Video! Doa Fauziah Nawi nak miliki kereta dimakbulkan! Bila pula nak terima anugerah gelaran Datuk?

Published by
KitaReporters
Fauziah Nawi meraikan aunugerah dengan sebahagian cucu-cucunya.

LEBIH 50 tahun bergelumang sebagai insan seni, seniwati Fauziah Nawi, 69, tidak pernah mengharapkan dirinya diberi anugerah oleh pihak berwajib. 

Sebaliknya dia melakukan kerjaya seni yang dianugerah secara jujur dan bagi mencari rezeki. Dia hanya berserah kepada Allah untuk memberi rezeki bagi menghidupkan dirinya dan keluarga melalui kerjaya seni.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan artis legenda Fauziah Nawi



Fauziah Nawi yang datang bersama beberapa cucu ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad, 30 Oktober 2022 lalu semata-mata untuk memeriahkan undangan Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 tanpa membayangkan akan menerima sebarang anugerah. 

Dirinya tergamam apabila dalam acara akhir Malam Kemuncak ASA 2022, ketika pengumuman Anugerah Tokoh ASA 2022, muncul wajahnya pada layar LED di pentas dan menerima tepukan berdiri sebahagian rakan seni.

Ketika naik ke pentas dan menyampaikan ucapan selepas menerima piala bersama hadiah wang tunai RM10,000, Fauziah Nawi benar-benar terkejut apabila hos majlis menyatakan akan ada satu kejutan.

Salah seorang pegawai atasan EON, DRB-HICOM kemudian menyerahkan contoh kereta Mitsubishi Xplander.

Ia membuat tokoh seni ini cukup terharu menerima kereta bernilai kira-kira RM100,000 itu.


Bila lagi Fauziah Nawi akan diberi anugerah 'Datuk'?

Selama ini Fauziah Nawi tidak henti memohon kepada Allah untuk dipermudah mempunyai kenderaan sendiri.

Tokoh seni ini kehilangan kereta jenis Proton Wira apabila terbakar kira-kira 4 tahun lalu di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur akibat masalah fius.

Ketika itu keretanya dipinjam oleh anak sulungnya, Allahyarham Mohd Firdaus Mohammad Hanif (Pit Hanif) seorang pengarah drama yang kemudian memberi pinjam kepada ibu mertuanya untuk memandu.

Tidak lama selepas tragedi itu Fauzah Nawi diduga dengan air mata apabila Pit Hanif lemas ketika memancing di Kampung Mela, Lipis, Pahang pada 27 Otober 2019.  

Allahyaham Pit, 42, meninggalkan balu, pelakon Farah Ahmad dan tiga anak perempuan. 

Selepas tragedi itu, Fauziah Nawi terpaksa menggunakan pengangkutan awam serta kereta Grab untuk ke mana-mana atau dihantar oleh saudara-mara.

Namun bagi Fauziah Nawi yang mementingkan masa, masih merasakan perlu mempunyai kereta sendiri bagi menyenangkan pergerakannya.



Dia sentiasa berdoa agar Tuhan mempermudah hasratnya untuk kembali memiliki kereta sendiri. Ini kerana atas faktor umur dan tidak mempunyai pekerjaan tetap jadi sukar untuk mendapat pinjaman bank.

Dan kerana terlalu ingin mempunyai kereta sendiri, ketika hadir di program Ekspresi @ Finas pada 23 Oktober 2022 lalu, Fauziah Nawi mencuba nasib dengan menyertai peraduan cabutan bertuah  yang menawarkan hadiah utama sebuah kereta. Untuk itu dia terpaksa membeli barangan bernilai RM35, namun tetap tidak ada rezeki.

Sekarang dia tiada masalah untuk ke mana-mana dan cucu-cucunya juga sudah boleh memandu.  

"Alhamdulillah banyak perkara baik yang sering berlaku dan setiap apa yang saya mahu pasti Allah hantar. Namun kemenangan kereta ini memang saya benar-benar tak sangka," katanya.

Perkara ini turut diceritakan oleh Fauziah Nawi Ketika diundang sebagai tetamu dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ (SPM), TV1 pada Isnin, 31 Oktober 2022.

Menurut Fauziah Nawi, Allah sentiasa berbuat baik terhadapnya dan menentukan kehidupannya.



Fauziah Nawi memulakan karier seni sebagai pelakon pada 1970 apabila berlakon dalam drama ‘Air Matanya  Rencong’ dan ‘Angin Bila Menderu’ terbitan TV Malaysia (RTM).

Kemudian Fauziah Nawi mendapat tawaran membuat dua album berjodol ‘Hitam Manis Berseri’ (1974) dan ‘Kasihku Kasihmu’ (1975).

Seterusnya wanita berbakat besar ini menjadi penyiar (juruhebah) di RTM bermula di Radio 4 (siaran Bahasa Inggeris), Radio Malaysia Ibu Kota (RMIK) dan kemudian ke Radio Satu (Radio Nasional). Kebolehannya mengendalikan siaran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik membuat Fauziah Nawi pernah diberi gelaran ‘Most Versatile Broadcaster RTM. 

Dalam lakonan filem, Fauziah Nawi bermula dengan filem Bintang Pujaan’ pada 1981 dan terakhir ‘Hantu Mok Joh’ (2022). Dan melalui filem ‘Sayang Salmah’ (1995) arahan, skrip dan lakon layar Dr Mahadi J Murat, Fauziah yang memegang watak Dasimah menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-12.

Ia merupakan filem ketiga lakonan Fauziah Nawi selepas ‘Bintang Pujaan’ dan ‘Mawar Merah’.

Sementara itu, perkahwinan dengan Mohd Hanif Gedek selama 21 tahun yang membuahkan sepasang cahaya mata berakhir pada 1996. 

Selepas perceraian Fauziah Nawi semakin mempergiatkan kegiatan seni. Selain berlakon, dia turut mengarah drama, teater dan menjadi tenaga pengajar bidang lakonan.

Dengan sudah membintangi  puluhan drama, telefilem dan filem, pernah menjadi penyiar radio,  penyanyi, penari, pengarah drama, teater dan tenaga pengajar bidang lakonan membuat wanita bernama Fauziah Nawi ini wajar diberi anugerah ‘Datuk’ atau seumpaamanya setelah pernah mendapat beberapa anugerah pingat.


Kenangan Fauziah Nawi bersama anak sulungnya Allahyarham Pitt Hanif

Pihak persatuan atau industri hiburan perlu mencadangkan nama Fauziah Nawi kepada pihak atasan untuk diberi anugerah ‘Datuk’ atau ‘Datuk Seri’ dan seumpamanya.

Dengan mempunyai rekod cemerlang sebagai insan seni dengan berlakon dalam 30 filem, 36 drama dan 42 telefilem serta pernah menjadi penyanyi, penari, tenaga pengajar  amat wajar menerima anugerah ‘gelaran’ ketika dia masih hidup.

Kita berharap dalam setahun dua ini Fauziah Nawi bakal menerima anugerah ‘Datuk’ atau seumpamanya daripada mana-mana kerajaan negeri atau Persekutuan.

Fauziah Nawi pernah menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama dalam Anugerah Skrin 2018. Dan dalam FFM ke-31 (2021), Fauziah Nawi menerima Anugerah Sepanjang Zaman.

Fauziah Nawi merupakan antara 10 pelakon veteran tempatan yang masih laris. Dia adalah antara insan seni yang menentang kemunculan artis baru yang hanya menonjolkan muka dan mengkritik para produser yang mementingkan rupa dari bakat.

Fauziah pernah membantah sikap produser dan pengarah yang memberi layanan dan bayaran tidak setimpal dengan kebolehan pelakon veteran.

Tiada siapa yang akan mempertikaikan jika Fauziah Nawi menerima anugerah ‘Datuk’ atau seupamanya kerana bakat besarnya dan sumbangan membanggakan untuk industri seni negara. - KitaReporters


9
10
0
15
0

Copy Link: