Sepanjang Jalan Kenangan | Cerita sunat dulu-dulu! Nampak tok mudim lutut geletar! Sorok dalam reban!
Published by
Terkenang semasa dulu... musim bersunat menjelma setiap kali tiba musim persekolahan. - Kredit foto: FB Urang Pokan
SEOLAH-OLAH satu tradisi, setiap kali cuti hujung penggal persekolahan, ibu bapa mengambil peluang untuk mengkhatankan anak lelaki mereka. Mungkin ia adalah masa yang sesuai kerana cuti sekolah yang panjang membolehkan anak-anak yang berkhatan dapat pulih sepenuhnya sebelum penggal baru persekolahan bermula.
Mutakhir ini, banyak pihak seperti kumpulan komuniti setempat, pihak masjid, surau dan pertubuhan tertentu menganjurkan program berkhatan beramai-ramai dengan pelbagai istilah digunakan, antara yang popular adalah ‘sunaton’.
Baru-baru ini penulis sempat menyaksikan satu program sunaton anjuran sebuah surau yang membabitkan lebih 30 orang peserta. Penulis tidak terbabit dengan acara itu tapi hadir sekadar sebagai penonton.
ACARA berkhatan beramai-ramai mengembalikan tradisi zaman dahulu.
Ia mengembalikan kenangan penulis pada zaman kanak-kanak.
Pada zaman penulis dahulu, sekitar tahun 1970-an, bersunat beramai-ramai menjadi satu tradisi dan acara tahunan yang dinanti-nanti kerana ia berlangsung dengan meriah. Lazimnya, mereka yang tidak bersunat itu terlebih meraikan berbanding anak-anak yang nak bersunat!
Tradisi
inilah yang cuba dihidupkan kembali menerusi program sunaton walaupun tidak
mampu menyalin sepenuhnya majlis berkhatan zaman dahulu. Paling ketara,
berkhatan zaman ini tidak lagi menggunakan khidmat tok mudim sebaliknya
dilakukan oleh doktor.
Mungkin kalau ada sedikit persamaan, peserta sunaton sekarang akan ‘dimandikan’ dengan semburan air oleh anggota bomba berbanding dahulu, anak-anak yang hendak berkhatan diwajibkan berendam di dalam sungai berjam-jam lamanya sebelum berdepan dengan tok mudim.
Kini ada acara berarak dan berselawat sebelum program bersunat beramai-ramai dijalankan.
Dahulu,
berkhatan beramai-ramai adalah acara yang sangat ditunggu-tunggu kerana
kemeriahan memang luar biasa, sama meriahnya dengan majlis kahwin. Di tempat
penulis, berkhatan disebut ‘masuk jawi’. Dari mana asal usul sebutan itu,
penulis sendiri tidak pasti.
Penulis masih ingat, beberapa hari sebelum majlis berkhatan itu, kemeriahannya sudah terasa apabila pelbagai acara dianjurkan. Ibu bapa kepada anak-anak yang akan terbabit dalam acara khatan beramai-ramai itu sepakat menganjurkan majlis doa selamat dan kenduri secara bersama.
Di sinilah kita dapat lihat kesepakatan mereka dalam hidup bermasyarakat. Malah, menariknya, mereka yang anaknya tidak terbabit dalam acara khatan turut menyising lengan membantu menjayakan majlis itu dengan bergotong-royong memasak dan membuat persiapan.
KANAK-KANAK yang akan berkhatan diraikan dalam satu perarakan.
Kanak-kanak
yang akan berkhatan diraikan dengan dipakaikan pakaian yang cantik, lengkap
berbaju Melayu, bersamping dan bertengkolok, paling tidak bersongkok.
Mereka akan diarak ke sekeliling kampung sambil berselawat. Penulis memang tidak melepaskan peluang untuk turut mengambil bahagian dalam perarakan ini.
Kemudian majlis doa selamat dilangsungkan. Ada sesetengahnya turut mengadakan acara khatam al-Quran. Kemuncaknya adalah majlis jamuan yang mana kemeriahannya sama seperti sebuah majlis perkahwinan.
Sebelum pulang, kebanyakan tetamu akan bersalam dengan anak-anak yang akan berkhatan sambil memberi kata-kata semangat dan ada juga menghulur sagu hati.
WATAK Tok Mudim lakonan Zaidi Omar dalam drama 'Siapa Curi Pisau Tok Mudim' digambarkan seorang yang bermisai melintang dan berwajah bengis. - Gambar hiasan
“Ala, bukan sakit pun, macam semut gigit saja. Lepas sunat nanti, dah boleh kahwin.” Kata-kata itu adalah antara dialog yang biasa kita dengar.
Tapi yang kaki menyakat pun ramai. Pelbagai gambaran menakutkan diberi.
“Tok mudim tu akan potong macam sembelih ayam,” kata seorang tetamu. Dan akan ada pula yang menyampuk:”Tok mudim potong guna kapak.” “Eh, taklah,” sambut seorang lagi. ”Dia guna gergaji la.”
Kata-kata itu akan disambut dengan gelak ketawa. Walaupun ia sekadar usikan atau gurauan tapi sedikit sebanyak ia mencetuskan rasa gusar dan gerun kepada anak-anak yang bakal berdepan tok mudim kelak.
Apatah lagi tok mudim sering digambarkan berwajah bengis dengan misai melintang yang bukan saja mencetuskan gerun bila menyerah diri kepadanya malah melihat kelibatnya saja membuatkan seluruh sendi berasa lemah.
PADA zaman dahulu, kanak-kanak yang hendak berkhatan disuruh mandi dan berendam di sungai sebelum bersunat.
Bagi menghilangkan rasa takut dan gementar, pada pagi hari berkhatan, mereka disuruh mandi beramai-ramai di sungai. Ada juga menyatakan tujuan mandi itu adalah untuk melembutkan kulit dan memudahkan tugas tok mudim untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
Lazimnya, penulis dan budak-budak kampung yang tidak berkhatan akan turut memeriahkan acara mandi-manda itu menjadikan ia seolah-olah pesta air.
Sesuatu yang penulis nak kongsi dengan generasi hari ini, kanak-kanak zaman dahulu hanya berbaring di atas dua batang pisang yang diletakkan di ruang tempat bersunat. Tidak ada tilam empuk macam sekarang. Dan mereka disunat tanpa bius.
Gambar hiasan
Sepanjang acara berkhatan itu, kita dapat melihat pelbagai reaksi peserta. Ada yang keluar dengan senyuman, ada pula yang keluar dengan tangisan dan paling menyeramkan bila ada meraung semasa disunatkan.
Malah, ada yang menghilangkan diri sebelum sempat disunatkan, bukan seorang tapi kadang-kadang dua tiga orang serentak. Selalunya, misi meloloskan diri ini berlaku sebaik saja tok mudim sampai.
Penulis masih ingat seorang kawan bernama Man. Dia memang terkenal sebagai ‘samseng kampung dusun’ di kampung itu tapi bila tiba gilirannya untuk disunatkan, kelibatnya tidak kelihatan. Puas ayahnya mencari di sekitar rumah, Man gagal ditemui.
Akhirnya, selepas acara berkhatan selesai dan tok mudim pun sudah beredar, baru Man munculkan diri. Rupa-rupanya Man bersembunyi di dalam reban ayam seorang penduduk kampung!
Ada juga kawan-kawan penulis yang memanjat pokok pinang untuk menyelamatkan diri daripada tok mudim dan tidak turun walaupun puas dipujuk atau digertak akan ditebang pokok itu.
Ramai juga yang bersembunyi dalam semak dan belukar. Tidak seperti Man yang bijak memilih ‘port’ persembunyian, kawan-kawan yang melarikan diri ke hutan belukar memang mudah dikesan. Kesian pula penulis tengok bila mereka diheret oleh ayah masing-masing dan dipaksa bersunat.
TOK MUDIM sering digambarkan seorang yang bengis sehingga menimbulkan kegerunan kepada kanak-kanak yang hendak bersunat. Gambar petikan poster promo sebuah drama tempatan.
Semua
kejadian yang disaksikan itu menyebabkan penulis sendiri fobia mendengar nama
tok mudim. Apatah lagi bila ada kawan-kawan yang memberitahu ngerinya
mereka melihat pisau tok mudim yang tajam berkilat dan betapa sakitnya semasa
dikhatan.
Bila tiba giliran penulis, awal-awal penulis menolak untuk disunatkan oleh tok mudim sebaliknya penulis memilih untuk bersunat dengan kaedah moden di hospital. Walaupun ketika itu ada cerita yang mendakwa bersunat cara moden akan memberi kesan buruk tapi penulis tidak peduli.
Mereka yang ketika itu mempertahan kaedah tradisional mendakwa anak-anak yang melakukan khatan dengan kaedah moden akan berisiko mengalami lemah tenaga batin apabila dewasa tapi hakikatnya ia hanyalah omongan yang tidak berasas. Sekurang-kurang ia tidak berlaku kepada penulis!
Bagi penulis sama ada tradisional atau moden, kedua-dua kaedah membawa kebaikan bagi memenuhi tuntutan agama terutama dalam Mazhab Syafi'i dan Hambali yang melihat berkhatan sebagai wajib. - KitaReporters
Zaman kini bersunat menggunakan kaedah laser bukan pisau atau kapak.