RENTETAN kerjasama terbaik program Titipan Kasih Harian Metro (HM) bersama McDonald’s Malaysia dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) empat pusat jagaan dikumpul di satu lokasi untuk menerima sumbangan Kotak Rezeki bersempena Hari Bapa.

Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Yusri Abdul Malek, berkata langkah mengumpul wakil pengurusan dan warga emas di satu tempat merupakan bentuk kelainan yang dibuat dalam kolaborasi terbaik HM dan McDonald’s bagi menyantuni mereka yang memerlukan perhatian.

Menurut beliau, sempena meraikan Hari Bapa warga emas dari Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Pusat Jagaan Insan (PJI) dan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah (PKWEAF) berkumpul di dewan PJMM.


Warga emas dari empat pusat jagaan melakukan senamrobik yang dibimbing oleh sukarelawan HM dan McDonald's.


Tambahnya, langkah itu memberi pendedahan kepada pengurusan pusat jagaan khusus warga emas bahawa ada pihak di luar sana yang turut mengambil tahu nasib mereka yang ingin berkongsi rezeki membantu untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas tersisih.

Jelasnya, program yang dibuat itu juga untuk salah satu usaha murni CSR McDonald’s dalam menyantuni warga emas tanpa mengira bangsa, kaum dan agama supaya mereka juga berhak untuk menikmati keceriaan dan kesenangan hidup seperti orang lain.

“Bukan setakat warga emas di rumah kebajikan atau pusat jagaan, program ini menjadi kolaborasi HM dan McDonald’s yang turut menyantuni serta menceriakan kehidupan anak yatim, keluarga asnaf, miskin serta pelajar memerlukan bantuan.


Muhammad Syafiq Mohiadin (kanan) membantu warga emas memotong kek hari jadi.


“HM dan McDonald’s sudah menjadi rakan korporat terbaik dalam menyantuni atau membela nasib mereka yang ditimpa musibah tanpa mengira asal usul supaya dapat mendepani CSR untuk kebajikan masyarakat,” katanya yang ditemui pada program berkenaan pada 6 Jun 2024.

Turut hadir pada program itu, Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Shamsidar Yahya; Pengarah Program Titipan Kasih HM, Noor Azam Abdul Aziz; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi PJI, Muhammad Syafiq Mohiadin; Pengerusi PKWEAF, Mohammad Azlan Abdul Rahman; dan warga emas dari empat pusat jagaan terbabit.

Program berkenaan dimulakan dengan senamanrobik membabitkan semua warga emas, gimik penyerahan Kotak Rezeki, meraikan sambutan hari jadi beberapa penghuni, jamuan makan tengah hari  sambil berkaraoke.


Pengerusi empat pusat jagaan warga emas menerima sumbangan program Titipan Kasih Harian Metro bersama McDonald's bergambar bersama-sama Shamsidar Yahya dan Yusri Abdul Malek (tengah) di dewan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor pada 6 Jun 2024.


Sementara itu, Mohammad Azlan berkata, PKWEAF amat terhutang budi dengan HM dan McDonald’s yang begitu mengambil berat untuk menyantuni serta membela nasib warga emas di pusat jagaan kerana mereka itu amat merindui suasana ceria serta gembira selepas tidak dipedulikan ahli keluarga.

Menurutnya, program itu juga seolah-olah menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada kami untuk terus berasa bertanggungjawab menjaga serta menguruskan warga emas berkenaan tanpa mengambil kira asal mereka.

“Kami di PKWEAF mendoakan HM dan McDonald’s terus maju jaya dan cemerlang dalam perniagaan serta terus aktif meneruskan program ini untuk membantu mereka yang lain pula,” ujarnya.


Sukarelawan HM dan McDonald's menyiapkan hidangan makan tengah hari untuk diagihkan kepada warga emas.


Muhammad Syafiq pula berkata, pada kebiasaan dan sudah menjadi amalan bagi sesetengah pihak yang banyak membantu atau melakukan infak hanya pada bulan Ramadan apabila ternyata berbeza dengan HM dan McDonald’s kerana datang menghulurkan sumbangan luar bulan penuh keberkatan itu.

Tambahnya, langkah yang dilakukan dua korporat itu menerusi program bersama diharap dapat menjadi contoh kepada pihak lain untuk sudi datang melihat keadaan warga emas di pusat jagaan disamping menghulurkan sumbangan bersesuaian.

“Tidak dinafikan sumbangan makanan dan kewangan banyak membantu pusat jagaan kami bagi menjamin supaya dapat terus beroperasi serta yang paling penting menceriakan warga emas yang disantuni ini,” ujar beliau. - KitaReporters


Warga emas dari empat pusat jagaan mendapat layanan istimewa daripada sukarelawan HM dan McDonald's.


Yusri dan Shamsidar mengagihkan cenderahati kepada warga emas yang terlantar di atas katil kerana keuzuran.

29
14
0
8
0

Copy Link: