SUDAH menjadi sifat manusia suka menilai orang lain berdasarkan luaran saja tanpa menyelami isi hati orang berkenaan. Orang yang tersenyum tak semestinya tiada masalah

Jika kita bertanya khabar daripada membuat andaian sendiri berdasarkan pandangan mungkin kita dapat membongkar masalah yang dihadapi. Bukan mahu menjaga tepi kain orang lain tapi dalam situasi sekarang selepas dilanda pandemik Covid-19, kita perlu mengambil kisah perihal jiran tetangga.

Ternyata kempen Bendera Putih yang dilakukan oleh mereka yang terkesan kerana Covid-19 mendapat perhatian masyarakat setempat dan sumbangan yang dihulur sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan NIQ Ehsan Malaysia

Demi anak-anak, Saifuddin (tiga dari kiri) sanggup menebalkan muka untuk meminta bantuan.


Namun senario itu tidak semudah mengangkat bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan kepada Saifuddin Abdul Rahman, 42, bapa kepada lima orang anak. Beliau yang merupakan penduduk Kampung Mak Teh di Tapah, Perak, mengakui kehidupannya sekeluarga benar-benar terdesak sewaktu fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kalau ikutkan hati saya memang malu untuk naikkan bendera putih di hadapan rumah tapi saya lakukan semua itu demi anak-anak. Masa PKP 1.0 saya okey lagi, masuk PKP 2.0 saya masih okey sebab ada wang simpanan. Sebelum 3.0, ada buat PKP dua minggu, sejak dari situ saya dah mula bermasalah sebab simpanan boleh bertahan hingga 6 atau 7 hari saja.

“Bila 3.0, saya betul-betul putus, masuk pertengahan Jun 2021, hidup saya sekeluarga memang susah. Saya dah tak tahu nak buat macam mana, sampai pergi ke rumah mak minta beras. Minta pertolongan orang yang berkuasa pun, endah tak endah saja. Saya terbaca satu artikel kat Facebook (FB) kalau memerlukan bantuan, naikkan bendera putih supaya orang boleh tahu.



“Tak ada cara lain, saya naikkan bendera tapi tak ada siapa datang. Saya naikkan bendera putih selama tiga hari, jiran-jiran nampak pun buat tak nampak. 

"Bukan tak malu memang rasa malu. Saya buat ini sebab tak ada jalan penyelesaian, semata-mata kerana anak. Saya tak makan, tak minum boleh tahan lagi, anak-anak tu termasuk yang baby. Sampai tahap susu baby tak ada. Orang rumah cuci beras, ambil air basuhan beras itu untuk ganti susu bagi si kecil.

“Dari segi mata kasar individu nampak saya berkemampuan, rumah besar tapi hakikat sebenar mereka tak tahu. Saya ada semua ini sebelum Covid-19. Kebetulan selepas tiga hari saya naikkan bendera putih, adalah seorang kawan nampak dan tanya saya, dah tak ada apa-apa kah? Memang dah tak ada apa-apa la sebab itu saya naikkan bendera. Kemudian dia kata akan tolong dan esoknya, tiga NGO datang dari wakil Tapah. 

"Sebelum ini saya sendiri pergi minta bantuan kepada pihak yang diamanahkan tapi mereka tak datang juga. Sampailah saya pergi ke kampung sebelah untuk minta bantuan. Atas dasar peri kemanusiaan mereka bantu saya. Selepas berulang kali saya membuat permohonan, barulah orang yang diamanahkan untuk menjaga penduduk tampil membantu,” ceritanya tentang keperitan yang dilalui sepanjang pandemik Covid-19.

Secara lahiriah, Saifuddin yang merupakan peniaga pasar malam itu memang nampak sihat tapi bila duduk bersembang dengannya barulah kita tahu bahawa beliau mempunyai rangkaian penyakit iaitu buah pinggang, jantung, darah tinggi dan kencing manis sejak 2015.

Kata Saifuddin, walaupun kesihatannya tak begitu memuaskan, selagi boleh berusaha mencari nafkah untuk keluarga, beliau akan lakukan. Bagaimanapun apabila Covid-19 melanda, punca pendapatannya terjejas sehingga terpaksa meminta bantuan orang lain.



“Sampai hari ini saya masih lagi mencari nafkah untuk keluarga. Cuma yang menyebabkan saya rasa berlaku sedikit kesedihan yang saya lalui sekarang ini pasal doktor ada beritahu yang buah pinggang saya ni tak nampak ada ke arah kebaikan, sebaliknya cenderung ke arah keburukan.

“Doktor nasihatkan saya supaya sediakan ‘tapak’. Bila dengar doktor kata macam tu, itu yang menyebabkan saya rungsing. Macam mana nak hidup kalau saya dah hilang punca. Bila kita mula buat tapak atau dialasis, seminggu tiga kali cuci dan tiga kali rehat, jadi enam hari. Hari ini cuci, esok rehat, lusa cuci, tulat rehat. Benda ini berlaku seminggu dan bila macam tu saya hilang punca, tak tahu nak cari nafkah untuk keluarga macam mana. Perkara ini bukan kehendak kita.

“Buat masa sekarang belum kena buat dialisis tapi saya pernah buat pembedahan di Bangi, Ipoh, ambil isi buah pinggang sebelah nak masuk dalam makmal. Mereka nak tahu kenapa sampai tujuh tahun, keadaan saya masih sama tak berubah, tak baik dan tak buruk, sakit buah pinggang saya tu.

“Berkenaan dengan jantung, sebelum PKP 3.0, Mac lalu, saya ada pergi ke IJN (Institut Jantung Negara), Ipoh sebab dapat surat daripada Hospital Ipoh suruh saya pergi ke IJN. Saya kena buat bypass tapi kos yang tinggi buat saya tak mampu, jadi saya balik begitu saja. Daripada zahir mata seseorang, nampak saya memang normal,” ceritanya lagi tentang penyakit yang dihadapi.



Tambah Saifuddin, selepas tidak mampu melakukan bypass seperti yang dipinta oleh doktor, beliau ada terserempak dengan seorang individu yang turut berkongsi petua dengannya. 

“Saya berjumpa dengan seorang hamba Allah, dia suruh saya ambil buah cermai, limau kasturi, belimbing buluh dan lidah buaya. Blend semua dan minum, 10 hari berturut-turut tanpa berhenti. Bila saya amalkan 10 hari berturut-turut, alhamdulillah.

“Kebetulan waktu itu saya jumpa dengan doktor pakar di Teluk Intan, doktor tanya saya ada ambil apa-apa supplement tak? Saya kata tak ada, mereka pun jadi hairan kerana jantung saya jadi normal balik. Injap saya terbuka balik, lemak tepu dah hilang, semua berpunca daripada minuman yang saya minum selama 10 hari itu.

“Buah cermai (8), belimbing buluh (3), limau kasturi (3) dan lidah buaya (ambil isinya). Semua buah tu jangan buang kulit, kisar terus, bubuh air sikit. Jangan tambah gula, blend sampai halus. Jangan tapis dan minumnya selepas solat subuh waktu perut kosong, selama 10 hari turut-turut.

“Ia akan hapuskan lemak tepu (lemak jahat). Saya dah tujuh tahun makan ubat hospital, tak hilang pun cuma protect saja. Sampai doktor pun terkejut, alhamdulillah, jantung saya buat masa ini tak ada masalah sangat. Cuma jantung ni, kita tak boleh risau. "Sebelum ini, kaki saya pernah bernanah kerana saya terpijak kaca pinggan. Kaca itu duduk dalam daging dan lama-lama bila sakit terus bernanah, ini pun baru saja baik,” katanya yang tabah mengharungi pelbagai dugaan itu.


Ibu Khaty, selaku penaung Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan Malaysia sering turun padang untuk bertemu dengan mereka yang menerima bantuan kerana cara itu lebih telus.


Saifuddin (kanan) tak sangka ada insan sebaik Akhmar yang sudi menolongnya tanpa henti.


Meskipun berhadapan dengan pelbagai dugaan Saifuddin tetap tabah dan masih mampu mengukir senyuman kerana dengan izin Allah, Pertubuhan Kebajikan NIQ Eshan Malaysia yang dinaungi oleh Datuk Khadijah Ibrahim dan pengerusi pertubuhan tersebut, Putera Akhmar atau Akhmarulizam Ahmad, sudi membantunya

Kata Saifuddin, beliau terharu dengan apa yang dilakukan oleh pertubuhan NIQ Ehsan untuk keluarganya.

“Seumur hidup saya belum pernah ada orang ambil kisah macam ni, hubungan ini lebih erat daripada adik-beradik. Dalam masa yang sama saya rasa seronok disebabkan kenal dengan Akhmar, dia banyak membantu sebenarnya. Dia yang atur semua untuk program sumbangan ini. 

“Saya berkata begitu, sebab adik-beradik saya sendiri pun tak pernah ambil berat macam ni. Saya anak sulung daripada empat beradik. Adik-beradik yang lain pun tak tolong saya macam mana Akhmar tolong saya. Mereka tahu masalah saya, cuma saya tak pernah pergi cerita kepada mereka untuk memberitahu secara terperinci tentang penyakit saya ni,” katanya tanpa berselindung.

Bantuan yang diberikan oleh pertubuhan NIQ Ehsan bukan setakat membolehkan keluarga Saifuddin menerima bantuan bakul makanan, malah turut menyediakan peralatan untuk memudahkan beliau dan anak-anak berniaga burger.


Akhmar (kiri) berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Batang Padang Tapah.


“Dari zaman bujang saya dah mula buat burger. Bila berniaga Pasar Malam, saya tak ada masa nak buat burger, dah lama saya tinggalkan. Punca saya nak buat burger masa tu PKP 2020, sebab pasar malam tak boleh jalan. Bila kerajaan bagi kelonggaran boleh berniaga tepi jalan, saya pun terfikir dan cuba buat burger.

“Masa tu ada la sambutan juga. Bila keadaan buah pinggang saya semakin teruk saya berhenti jual burger. Saya sebenarnya tak boleh kencing. Kalau saya kencing, protin dalam badan akan keluar. Sistem buah pinggang, ia akan simpan protin. Bila seseorang itu agak keletihan, buah pinggang akan keluarkan zat protin, gantikan tenaga untuk manusia. Itu sebab saya kena tahan kencing, kalau saya kencing, protin akan keluar.

“Disebabkan saya masih muda, antibodi kuat, saya boleh lawan. Disebabkan itulah, tercipta gerai Burger 5 Beradik. Waktu saya sakit saya tak boleh berdiri lama dan tak berupaya nak buat. Anak-anak kata mereka cuba dan tengok mereka boleh. Cuma mereka tak pandai nak buat daging sendiri. Masa saya niaga, buat burger sendiri tumpang mesin kawan, tapi anak-anak tak mahir mereka hanya tahu bakar burger saja,” ceritanya.

Stall Burger 5 Beradik yang beroperasi di simpang jalan itu diurus berselang seli antara anak sulung, Mohammad Shafiq, 15; dan anak kedua, Mohammad Shahrul, 14, kerana selain berniaga mereka juga perlu menjaga tiga orang adik (Mohammad Syahrizal, 7; Mohammad Zul Huzaimi, 5; dan Mohammad Shahril Hakimi, 9 bulan) apabila Saifuddin dan isteri, Umi Kalsom Zulkifli, 31, keluar berniaga di pasar malam.


Ibu Khaty sempat berkongsi resipi dengan Shahrul (kiri) dan Shafiq yang kini bertanggungjawab menjual burger sebagai pendapatan keluarga.


Sementara itu, menurut Akhmar, pihaknya tidak henti memberi bantuan pada keluarga Saifuddin setakat itu saja. Sebaliknya, beliau telah memohon beberapa bantuan untuk keluarga tersebut daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitumal dari Majlis Agama Islam Adat Melayu Perak.

“Seminggu saya di Tapah dari tarikh 6 Oktober sampai 11 Oktober (2021), saya berurusan di Pejabat Penghulu Mukim dalam sesi interview tersebut sya kemukakan dan mohon beberapa bentuk bantuan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitumal dari Majlis Agama Islam Adat Melayu Perak.

"Dan untuk tempat tunggu bas yang lama bersebelahan dengan stall Burger 5 Beradik tu, saya mohon untuk dijadikan mini western cafe bagi jualan chicken chop dengan harga yang murah harga mampu milik bagi masyarakat di sini (Kampung Mak Teh, Tapah).


Sesi temu bual Akhmar dan Saifuddin (kiri) dengan Penolong Pegawai Daerah, Athirah Alias, Penghulu Kanan, Nordin Mat dan Penghulu Mukim Batang Padang, Mohamad Kasa Arsad di pejabat Penghulu Mukim Batang Padang Tapah, baru-baru ini.


“Alhamdulillah permohonan saya itu diluluskan oleh Ketua Penghulu Mukim dan juga tidak dikenakan sebarang sewaan bulanan. Insya-Allah sekitar akhir Januari 2022 barulah team NiQ akan datang untuk membaik pulih serta jadikan tempat hentian bas lama itu kafe mini.

‘Perniagaan Burger 5 Beradik ini juga sudah didaftarkan dengan SSM untuk lebih mudah pada masa akan datang nanti dalam pelbagaikan ekonomi serta memohon bantuan alatan pemprosesan daging burger sendiri, peralatan mesin dan sebagainya.

"Banyak lagi perancangan yang saya akan aturkan memandang Burger 5 Beradik ini ada potensi untuk mewarisi perniagaan yang saya cuba bina bagi membantu ekonomi keluarga Saifudin secara tak langsung,” jelas Akhmar tentang langkah yang dilakukan oleh NIQ Ehsan. - KitaReporters


13
9
0
8
0

Copy Link: