Video| Kisah revert Yusuf Estes! Menyukai Islam tetapi berahsia! Tiba-tiba isteri minta cerai? Kenapa?

Published by
KitaReporters

.


Entah berapa kali sudah ulang dengar kisah bekas paderi (preacher @ pastor) Kristian, Yusuf @ Joseph Edward Estes masuk Islam.

Ada sesuatu menarik mengenai kisah bagaimana beliau dan isteri masuk Islama atau kembali kepada Islam. Setiap insan dilahirkan sebagai Muslim tetapi terpesong kepada agama lain sama ada kerana mengikut pegangan orang tua atau pilihan sendiri, apabila memilih untuk bersyahadah, bermakna mereka kembali kepada Islam (revert).

Apa yang menariknya tentang kisah Yusuf Estes? Allah SWT mengatur perjalanan cerita yang sangat unik. 

Bagaimana seorang yang teguh Kristian, tinggi ego selaku pendakwah, penentang kuat Islam, akhirnya mendapat hidayah, serentak pula dengan isterinya tanpa mereka mengetahui detik hati masing-masing terhadap Islam ketika itu. 

Ketika Yusuf Estes sudah mulai minat terhadap Islam, beliau enggan memberitahu sesiapa malah ingin menyembunyikan daripada isterinya. 

Semuanya gara-gara dua orang berlainan agama bertamu di rumah mereka, seorang paderi Kristian yang sakit jantung dan seorang lelaki Muslim biasa.  


Daripada paderi dan pendakwah Kristian tegar, Yusuf Estes kembali kepada Islam ekoran pertemuan pertama dengan insan Muslim yang biasa tetapi berilmu.


Mengambil kesempatan mereka berkumpul di satu rumah (rumah ayah Yusuf Estes), diadakan sesi perkongsian mengenai agama (Kristian dan Islam). Keluarga yang menerima tetamu berkenaan ialah Yusuf Estes, ayah dan isterinya.

Keluarga Kristian dan seorang tetamu Kristian itu bukan calang-calang orang, masing-masing tahap paderi dan pendakwah, sementara lelaki Islam itu hanya seorang Muslim biasa tetapi berilmu tinggi.

Tidak disangka pertemuan beberapa ahli tegar Kristian dengan tetamu Muslim itu memberi cahaya hidayah kepada masing-masing. Lelaki Muslim itu berjaya menyampaikan perihal Islam dengan jelas, membuat mereka yang Kristian dalam diam akui kalah dari segi perdebatan logik akal berkaitan ketuhanan agama mereka.

Gara-gara gagal mencari satu hujah logik untuk menerangkan konsep trinity Kristian dalam perbincangan sesama mereka, akhirnya Yusuf Estee bertanyakan kepada tetamu Muslim itu mengenai konsep ketuhanan Islam dan tetamu Muslim itu menerangkan konsep ketuhanan Islam berdasarkan surah Al-Ikhlas, yang membuatkan kesemua terpana.

Selepas mendengar banyak hal mengenai Islam daripada lelaki Mesir itu, pegangan mereka terhadap Kristian mulai goyah namun pada awalnya masing-masing menyimpan saja gejolak di hati.


Yusuf Estes memeluk Islam pada tahun 1991


Suatu hari, ketika Yusuf Estes berhadapan dengan isterinya dan membuka perbualan berkait agama, dengan tidak semena-mena si isteri minta untuk berpisah.

"Saya ingin cerai," kata si isteri dengan tegas, yang tentunya sangat mengejutkan si suami. Yusuf Estes menyangka isterinya mengesyaki beliau telah tertarik kepada Islam. 

Lantas beliau menafikannya. "Kenapa? No way I want to be a muslim. Beliau menafikan sekeras-keras sambil menunjukkan reaksi jelik dan berjanji tidak sekali kali akan menerima Islam. 

Namun apa yang diluahkannya itu ternyata bertentang sama sekali dengan apa yang ada di sudut hatinya. Percubaan menyimpan ego. Tidak sanggup meluahkan apa yang sebenar di hatinya. Sedangkan beliau sendiri sudah goyah pegangan terhadap Kristian dek penerangan tetamu Islam itu. 

Lantas si isteri menjawab, “makanya saya mahu cerai, sebab awak kata awak tak boleh terima Islam. Sedangkan saya mahu jadi Muslim." "Apa?" Sekali lagi Yusuf Estes terpana bercampur gembira. 

Si isteri meneruskan kata. "Saya nak cerai kerana seorang wanita Muslim tidak boleh bersuamikan lelaki bukan Muslim, kerana itu saya nak cerai!”

Mendengarkan itu membuat Yusuf Estee sekonyong konyong gembira kerana rupa-rupanya mereka berfikiran serupa. Apabila Yusuf Estes berkata mereka boleh terus bersama kerana beliau juga ingin masuk Islam, si isteri marah kerana tidak percaya lalu menyebut, “sama ada apa yang awak kata tadi menipu atau sekarang awak menipu.”



Setelah diterangkan dengan jelas mengenai niatnya yang juga sudah mempercayai Islam, akhirnya beliau dan isteri bersyahadah di hadapan tamu Muslim itu dan kejadian itu berlaku pada tahun 1991. 

Lelaki Muslim itu bernama Muhammad, seorang yang berperwatakan biasa tetapi alim dan serba tahu serta bijak menjawab banyak hal seputar Islam. Lelaki Kristian yang sakit jantung itu juga menerima Islam, malah dia bersyahadah lebih awal, iaitu ketika mengikut Mohamed pergi ke sebuah masjid.

Selepas mendapat banyak penjelasan mengenai Islam daripada Muhammad yang baru dikenalinya itu, dia meminta untuk mengikut pergi ke masjid. 

Pulang dari masjid, dia tiba-tiba sudah berubah imej sebagai Muslim menerusi pakaian, dan keadaan itu sangat mengejutkan Yusuf Estes. Sempat dia bertanyakan bekas pendakwah Kristian itu bagaimana keadaan di masjid.

Sejak dari itu, hilang sudah egonya, tiada lagi hasrat untuk menarik Muhammad kepada Kristian. Malahan tanpa segan dan silu, memohon penjelasan lanjut mengenai Islam daripada Muhammad, yang akhirnya membawa beliau dan isteri sama-sama menerima Islam.

Tidak berapa lama selepas itu, ayah Yusuf Estes pula bersyahadah. Bayangkan dengan mendengar maklumat daripada Muhammad seorang mengenai akidah dan pegangan Islam, mereka kesemuanya mendapat hidayah.



Segalanya bermula apabila si ayah meminta Yusuf Estes untuk melayani kunjungan seorang insan Muslim dari Mesir untuk satu urusan. "Kisahnya, mula-mula saya sangat teruja sebab pernah mendengar pasal Mesir tapi bila ayah berkata orang itu seorang Muslim, saya terus terkedu, pantas kata tidak! Saya kata, saya tidak akan lakukannya. 

Mendengar perkataan Muslim, yang terbayang di benaknya adalah seseorang berjanggut lebat, penculik dan perampas (hijackers).

"Tapi ayah tegas mahu saya berjumpa dengannya lalu saya kata: Baik, saya jumpa untuk awak tetapi akan pergi dengan cara saya.”

Jauh di sudut hati Yusuf Estes berazam untuk `memperkenal` lelaki Muslim itu dengan Tuhan Jesus dan akan pastikan dia masuk Kristian!

Tiba harinya, saya tungggu seorang memakai jubah putih atau hitam, janggut panjang tetapi saya tak nampak orang seperti itu, orang yang bergaya seperti imam atau memegang pedang, 

“Mana dia? Saya tanya ayah. Ayah kata, dia ada di sini,  ini dia… dan saya lihat orangnya normal tak pun berjanggut malah tak ada rambut pun, dan kami bersalam, dia beritahu Namanya, Muhammad.

Jangan terlepas untuk tonton video penuh yang disertakan di bawah artikel ini untuk mengetahui perjalanan kisah yang membawa Yusuf Estes kepada Islam, selepas bertemu dengan Muhammad.


Joseph Edward Estes @ Yusuf Estes semasa muda. - Kredit foto: Utusan


Asalnya keluarga Yusuf Estes adalah orang kuat gereja selaku pendakwah dan pengarah muzik gereja. Bagi yang tidak tahu, muzik sangat penting dalam acara keagamaan Kristian di gereja. 

"Kedudukan kami menguruskan hal ehwal muzik dan peralatan, yang juga sumber bisnes keluarga. jadi paderi adalah tugas kedua," katanya. Muzik adalah satu perniagaan yang bagus untuk mereka yang dikatakan sudah mencapai jutawan.

Yusuf Estes dilahirkan dalam keluarga kuat pegangan Kristian di Barat Tengah, Amerika Syarikat. Malah keluarga dan nenek moyangnya bukan sahaja membina gereja dan sekolah di serata kawasan tersebut, tetapi merupakan peneroka awal di sana. Pada 1949, beliau mengikut keluarganya berpindah ke Houston, Texas.

Seperti keluarganya, beliau juga sering ke gereja pada zaman remaja. Minat Yusuf Estes terhadap agama tidak terhad kepada Kristian. 

Dia juga belajar mengenali Hinduisme, Judaisme, Buddhisme, kajian-kajian mengenai metafizik dan kepercayaan lain peribumi Amerika tetapi hanya mengenali Islam setelah bertemu dengan insan bernama Muhammad dari Mesir. 

Kini beliau yang lebih dikenali Sheikh Yusuf Estes, adalah cendekiawan terkenal yang tidak pernah jemu mengembangkan syiar Islam ke seantero dunia serta mengedarkan bahan-bahan ceramah dalam pelbagai medium kepada umat manusia. - KitaReporters


14
9
0
16
0

Copy Link: