukiran yang dipelajari daripada arwah abangnya kira-kira 15 tahun lalu kini bukan sekadar penyambung warisan tetapi menjadi sebahagian kehidupannya yang menjadi sumber pendapatan mereka keluarganya. 

Bagi seorang pengusaha kraf tangan, Nik Che Ngah, dari Kampung Tasik Tok Lebai, Kerandang, Besut, Terengganu menganggap pekerjaan seumpama itu yang dilakukan sebati dengan jiwanya sejak diusahakan 1990 lagi.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kerja-kerja kreatif

AKAR kayu berbentuk badan kambing yang mempunyai kepala bakal dijual dengan harga berpatutan.


Beliau mengakui pengalaman dalam bidang kraf tangan yang ada pada dirinya lebih dalam tempoh tersebut itu selepas dia bekerja dengan arwah abangnya, di Kuala Lumpur kini membawa pulangan kepada dirinya. 

Namun selepas kematian abangnya pada 2005 lalu, pekerjaan Nik tidak berakhir setakat itu sahaja.

Sebaliknya, dia pulang ke kampungnya untuk mencuba nasib dalam dunia kraf tangannya secara kecil-kecilan dengan membuat kerusi, meja atau barangan kraf tangan lain yang berasaskan ukiran kayu.


Nik menunjukan produk buatan iaitu papan pemotong serta senduk yang diperbuat daripada kayu-kayu yang terpilih . 


Semua peralatan tersebut dibuat daripada kayu-kayu terpilih dan berkualiti seperti cengal, seraya, tembusu dan kayu pokok pauh yang dibeli daripada penduduk kampung.

Selain membuat ukiran, Nik juga mencuba nasib pula membuat papan pemotong dengan pelbagai bentuk. Produk berkenaan kemudian dipasarkan sendiri dengan harga RM10 setiap satu.


Papan pemotong yang belum siap sepenuhnya hasil tempahan daripada pelanggan tetap.


Katanya, produk berkenaan sangat diterima pelanggan yang dijual secara langsung. Malah sambutan yang memuaskan itu bukan sahaja datang dalam kalangan penduduk setempat tetapi dari luar termasuk pelanggan dari Kota Bharu.

‘’Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, saya bersama isteri menjual papan pemotong sayur itu di pasar-pasar minggu di daerah Besut dan Setiu dan bersyukur hasil tangan sangat diminati," ujar lelaki berusia 55 tahun itu.

Namun jualan itu terbatas apabila pelaksanaan PKP menyebabkan tiada jualan langsung.

‘’Kini perniagaan kami terjejas sejak kerajaan melaksanakan PKP itu dengan mengharapkan pembeli yang datang sendiri ke bengkel saya untuk membeli barangan tersebut,’’ katanya ketika ditemui pada Khamis, 21 Oktober 2021 lalu.


 

MEJA makan yang  dihasilkan menggunakan kayu terbaik bagi kekalkan kualiti terbaik.


Bengkel kraf tangannya yang terletak berhampiran rumahnya diusahakan dengan kerjasama isterinya, Hasifah Mohamad, 51, serta tiga orang anaknya.

"Biarpun perniagaan kami tidak menjanjikan pendapatan lumayan namun bersyukur dapat dijadikan sumber rezeki kepada kami sekeluarga," katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.


KERUSI  kayu yang diukir  dengan dekorasi klasik tetap menjadi  pilihan pelanggan.


Kini, kerja-kerja kreatif itu diturunkan kepada anak-anak sebagai penerus legasi.

Katanya, kerja ukiran ini jika dibiarkan akan terbiar dan pupus memandangkan kerja ukiran kayu itu memerlukan kesabaran tinggi dalam menghasilkannya. 

"Kalau boleh kerja warisan ini diteruskan supaya tidak pupus dan perlu diberikan sokongan oleh pihak berwajib untuk diketengahkan.

"Saya yakin industri kraf tangan boleh berkubur jika dibiarkan kerana tiada lagi generasi baharu yang berminat mewarisinya jika tidak didedahkan," ujarnya lagi.


 Kerusi ukiran kayu menggunakan kayu cengal yang ditempah khas oleh pelanggan.


Sehubungan itu, dia bercadang untuk mencari orang tengah atau pemborong bagi memperluaskan perniagaan agar dapat membantu memasarkan produk yang dihasilkan.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pemborong papan pemotong atau produk ukiran kayu hasil kerja tangan Nik Che Ngah bolehlah menghubungi Hasifah (Kak Pah) menerusi talian 013-9919427 ataupun anaknya, Kak Bi  0111-2958366- KitaReporters


 

NIK sedang memotong papan pemotong di bengkelnya di Kampung Tasik Tok Lebai, Kerandang, Besut diu Terengganu.


Nik menunjukkan kayu berbentuk kepala kambing yang disimpan di bengkelnya dan bersedia untuk menjualnya jika ada yang berminat.

18
14
1
12
0

Copy Link: