Muhammad Haziq Zikry Zulkifli bersama salah seorang kakittangan UTHM Kampus Parit Raja, Batu Pahat, Johor ketika mendaftar diri sebagai mahasiswa universiti tersebut pada 8 Oktober 2022 lalu.


Tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Tun Husssien Onn Malaysia (UTHM)  kampus Parit Raja, Batu Pahat, Johor sesi 2022/2023 sedikit sebanyak mampu mengubati kesedihan seorang remaja yang terpaksa menjalani kehidupan sebagai orang kelainan upaya (OKU) selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai 2022 lalu yang menyebabkan bahagian betis dan ke bawah pada kaki kirinya terpaksa dipotong.

Muhammad Haziq Zikry Zulkifli, 19, mengakui pada awalnya dia sukar untuk menerima kenyataan dia kehilangan sebahagian kaki kirinya sekali gus bergelar OKU dalam sekelip mata akibat kemalangan tersebut dan merasakan masa depannya ketika itu menjadi gelap.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan insan-insan OKU


"Namun berkat sokongan keluarga serta rakan-rakan yang banyak memberi semangat, saya mula sedar bahawa musibah yang menimpa bukan pengakhiran segala impian saya untuk bergelar graduan satu hari nanti dan mungkin ada hikmah di sebaliknya dengan menjadikan saya kembali bersemangat berusaha mengapai cita-cita

"Saya mahu melupakan kejadian tersebut dan fokus dalam pelajaran bukan sekadar pada peringkat ijazah, malah akan terus berusaha ke peringkat lebih tinggi kerana saya tidak mahu menjadikan kekurangan ini sebagai alasan untuk terus bersedih dan menghalang usaha saya untuk bersaing dengan pelajar lain nanti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor.


Keadaan motosikal Muhammad Haziq Zikry yang dirempuh oleh motosikal berkuasa tinggi ketika dalam perjalanan pergi kerja pada 20 Julai 2022 lalu.

Dia juga menyifatkan tawaran mengikuti program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di UTHM Kampus Parit Raja yang diterima pada awal bulan Oktober ini sebagai peluang terbaik baginya bukan sahaja membuktikan kemampuan diri kepada keluarga, malah kesempatan terbaik membalas jasa kedua ibu bapa serta adik beradik lain yang banyak berkorban terutama ketika tempoh dia dirawat di hospital.

Menurut anak kedua daripada lima adik beradik itu, dia telah pun menyelesaikan semua urusan pendaftaran pada 8 Oktober 2022 lalu dan sesi pembelajaran akan bermula pada pertengahan Oktober ini.

Bagaimanapun dia akan hanya memulakan pengajian pada March 2023 kerana pihak UTHM  mengizinkannya menangguhkan pengajian selama satu semester bagi tujuan urusan rawatan yang masih perlu dijalaninya.

 Katanya, dia sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi kerana terpaksa menyesuaikan diri menggunakan kaki palsu yang mungkin akan mengambil masa nanti, namun dia tidak mahu menjadikannya sebagai alasan untuk mengharap simpati mahupun diberi keistimewaan oleh pihak universiti.


Keadaan Muhammad Haziq Zikry ketika menerima kunjungan ibunya, Zetiakhttar Jani dan bapanya Zulkifli Yaacob (kanan) serta ADUN Bekok, Tan Chong (kiri) di Hospital Segamat.


Haziq yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar berkata, kemalangan berlaku ketika dia yang menunggang motosikal kira-kira pukul 12 tengah malam untuk ke tempat kerja di sebuah kedai sebaneka di Labis pada 20 Julai 2022 lalu apabila dia dirempuh oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi yang menyebabkan kaki kirinya mengalami kecederaan parah dan terpaksa dipotong dari paras betis ke bawah.

"Selepas menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Johor di Tangkak, saya mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan bagi mengisi masa lapang dan mengumpul duit poket untuk melanjutkan pelajaran sementara menunggu tawaran dari mana-mana pusat pengajian tinggi. 

"Saya reda dengan apa  yang berlaku sebagai ketentuan takdir, namun saya tidak patah semangat untuk berusaha dalam pelajaran bagi menjadi contoh kepada adik-adik serta remaja lain bahawa kekurangan diri bukan pengakhiran untuk menjadi insan yang berjaya satu hari nanti," katanya.


 Kedatangan rakan-rakan yang melawatnya selepas keluar dari hospital mampu memulihkan semula semangat Muhammad Haziq Zikry (dua dari kiri).


Sementara itu bapanya, Zulkifli Yaakob, 52, menyifatkan anak kedua daripada lima adik-beradik itu sebagai seorang pendiam serta tidak cerewet dalam banyak hal selain anak yang patuh kepada ibu bapa.

Dalam masa sama dia tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dengan apa yang menimpa anaknya itu dan yakin Haziq seorang anak yang berjiwa besar dan mampu menghadapi segala cabaran yang mendatang untuk menjadi contoh kepada adik-adiknya serta rakan sebaya lain.


 Muhammad Haziq Zikry terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak sementara menunggu kaki palsu.


"Sebagai bapa sudah tentu saya mengharap Haziq bukan sahaja berjaya dalam pelajaran, tetapi turut berjaya dalam hidup. Apa yang penting ketika ini, kami perlu memberi semangat kepadanya untuk terus berusaha dan berdikari  selain memastikannya tidak berasa rendah diri.

"Walaupun saya berasa sedih dengan apa yang berlaku, namun saya tetap bersyukur anak saya masih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran serta berusaha untuk menjadi insan berguna yang mampu menyumbang bakti kepada keluarga dan masyarakat pada satu hari nanti jika dia berusaha bersungguh-sunguh ke arah itu,"katanya. -Kitareporters


Dorongan serta perhatian keluarga antara faktor penting yang membuatkan Muhammad Haziq Zikry melalui proses pemulihan degan lebih cepat.  

16
13
2
12
0

Copy Link: