Dari kiri: Shahrin Mokhtar, Stephanie Mak, Syahmi Pozi dan wakil-wakil rakan strategik Pesta Kopi daripada Mister Coffee.



Adakah anda meminati kopi atau mempunyai kepakaran sebagai pembancuh kopi atau ‘Barista’?

Jika jawapannya positif… memang anda ‘ketagih’ kopi atau tidak boleh tidor lena jika tidak ‘mengopi’ kata bualan orang sekarang, anda perlu ke Pesta Kopi yang kini memasuki penganjuran edisi kedua.

Bezanya Pesta Kopi anjuran Pesta Kopi Ventures pada tahun ini mendapat sokongan Tourism Malaysia dalam usaha mempromosikan “coffee mapping” sehingga ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan penyedia laman sesawang “petakopi.my” bagi penyenaraian kedai kopi dan kafe di Malaysia, sekali gus dapat membantu  usahawan-usahawan kopi tempatan.



“Setakat ini, lebih 2,000 kedai kopi di seluruh Malaysia telah tersenarai di laman sesawang tersebut,” ujar Pengarah Bahagian Pakej Pembangunan Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar pada majlis pengumuman  ‘Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023’ di Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini.

Turut bersama Pengurus Besar, Pesta Kopi Ventures, Syahmi Pozi dan Stephanie Mak selaku Penolong Pengurus Besar Pemasaran Pavilion Bukit Jalil.

Selain Tourism Malaysia sebagai Rakan Strategik Utama, program yang diberi nama Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 pada kali ini yang akan diadakan selama 3 hari bermula 29 September sehingga 1 Oktober 2023, bertempat di Pavilion Bukit Jalil, selaku Rakan Strategik Acara.


Shahrin bersama team Tourism Malaysia.


Mengekalkan konsep asal Pesta Kopi seperti tahun terdahulu, penganjuran Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 akan menghimpunkan 40 usahawan kopi dari Cameron Highlands, Johor Bahru, Kota Bharu, Melaka, Alor Setar, Selangor dan Kuala Lumpur yang bakal memperkenalkan produk serta menunjukkan cara dan seni penyediaan kopi masing-masing. 

Dengan objektif utama yang bukan sahaja untuk menyerlahkan kopi sebagai trend gaya hidup semasa,  ia bertujuan memperlihat seni penyediaan kopi artisan sebagai salah satu peluang perniagaan yang kian menjadi pilihan ramai anak muda sekali gus mempromosikan industri kopi di Malaysia.

“Sehubungan itu, Tourism Malaysia dengan kerjasama Sabah Tourism Board dan Sarawak Tourism Board pula akan membawakan kopi khas dari Borneo bagi memperkenalkannya kepada para pengunjung dari dalam dan luar negara,” tambah Shahrin.

Bersempena dengan penganjuran pesta juga,  Tourism Malaysia akan memperkenal pakej pelancongan berasaskan kopi terbaharu yang diberi nama Miss SHOPhia Coffee Experience bagi mempromosikan industri kopi di Malaysia dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa serta membantu

Pengenalan pakej terbaharu ini merupakan suatu kesinambungan kepada pakej “Northern Malaysia Coffee Experience” yang telah dilancarkan pada tahun lalu (2022) melibatkan penawaran pakej di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis


Gambar hiasan. Kredit foto: Instagram @pestakopi.


Secara ringkasnya, Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 terbahagi kepada 3 komponen utama seperti berikut:

a) Usahawab kopi jalanan (street vendor)

b) Pembekal peralatan dan bahan penyediaan kopi untuk pengunjung yang memiliki cita-cita untuk menjadi usahawan kopi.

c) Perkongsian pengetahuan tentang proses penghasilan biji kopi serta penyediaan kopi terbaik.

Sementara itu, Syahmi Pozi memberitahu, dalam meraikan “coffee culture oleh komuniti peminat dan pengusaha kopi, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual, malahan mereka juga dapat melihat sendiri pelbagai cara penyediaan kopi termasuk peralatan-peralatan mampu milik yang digunakan serta boleh dipraktikkan sendiri di rumah. 

“Bukan itu sahaja, pengunjung turut berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan cara memilih dan menilai biji kopi,” jelas Syahmi (gambar bawah).



Selain itu, Pertandingan Barista Terpantas yang memasuki edisi kedua pada tahun ini (2023), akan dianjurkan oleh Mister Coffee dan bakal disertai para pembancuh kopi dari seluruh negara. 

“Cabaran penyediaan kopi ini menilai kebolehan para peserta untuk menghasilkan kopi dengan cara yang betul mengikut kuantiti yang ditetapkan tanpa menjejaskan rasa dan isi setiap cawan,” tambah Syahmi.

Pada tahun lalu (2022), pertandingan ini telah dimenangi seorang pembancuh kopi dari Kuching, Sarawak.

Jadi, kepada peminat kopi mahu pun ‘Barista’ (pembancuh minuman) handalan semua apa kata tandakan kalendar anda pada tiga tarikh penting tersebut iaitu dari 29 September hingga 1 Oktober 2023 dan bersama meraikan pesta kopi berkenaan.

Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, boleh layari laman Instagram @Pestakopi. - KitaReporters

14
12
0
14
0

Copy Link: