FAKTA yang diketahui umum bahawa penduduk Malaysia semakin menua, dengan anggaran menjelang 2030 lebih 15.3% daripada populasi akan berumur lebih 60 tahun. ‘Trend’ kesihatan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dijangka hidup lebih lama.

Penduduk yang semakin menua menunjukkan peningkatan dalam kelaziman keadaan kesihatan kronik seperti demensia, strok, penyakit jantung dan kanser. Keadaan itu memerlukan jumlah sumber penjagaan yang besar.

Majoriti warga emas Malaysia melaporkan bahawa mereka mahu kekal di rumah mereka sendiri. Secara tradisinya, menjaga orang tua kita dianggap sebagai tugas ahli keluarga, namun pada zaman ini, pandangan itu sudah berubah. 

Ramai warga emas ingin mengekalkan kemerdekaan mereka lebih lama dan ramai ahli keluarga difahamkan tidak berpengalaman untuk menjalankan tanggungjawab penjagaan bagi keadaan seperti demensia. Oleh itu, terdapat keperluan semasa dan masa depan untuk penjaga terlatih secara profesional.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Integriti, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad), Zulkifli Mawardi (Zul Mawardi), berkata KPS Berhad melihat perkara itu sebagai satu peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan meningkatkan kesediaan negara ke arah menyokong dan melindungi penduduk yang semakin menua di Malaysia.


Hizlan Hasanuddin dan Zul Mawardi (belakang, tengah) bersama-sama sebahagian 25 pelatih yang menamatkan latihan program penjagaan warga emas.


Menurutnya, sebagai menyempurnakan peluang itu pada 2019, KPS Berhad mula memperkenal inisiatif KPS ‘Caregiver Program’ (Program Pengasuh KPS) dan peserta program berkenaan dipilih dengan teliti daripada dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah dan asnaf. 

Tambahnya, secara ringkasnya objektif program inisiatif itu adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan warga emas dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf untuk mendapatkan latihan teori serta praktikal tahap piawaian penjagaan Australia Cality Care.

“Ia juga bagi menyediakan peluang kerjaya kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf untuk bekerja dalam sektor penjagaan warga emas dengan melaksanakan program pengambilan pekerja mampan yang sesuai dengan falsafah tanggungjawab sosial korporat (CSR) KPS Berhad.

“KPS ‘Caregiver Programme’ ini juga untuk meningkatkan taraf ekonomi sosial belia Selangor yang menganggur dan menawarkan pengalaman menimba ilmu yang unik dalam industri,” ujarnya ketika kepada pemberita pada Majlis ‘Social Investment KPS Caregiver Initiatives 2024 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 8 Ogos 2024.


Dari kanan, Hizlan, Mohiadin Bahado, Azman Rasman dan Zul Mawardi merakamkan kenangan bersama-sama pelatih Cality Care Malaysia Sdn Berhad dan warga emas PJMM pada Majlis ‘Social Investment KPS Caregiver Initiatives 2024.


Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Penjagaan Cality Care Malaysia Sdn Bhd, Hizlan Hasanuddin; Pengurus Operasi Cality Care Malaysia Sdn Bhd, Azlan Abdullah; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus serta Setiausaha PJMM, Sadali Mohiden; dan Muhammad Syafiq Mohiadin.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sijil kepada 25 pelatih yang menamatkan latihan program penjagaan warga emas, serta menjalankan aktiviti melukis poster serta senaman ringan bersama-sama warga emas, dan penyerahan sumbangan barangan asas keperluan harian kepada PJMM.

Zul Mawardi berkata, KPS Caregiver Program ialah skim perintis yang mewujudkan peluang kepada peserta daripada golongan berpendapatan rendah dan asnaf untuk berjaya memperoleh pekerjaan serta peluang perniagaan yang bermakna sebagai pengasuh dalam industri penjagaan warga emas.


Kakitangan dan pelatih Cality Care Malaysia Sdn Bhd melakukan aktiviti senaman ringan bersama-sama warga emas dalam membantu memulihkan kecergasan.


Jelas beliau, peserta program itu dipilih dengan teliti daripada golongan berpendapatan rendah serta asnaf dan dalam tempoh lima tahun sejak 2019, 245 peserta berjaya menamatkan latihan dan menerima pensijilan dalam penjagaan warga emas.

Setakat ini, 80% daripada jumlah peserta program berkenaan mampu menjana pendapatan melebihi RM1,500 sebulan sebagai pengasuh bebas.

Tambahnya, mengenai komponen di bawah modul latihan inisiatif program berkenaan, adalah berdasarkan Australia's Certificate III in Individual Support (Ageing).  

“Latihan ini dikendalikan sepenuhnya oleh Cality Care Malaysia selama lapan bulan secara keseluruhan yang merangkumi teori serta penjagaan praktikal dengan pelanggan sebenar,” ujarnya. 


Warga emas menyertai aktiviti melukis poster bersama-sama kakitangan dan pelatih Cality Care Malaysia Sdn Bhd.


Zul Mawardi berkata, berdasarkan pengalaman KPS Berhad dalam menjayakan inisiatif pelaburan sosial, KPS Caregiver Program merupakan antara inisiatif disambut baik dalam kalangan golongan sasaran dan jelas memberi impak Social Return on Investment (“SROI”) yang tinggi.

“KPS Berhad sedar bahawa ramai daripada dalam golongan yang kurang berkemampuan itu ingin meningkatkan status sosioekonomi mereka.

“Dalam jangka panjang, KPS Berhad berharap program inisiatif itu bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah pengasuh atau penjaga warga emas yang berkelayakan di negara ini, malah ia juga dapat meningkatkan kedudukan sosioekonomi dalam golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

“KPS Berhad mengambil serius peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan berbangga kerana kerana sudah mampu mempamerkan komitmen sosial di samping akan terus komited dalam melakukan lebih banyak lagi inisiatif program bantuan sosial untuk membangun dan memperkasakan komuniti di mana kami beroperasi,” tegasnya.


Hizlan menyampaikan sijil kepada seorang pelatih penjagaan warga emas.


Zul Mawardi (dua dari kiri) dan Hizlan (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan barangan asas keperluan harian kepada PJMM.


Sementara itu, Hizlan berkata, dalam tempoh lima tahun itu, Cality Care Malaysia Berhad begitu komited menjayakan program berkenaan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab bagi membantu golongan B40 dan asnaf yang mendapat bantuan zakat meningkatkan taraf ekonomi dan hidup.

Menurutnya, dengan dana yang disediakan KPS Berhad, Cality Care Malaysia Berhad sentiasa meningkatkan usaha serta pembaharuan dalam latihan yang diberikan pelatih supaya mampu menjadi tenaga mahir dalam penjagaan warga emas.

“Mereka juga akan bertindak sebagai pemudah cara dengan menjadi tempat rujukan warga emas yang memerlukan penjagaan atau bimbingan bagi meneruskan kehidupan seharian untuk mengelak terabai tanpa pengurusan yang betul.

“Dalam perkara sedemikian pelatih yang berada di lapangan juga memerlukan kerjasama serta sokongan masyarakat setempat untuk menjayakan misi penjagaan atau pengurusan warga emas supaya dapat disantuni dengan sebaik mungkin,” katanya. - KitaReporters


Hizlan menyampaikan cenderahati kepada Zul Mawardi.

13
11
0
6
0

Copy Link: