Masjid Al-Hadi di Kampung Makam, Kota  Tinggi, Johor. Dalam kawasan masjid ini terletaknya makam Sultan Mahmud. - Foto oleh Amira Iryanti


“RAJA adil raja disembah, raja zalim raja disanggah!” 

Usai melafazkan kata-kata ini Megat Sri Rama yang dikenali sebagai Laksamana Bentan, menghunus keris menikam Sultan Mahmud Shah 11 yang ketika itu dijulang oleh para pegawai istana.  

Kejadian berlaku pada satu hari Jumaat bulan Ogos 1699 ketika baginda berangkat ke masjid di Kampong Makam, Kota Tinggi untuk solat Jumaat. 

Ketika azan pertama, sultan terkejut melihat laksamana berdiri menghalang laluan di pekarangan masjid.  Laksamana menegur baginda dengan kasar dan kemudian menikam baginda. 

Kejadian tidak diduga itu mengejutkan jemaah di masjid. Mereka bagai terpaku, dan kemudian menjadi gempar. Tidak diduga Panglima Bentan bertindak sedemikian.

Sambil menahan kesakitan, baginda sempat menghunus keris di pinggang lalu melemparkannya ke arah laksamana sambil bersumpah, “Orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi selama tujuh keturunan.”

Baginda mangkat dijulang pada usia 24 tahun. Kerana itu peristiwa ini dikenali sebagai ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’. 

Keris yang baginda lempar menikam ibu jari kaki kiri Panglima Bentan. Serentak itu darah membuak dari mulutnya. Panglima Bentan akhirnya mati.


Di dalam bangunan inilah terletaknya makam Sultan Mahmud, dalam kawasan masjid Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor.


Papan tanda makam Sultan Mahmud di hadapan masjid Kampung Makam.


Penulis baru-baru ini berkesempatan melawat makam Sultan Mahmud dalam bangunan makam di kawasan Masjid Al-Hadi, Kampung Makam. Letaknya hanya beberapa meter dari masjid. 

Di kawasan makam terdapat banyak kubur lama, dipercayai makam pembesar dahulu. Kini ia juga tanah perkuburan penduduk setempat.

Di dalam bangunan ada beberapa makam lain. Makam baginda yang ketujuh dalam barisan, dari sebelah kiri jika memandang ke arah bangunan makam, membelakangi masjid. 

Batu nisan makam Sultan Mahmud lebih besar dan menonjol berbanding makam lain. Selain itu di sisi makam tergantung catatan kisah ringkas kisah pembunuhan baginda.

Menurut direktori makam, Sultan Alauddin Riayat Shah 11, sultan yang membuka Kota Tinggi pada 1530, juga dimakamkan di situ. Makam baginda terletak pada baris pertama. Beberapa makam lain tidak diketahui milik siapa, dicatat sebagai ‘Tidak diketahui’.

Makam Laksamana Bentan terletak di satu kawasan lain, kira-kira dua kilometer dari makam Sultan Mahmud. Makam terletak di tanah tinggi, di tempat terbuka. Ia hanya dipayungi bangsal beratap zink. 

Ada dua makam di situ. Makam Laksamana Bentan ada tulisan nama. Makam yang satu lagi dipercayai milik isterinya, Wan Anum.



Kenapa Megat Sri Rama bertindak membunuh Sultan Mahmud? 

Puncanya kerana dendam yang membara di hati lantaran sultan telah membunuh isteri kesayangan yang sarat mengandung,  mengorbankan sekali anak yang dikandung.

Peristiwa terjadi ketika Laksamana Bentan, yang merupakan laksamana negeri Bentan, diarah oleh Sultan Mahmud berperang melawan lanun di perairan Johor. Dia pergi berjuang mematuhi arahan walaupun terpaksa meninggalkan isteri yang sedang mengandung.

Wan Anum mengidam hendak makan nangka tetapi gagal memperoleh setelah puas mencari. Ditakdirkan dia bertemu dengan penghulu kebun sultan yang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada baginda. Wan Anum meminta seulas nangka tersebut.

Penghulu serba salah, bimbang sultan murka. Namun dia kasihan kepada Wan Anum, lalu mengopek nangka tersebut dan memberi seulas kepadanya. 

Ketika Sultan Mahmud hendak santap tengah hari, baginda menyedari nangka sudah diusik. Baginda sangat murka dihidangkan sisa orang.

Setelah diberitahu nangka itu diberi kepada Wan Anum, baginda menitahkan dia ditangkap dan dibelah perut, kononnya untuk melihat sendiri benarkah anak dalam perut itu yang hendak makan. Menurut cerita, dengan kuasa Allah, apabila perut dibelah, bayi tersebut masih memegang ulas nangka tersebut.  


Makam Laksamana Bentan ( sebelah kanan) di Kota Tinggi. Di kirinya makam isteri, Wan Anum.


Tidak lama kemudian Laksamana Bentan pulang ke Kota Tinggi setelah berjaya menghapuskan musuh. Dia mendapati isterinya tiada. Puas mencari tidak berjumpa. Tiada siapa berani memberitahu apa yang berlaku, termasuk Bendahara. Akhirnya rakannya, Tun Aman, menceritakan Wan Anum mati dibunuh sultan.

Laksamana Bentan tersangat marah dan kecewa. Dia bersumpah akan membalas dendam. Tun Aman setuju membantu. Pada hari Jumaat kejadian, Ogos 1699, Laksanama Bentan melunaskan janji menuntut bela dengan menikam Sultan Mahmud sehingga mati. Dia sendiri kemudian mati muntah darah.




Kisah ini difilemkan dengan judul ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’ keluaran Studio Cathay Keris pada 1961. Filem arahan K.M. Basker ini membariskan bintang utama Nordin Ahmad (Laksamana Bentan), M. Amin (Sultan Mahmud Shah 11), Maria Menado (Wan Anum), Mustapha Maarof (Tun Aman), Shariff Medan (Bendahara) dan lain-lain.

Untuk rekod, Sultan Mahmud Shah 11 (1675—Ogos 1699) ditabal menjadi sultan selaku Sultan Johor ke-9 pada tahun 1685 pada usia 10 tahun. Baginda adalah keturunan terakhir Raja Fatimah, cucu Sultan Alauddin Riayat Shah 11.

Kerana Sultan Mahmud masih kanak-kanak, urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan terletak di Kota Tinggi. 

Setelah dewasa, Sultan Mahmud menjalankan pemerintahan. Baginda dikatakan memerintah dengan zalim sehingga menimbulkan pergolakan dalam negeri.

‘Sultan Mahmud Mahmud Mangkat Dijulang’ adalah kisah penuh tragis tersimpan dalam lipatan sejarah. Baginda tidak meninggalkan zuriat. 

Jika berpeluang, datanglah sendiri melawat makam baginda serta makam Laksamana Bentan. Sambil itu boleh melawat Kota Tinggi, yang dikenali sebagai bandar sejarah. - KitaReporters


 

 

 

13
15
0
11
0

Copy Link: