Video| Musholla Mahabbah unik, cantik! Dibiayai sepenuhnya bukan Muslim! Pemilik pusat beli belah!
Published by.
NAMANYA ‘Musholla Mahabbah’, terletak di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Biasanya musholla bermaksud ruang atau surau kecil untuk solat. Misalnya seperti yang terdapat di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) atau stesen minyak.
Namun tidak
demikian keadaannya dengan Musholla Mahabbah. Ia merupakan tempat solat yang
besar dan luas. Sebenarnya ia bertaraf masjid tetapi pemiliknya, Benny Lukman,
tetap menamakannya sebagai musholla.
Musholla ini terbesar di Sulawesi dan mungkin juga di Indonesia, mampu menampung sehingga 2,8000 jemaah lelaki dan perempuan pada satu-satu masa.

Kompleks Beli Belah Panakkukang, Makassar, yang menempatkan 'Mushoola Mahabbah' di aras tiga kompleks tersebut.
Mushollah kebanggaan warga Makassar dan Sulawesi ini memiliki tiga keunikan.
Pertama, pemilik yang membangunkan mushollah tersebut, Benny Lukman, seorang hartawan bukan Muslim. Namun dia tidak kisah berbelanja untuk kepentingan masyarakat Muslim. Benny menanggung sepenuhnya kos pembinaan mushollah tersebut.
Kedua, mushollah bukan di atas tanah,
tetapi di aras tiga Kompleks Beli Belah (mall) Panakkukang, Sulawesi. Kompleks
ini juga milik Benny Lukman, dikatakan kompleks beli belah terbesar di Sulawesi dan Indonesia.
Benny juga ialah pemilik Hotel dan Pusat Konvensyen Myko.
Oleh itu jika datang bersama keluarga, tidak bimbang terpisah jauh apabila yang lelaki bersolat di dewan solat lelaki dan yang perempuan di dewan solat perempuan.

Ruang solat yang luas dan selesa memberi keceriaan kepada pengunjung Musholla Mahabbah.
Sebahagian jemaah menunaikan solat di Musholla Mahabbah.
Ruang solat untuk lelaki panjangnya 45 meter, lebar 30 meter. Ia boleh menampung sehingga 2,200 jemaah dalam 45 saf pada satu-satu masa. Ruang solat perempuan pula boleh menampung hingga 600 jemaah pada satu-satu masa.
Kemasan serta reka bentuk dalaman Mushollah Mahabbah begitu gah. Tempat berwuduknya istimewa, direka bentuk seperti lampu Aladdin. Apabila paip dibuka, air mengalir daripada lampu menuju mangkuk penadah di bawahnya untuk berwuduk. Semuanya ada 24 tempat berwuduk.

Tempat berwuduk Mushollah Mahabbah direka bentuk seperti lampu Aladdin, antara ciri unik di musholla tersebut.

Mengambil wuduk di Mushollah Mahabbah menggunakan 'lampu ajaib' Aladdin.
Tulisan khat ayat-ayat suci Al-Quran memenuhi bahagian dinding masjid. Tulisan penuh berseni bukan hanya untuk hiasan tetapi untuk ditatapi dan dibaca oleh jemaah yang datang bersolat.
Reka bentuk dalaman mirip seni reka Timur Tengah, cantik berseri. Pintu dibuat daripada kayu tebal, dihiasai ukiran daripada tembaga. Pada dinding, selain khat, diserikan pula dengan ukiran mural menarik.

Ukiran penuh berseni pada pintu Mushollah Mahabbah.

Ukiran khat dan mural menyerikan dinding Musholla Mahabbah.
Bahagian siling dihiasi dengan ukiran pelbagai corak pelbagai warna. Ia kelihatan sangat cantik dan bersinar diterangi cahaya lampu. Sangat indah pemandangan refleksi cahaya ke atas ukiran.
Permaidani ruang solat pula diimport khas dari Turkiye (Turki). Cantik dan tebal. Dinding tempat menyimpan barang dihias dengan cermin berwarna warni atau ‘stained glass’. Tempat menyimpan kasut dan barang pun diimport dari Turkiye.

Indahnya ukiran siling Mushollah Mahabbah, menyerikan pemandangan dalaman musholla.
Lakaran siling yang cantik pada tempat mengambil wuduk di Mushollah Mahabbah, diserikan pula dengan jubin dihiasi mural.
Segala keindahan dan kemudahan yang dipaparkan di dalam Mushollah Mahabbah menampilkan ketelitian dan kehebatan seni reka. Ia mewujudkan persekitaran kondusif agar jemaah selesa dan santai.
Ternyata Benny Lukman tidak berkira berbelanja. Baginya, yang penting mengadakan sebuah mushollah serba canggih sebagai pelengkap kepada kompleks beli belah miliknya.
Manfaatnya bukan sahaja kepada pengunjung yang datang membeli belah, tetapi masyarakat umum keseluruhannya. - KitaReporters
Ukiran kaca berwarna warni menghiasi tingkap tempat menyimpan barang di Musholla Mahabbah.