.


SULAM atau Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) merupakan satu keadah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang membabitkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat.

Sehubungan itu, 24 pelajar Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka belajar dalam bilik kuliah untuk membuat SULAM bagi subjek psikologi penuaan.


Nurshahirah Ashaari (tiga dari kanan) bersama-sama rakan menyantuni warga emas dalam aktiviti mewarna.


Untuk tujuan itu mereka bersama Pensyarah fakulti berkenaan, Dr Asma Perveen mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, bagi menjayakan Program Mahasiswa Bersama Komuniti: Sejahtera Pada Usia Emas pada 4 Januari 2025.

Ketua program itu, Nurshahirah Ashaari, berkata dia bersama rakan-rakan akan mengaplikasikan dengan menggunakan secara amali untuk mempraktikkan lagi apa yang dipelajari dalam bilik kuliah dengan menyantuni warga emas di PJMM yang mempunyai pelbagai kisah hidup sama ada duka atau gembira.


Asma Perveen (tiga dari kiri) memantau pelajarnya melakukan aktiviti psikologi penuaan dengan warga emas di PJMM.


Menurutnya, kami beramah mesra dengan warga emas menerusi bahasa pertuturan atau emosi yang lemah lembut supaya dapat memahami permasalahan yang dilalui dalam kehidupan mereka sebelum terdampar di PJMM sehingga ada disisihkan terus oleh ahli keluarga.

Tambahnya, sesetengah apa yang diceritakan oleh warga emas terbabit mengenai kisah hidup mereka memang menyentuh hati semua sehingga membuat bergenang air mata dan ini antaranya membuktikan keberkesanan apabila kita berada di lapangan dalam membuat SULAM.


Pelajar Fakulti Pembangunan Manusia UPSI merakam kenangan bersama-sama warga emas  PJMM selepas Program Mahasiswa Bersama Komuniti: Sejahtera Di Usia Emas pada 4 Januari 2024.


Jelasnya, seperti dalam sesi berkaraoke warga emas, Pakcik Harun Abdullah menyampaikan lagu ‘Pujaan Hatiku’, disusuli Makcik Asiah Mashar mengalunkan lagu ‘Jeritan Batinku’ dan Pakcik Ariffin menerusi lagu ‘Bimbang Serumpun Kasih Terbuang’ dengan wajah sayu berlinangan air mata yang mengambarkan luahan emosi mereka mengenangkan kisah hidup pada masa lalu. 

“Ini semua memberi satu kefahaman kepada psikologi untuk mengetahui mengenai minda dan ingatan serta emosi seseorang termasuk dalam kalangan warga emas mengingati kisah silam menerusi lagu yang dinyanyikan,” ujarnya ketika ditemui pada program itu.


Nurul Rabiatul Adawiyah Ibrahim (dua dari kiri) mendengar rintihan seorang warga emas dalam program berkenaan.


Pada program itu, pelajar terbabit mengadakan sesi perkenalan dan beramah mesra dengan warga emas serta aktiviti permainan mengikut kumpulan seperti membuat jalinan tikar kertas, baling gelung kertas dan mewarna.

Seorang pelajar, Nurul Rabiatul Adawiyah Ibrahim, berkata dia dapat mempelajari bagaimana kehidupan warga emas di pusat jagaan berkenaan dalam kalangan pelbagai usia dan saling membantu kerana sudah uzur serta menghidap pelbagai penyakit.

Menurutnya, apabila disantuni dengan membabitkan dalam aktiviti diadakan itu terpancar kegembiraan serta hubungan erat sesama mereka yang amat merindui suasana berlibur kerana mungkin dapat menghilangkan tekanan perasaan terperap di PJMM.

“Ini semua pendedahan yang bermanfaat kepada kami apabila dapat mempraktikkan dalam psikologi warga emas pada peringkat penuaan yang amat memerlukan perhatian serta kasih sayang seseorang.

“Justeru bagi seorang anak atau saudara mara terdekat yang memiliki ibu bapa atau penjaga menghuni pusat jagaan amat wajar datanglah menjenguh mereka untuk bertanya khabar dan sebagainya yang sekurang-kurangnya mereka ini sedar masih ada orang mempedulikan nasib mereka,” ujarnya lagi.


Pelajar bersama warga emas melakukan senaman ringan sebelum memulakan pelbagai aktiviti.


Manakala Dr Asma pula berkata, program itu merupakan pendedahan terbaik kepada pelajar untuk mempraktikkan secara amali dalam meningkatkan kefahaman mengkaji masalah dari segi emosi dan mental warga emas.

“Saya memberi kebebasan kepada mereka untuk melakukan aktiviti supaya dapat memahami psikologi penuaan seseorang yang lanjut usia dan apakah yang perlu dilakukan untuk mengimbangi kehidupan warga emas supaya berada dalam keadaan tenang dan tidak terlalu stres.

“Kaedah SULAM yang mereka bawakan ini membantu pelajar dalam menjadi seorang yang cemerlang dalam pelajaran dan akan berjaya apabila berada di lapangan bagi menyantuni komuniti selepas tamat pengajian nanti,” jelasnya. - KitaReporters


Asma (kiri) mendengar pelajarnya berbincang mengenai psikologi penuaan selepas menyantuni warga emas yang uzur.

21
7
1
13
0

Copy Link: