Waktu Bekerja Fleksi khas sepanjang Ramadan! Kakitangan Perlis bekerja 8pg -12.30tgh hari Jumaat!
Published byKerajaan Negeri Perlis telah memutuskan untuk melaksanakan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) khas sepanjang bulan Ramadan bagi penjawat awam di negeri ini. Keputusan tersebut dibuat pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang bersidang pada 26 Februari 2025.
Menurut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, WBF Ramadan ini akan membolehkan penjawat awam di negeri Perlis bekerja dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan 1446H/2025M.
Mohd Shukri Ramli.
"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan penjawat awam, pelaksanaan ini diharap dapat memberi ruang kepada mereka untuk meningkatkan ibadah dan ketakwaan sepanjang bulan yang mulia ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa Ketua Jabatan pada peringkat negeri bertanggungjawab memastikan kelancaran urusan perkhidmatan, termasuk perkhidmatan kaunter, bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada pelanggan.
Bagi kakitangan Jabatan Persekutuan, pelaksanaan WBF ini bergantung kepada arahan Ketua Jabatan masing-masing.

Gambar hiasan... Pasar Ramadan dijangka menjadi tumpuan sepanjang Ramadan ini.
"Keistimewaan ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mendapatkan keberkatan Ramadan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT," tambah Mohd Shukri.
Dengan pelaksanaan WBF ini, penjawat awam Perlis berpeluang menyesuaikan jadual kerja mereka dengan ibadah Ramadan tanpa menjejaskan perkhidmatan awam kepada rakyat. - KitaReporters

Bazar Ramadan dijangka tumpuan rakyat negeri ini.