Video| Kenali budaya etnik masyarakat Borneo! Festival Kebudayaan Borneo 2023! Pada 28-29 Okt 2023!
Published bySeramai lebih 2,000 pengunjung disasar mengunjungi Festival Kebudayaan Borneo 2023 (BCF 2023) yang bakal berlangsung selama dua hari bermula pada 28 hingga 29 Oktober ini bertempat di Pusat Beli Belah Subang Parade.
Anjuran Persatuan Fesyen, Peragaan dan Peraduan Malaysia (MFMPA) bersama Rapid Borneo Freight & Shipping Inc. dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni & Kebudayaan Malaysia, Subang Parade Shopping Mall, Parkroyal Collection Kuala Lumpur, BCF 2023 menjanjikan sambutan yang meriah bagi memperkenal budaya, seni dan tradisi yang pelbagai di Sabah dan Sarawak.
Junzuenn Basalan.
“Sebagai seorang Sabahan yang tinggal jauh, adalah menjadi hasrat dan salah satu matlamat hidup saya untuk melestarikan, mempromosikan, dan berkongsi budaya dan warisan kaya etnik Borneo kepada pelancong tempatan mahu pun luar negara," ujar Junzuenn Basalan selaku Pengerusi penganjur BCF 2023 pada majlis pelancaran BCF 2023 disempurnakan Mohd Roslan Abdullah mewakli Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato Dr. Ammar Abdul Ghapar yang berlangsung di Hotel Park Royal Collections pada 11 Oktober 2023 .
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Property Services Sdn Bhd, Aldela Puspa Nordin (Subang Parade); ; Presiden MFMPA, Dr. Jason Hee; Pengarah Urusan Rapid Borneo Freight & Shipping Inc. dari Sabah, Mariati Uttok; Pengurus Besar Hotel Park Royal Collections, Cristian Nannucci; dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pajakan & Pemasaran Subang Parade, Rebecca Phan..
Dari kiri: Junzuenn, Rebecca, Aidela, Mariati, Mohd. Roslan, Dr. Jason dan Cristian. Foto kredit: NSP Production.
Terdahulu, majlis turut dihiburkan dengan persembahan tarian solo etnik Sarawak diringi muzik Sape dandisusuli kemudiannya oleh pemain biola terkenal, Jessica Loo menyampaikan muzik lagu "Standing In The Eyes of The World' (nyanyian asal Ella).
Seterusnya, Junzuenn atau lebih mesra disapa Jun sahaja, memberitahu, pengisian BCF 2023 bukan sahaja akan memperkenal budaya masyarakat Borneo malah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sambil berkenalan dengan rakyat pribumi 'Negeri Di Bawah Bayu', Sabah seperti Kadazan-Dusun, Murut, Rungus mahu pun komuniti pribumi Bumi Kenyalang antaranya Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu, Sarawak.
Sementara itu, berkongsi lanjut, Dr. Jason melahirkan keyakinannya pengunjung pasti teruja dengan khazanah kesenian Borneo yang bakal dipersembahkan.
“Saya ingin jadikan festival ini sebagai pentas merapatkan jurang kebudayaan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung agar ia menjadi penyatuan antara kita semua,” ujar Dr. Jason.
Jelas Dr. Jason, keindahan Borneo dihiasi dengan pelbagai keunikan bagi setiap tradisi etnik waima baik di Sabah mahu pun di Sarawak banyak adat tradisi serta kebudayaan yang berbeza dan cukup indah dapat disebarkan kepada orang ramai terutama kepada masyarakat di Semenanjung.
“Kekayaan khazanah yang dimiliki kedua-dua negeri sebelah Timur Semenanjung inilah yang seharusnya dijulang dan dihargai agar ia tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas malah menjadi kebanggaan dan dipelihara generasi masa kini dan seterusnya," tambah Dr. Jason.
Dr. Jason Hee (dua dari kanan) bersama Jun menyampaikan cenderahati kepada Mohd Roslan Abdullah (tengah) di Hotel Park Royal Collections pada 11 Oktober 2023.
Acara kemuncak festival dua hari itu bakal memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan prebiu Minggu Fesyen Selangor: Edisi Borneo di mana pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2023, Miss Merdeka 2023, Miss Kebaya Malaysia, Miss Chipao dan Miss Saree akan memperagakan pakaian haute-couture yang diinspirasikan dari etnik Borneo dan trend fesyen terkini.
“Pengunjung juga berpeluang mencuba pakaian tradisional Borneo untuk bergambar pada acara Pameran Budaya mahu pun mengenali peralatan & kraftangan tradisional mahu pun pameran foto sejarah etnik Borneo,” sambung Jun sambil memaklumkan orang ramai juga boleh menikmati persembahan muzik dan tarian yang memukau dari pelbagai kumpulan etik Sabah & Sarawak.
Jelasnya lagi, tetamu dialu-alukan untuk turut serta dalam penghasilan muzik dan tarian malah yang bercadang bercuti ke Borneo boleh melawat ke beberapa gerai pelancongan tersedia bagi membantu merangka pakej percutian terindah yang diinginkan,
BCF 2023 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dijangka akan dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Ketingan merangkap Menteri bagi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah pada 28 Oktober 2023.
Dalam pada itu, dalam ucapan ringkasnya mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Roslan berharap penganjuran BCF 2023 bukan sahaja mampu menarik minat pelancong domestik dan luar negara mengenali keindahan dan kekayaan khazanah Borneo malah meningkatkan ekonomi sekali gus menjana pendapatan peniaga tempatan khususnya di kedua-dua negeri terbabit.
“Tourism Malaysia menyokong penuh acara seperti ini sejajar dengan sasaran kemasukan pelancong asing sebanyak 16.1 juta tahun ini apatah lagi dalam persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2025 kelak.”ujar Mohd Roslan.
Dilaporkan, Malaysia menyasarkan pelancong asing bakal mencapai sekitar 23.5 juta menjelang 2025 dengan perolehan hasil mencecah RM76.8 bilion.
Apa pun tandakan kalendar anda pada 28 dan 29 Oktober 2023 ini terutama bagi mereka yang rindukan pelbagai hidangan tradisional Borneo dan pertandingan makanan eksotik seperti ulat butot, bambangan, buah tarap, dan anggur laut.
Terdapat juga pertandingan kuiz yang menarik bagi mereka yang ingin menguji pengetahuan tentang Borneo dan membawa pulang hadiah lumayan antaranya barangan elektrik dan sebagainya. Mana tahu kali ini tuah anda kan?
Sambil meninjau, berhibur dapat pula hadiah untuk dibawa pulang, siapa tak nak kan?
Mungkinkah hadiahnya percutian ke Sabah dan Sarawak kita tak tahu kan kerana tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu kecuali yang Maha Esa jua! - KitaReporters