Tolong kami! Bantu Yayasan Maghfirah! Berusaha dapatkan sasaran dana RM500k! Kempen Raikan Ramadan!
Published byYAYASAN Maghfirah (YM) terus berusaha dengan keupayaan yang ada untuk mencapai matlamat bagi mengumpulkan dana RM500,000 sempena kempen "Raikan Ramadan" tahun ini (2024) walaupun tempoh bulan puasa hanya berbaki kira-kira dua minggu sahaja.
Tahun lalu (2023), Yayasan Maghfirah berjaya mengumpulkan dana lebih RM300,000 sempena Ramadan dan mengagihkan untuk manfaat 10,609 asnaf di seluruh negara. Tiga agihan khusus Ramadan ialah kongsi rezeki, jiwa peduli dan infaq al-Quran.Duta Rasmi Yayasan Maghfirah, Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi, berkata, sasaran yang ditetapkan masih jauh tapi pihaknya akan berusaha dalam pelbagai cara untuk mencapai jumlah itu termasuk melalui pemasaran yang efektif dan iklan dalam media sosial bagi mengajak umat Islam terus menyumbang demi manfaat golongan asnaf di seluruh negara.Beliau berkata, walaupun jumlah sumbangan yang diterima agak perlahan tapi ia menunjukkan trend positif, insya-Allah berkat tempoh dua minggu yang berbaki ini, Dr Ahmad Sanuri optimis pihaknya akan menerima perkhabaran gembira.
Majlis Berbuka Puasa meraikan golongan asnaf dan anak yatim dari beberapa kawasan terpilih bagi memberi peluang mereka menikmati hidangan yang lazat dan eksklusif.
"Pasukan Yayasan Maghfirah akan terus berusaha dalam pelbagai kepakaran bagi mengajak umat Islam memberi sumbangan demi membantu mereka yang memerlukan, selebihnya kami serah kepada Allah kerana Dia yang memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki.
"Tahun lalu (2023), kami berjaya mengumpul RM300,000 dan memberi manfaat kepada lebih 10,000 asnaf dan golongan memerlukan di seluruh negara dan Kempen Raikan Ramadan tahun ini (2024) membuka peluang kepada masyarakat untuk merebut keberkatan Ramadan untuk dikongsi bersama orang lain."Yayasan Maghfirah berharap melalui dana yang dikumpulkan nanti, ia dapat mengagihkan kepada lebih 10,000 penerima kempen Raikan Ramadan di kalangan asnaf dan golongan yang memerlukan di seluruh negara selain duit raya," katanya.Dr Ahmad Sanusi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa meraikan pelajar tahfiz dan 350 asnaf dan anak-anak yatim di Bangi Avenue Convention Centre di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Turut hadir, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Pengerusi Eksekutif YM, Muhd Sahrularifin Ab Manan; Ketua Pegawai Eksekutif YM, Muhammad Shuib Norudin; dan Duta Raikan Ramadan YM, Dr Mohd Erfino Johari.
Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Menurut Dr Ahmad Sanusi, trend penyumbang sekarang berdasarkan isu, contohnya ketika pandemik Covid-19 dan PKP, ia tahun cemerlang bagi YM kerana sumbangan yang diterima amat memuaskan kerana ketika itu, masyarakat tidak banyak platform untuk menggunakan wang, jadi mereka boleh memberi sumbangan dengan mudah
"Tapi, selepas PKP, mereka memberi sumbangan berdasarkan isu, jika ramai yang susah dan mereka tersentuh dengan motivasi yang disampaikan, insya-Allah mereka akan menyumbang."Jika mereka mendapati tidak ramai orang susah untuk dibantu, memang sukar untuk mendapatkan sumbangan. Ini juga bergantung bagaimana YM menyebarkan dan memaklumkan kepada masyarakat kesusahan yang berlaku dalam masyarakat." Kadangkala mereka mungkin tidak tahu dan kami perlu melakukan secara konsisten supaya maklumat itu sampai kepada mereka," katanya.
Mengenai isu stokin yang menggunakan lambang Allah, beliau setuju jika tindakan tegas diambil bagi memberi pengajaran kepada pihak terbabit dan orang lain agar jangan melakukan perkara yang sama. Sebelum ini, ada kes seumpama itu, apabila mereka meminta maaf, ia akan dilupakan.
"Tapi, dalam kes ini, tindakan patut diambil dan saya menyokong titah Pemangku Sultan Johor dan Yang Dipertuan Agong agar penduduk berbilang kaum dan agama di negara ini saling memahami kerana Islam tidak pernah mengganggu agama lain seperti Buddha, Hindu atau Kristian, sepatutnya mereka juga berbuat begitu. Apa untungnya menghina agama lain dan menimbulkan keadaan huru hara?" katanya lagi.
Keceriaan jelas kelihatan pada wajah anak-anak yatim yang diraikan di Majlis Berbuka Puasa bersama Yayasan Maghfirah.
Sementara itu, Muhammad Shuib Norudin berkata, majlis berbuka puasa seumpama ini akan diadakan lagi di Pusat Latihan dan Dakwah YM di Lenggeng, Negeri Sembilan pada akhir Ramadan untuk menyantuni kira-kira 300 masyarakat tempatan selain mengagihkan bakul makanan kepada golongan memerlukan sempena Aidilfitri.
Beliau berkata, selain majlis berbuka puasa, YM turut menggiatkan usaha meningkatkan program Kelas Sahabat al-Quran, yang merupakan anak emas yayasan itu sejak 2018.
"Sejak 2018 hingga 2023, YM dapat mengumpulkan 800 pelajar dan kami berharap dapat mencapai sasaran 1,000 pelajar untuk program Sahabat al-Quran ini di seluruh negara selain memantapkan kelas Sahabat al-Quran braille.
"Setakat ini, kami menaja lebih 400 pelajar di seluruh negara. termasuk Sabah, insya-Allah program ini akan memasuki kawasan di Sarawak berikutan permintaan dan adanya golongan seumpama itu di negeri terbabit," katanya.
Ditanya perancangan masa depan, katanya YM serius untuk membina jaringan pendidikan melalui projek pembangunan Pusat Latihan dan Dakwah (PLD) di Lenggeng, Negeri Sembilan dan rangkaian sekolah Maghfirah.
Muhammad Shuib Norudin.
"Alhamdulillah, Maahad Tahfiz Al-Maghfirah (MATAM) beroperasi sejak tahun lalu (2023) dan mulai Mac tahun ini (2024), dua cawangan Sekolah Rendah Islam Integrasi Maghfirah (SRII Maghfirah) mengadakan pembelajaran penuh.
"Kami juga menyasarkan penubuhan Maghfirah International Leadership Boarding School (MILBoS International) Malaysia bagi mengangkat martabat sekolah berpendidikan agama secara berasrama penuh mulai 2027.
"MILBoS Malaysia yang bakal beroperasi empat tahun lagi menggunakan konsep pendidikan hati ala Rasulullah yang fokus pada potensi dan karakteristik individu. Penerapan sunah-sunah Nabi SAW dalam rutin harian pelajar bagi membentuk keperibadian yang baik, kecerdasan akal dan mampu hidup berdikari.
"Sekolah asrama penuh itu akan menggunakan konsep pendidikan seperti saudara kami di Maghfirah Islamic Boarding School Bogor, Indonesia. Insya-Allah, MILBoS Malaysia bakal beroperasi pada 2027," katanya. - KitaReporters
Pelajar tahfiz turut diraikan Yayasan Maghfirah dalam program Berbuka Puasa di Bangi Avenue Convention Centre, Bandar Baru Bangi, Selangor.