DERETAN 'tukun' di Setapak Indah, Setapak, Kuala Lumpur yang dirakam pada 1 Ogos 2024


TUKUN biasanya di dalam lautan. Tetapi di atas darat pun ada banyak tukun. Bezanya tukun di lautan berguna, sengaja diletak sebagai tempat ikan bersarang dan membiak. Ikan ini pula menjadi sumber hasil kepada para nelayan.

Namun tukun di daratan tiada apa guna, malah mencacatkan pemandangan persekitaran serta berbahaya kepada orang ramai. ‘Tukun daratan’ ialah kenderaan lama yang sudah tidak boleh digunakan, dibiarkan tersadai di tempat awam. Antaranya kawasan taman perumahan, tepi jalan, kawasan taman rekreasi, atau kawasan lapang.

Kenderaan buruk ini atau biasa disebut sebagai kereta tersadai dan motosikal tersadai ditinggalkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab sebagai cara mudah melupuskannya. Mereka tidak peduli perbuatan mereka membahayakan orang ramai asalkan tidak tersadai di rumah sendiri.

Pandai pula tidak mahu kediaman sendiri dicemari besi buruk. Bagi manusia jenis ini, tidak mengapa kenderaan buruk dihumban ke tempat lain. Tidak mengapa mendatangkan masalah kepada orang awam. Tidak mengapa menyusahkan pihak berkuasa, khususnya kerajaan tempatan. Yang penting diri sendiri tidak terbeban.

Jika rajin menyusuri taman perumahan, tepi jalan atau kawasan taman, boleh dilihat banyak kenderaan buruk tersadai. Daripada keadaan besi buruk ini boleh dianggar berapa lama sudah tersadai.

Selain badan kemek di sana sini, tayar semuanya kempis. Kaca tingkap atau cermin hadapan pecah. Daun-daun kering berlonggok di atas badan kenderaan, selain rumput rampai yang menjalar pada kenderaan.


Kereta tersadai di bahu jalan sebuah taman perumahan di Gombak. 


Di Kuala Lumpur, pemandangan ini lumrah. Pemerhatian penulis mendapati besi buruk ini terdapat di merata tempat. Di Putrajaya pun wujud gejala sama. Kenderaan buruk dilbiarkan sesuka hati di kawasan perumahan awam, malah kawasan parkir.

Oleh kerana besi tidak musnah oleh hujan dan panas, kenderaan buruk tidak reput dan akan terus berada di tempatnya untuk tempoh lama, melainkan diangkut dan dilupus.

Yang pasti lama kelamaan besi semakin berkarat. Kerana banyak antara kenderaan yang tersadai ini kemek di sana sini, ada besi yang tajam tertonjol keluar. Kombinasi besi tajam dan cermin pecah boleh mendatangkan mudarat kepada orang awam.

Kenderaan buruk yang diletakkan di sudut yang sukar dilihat lebih berbahaya, apa lagi pada waktu malam. Pemandu boleh sahaja terlanggar kenderaan buruk ini sehingga boleh mendatangkan kecederaan akibat impak pelanggaran, atau tertusuk besi tajam dan cermin pecah.

Kerana terlalu lama tersadai, kenderaan buruk boleh sahaja menjadi sarang binatang liar berbisa seperti ular, lipan, kala jengking dan sebagainya. Bayangkan seseorang melintasi kenderaan buruk ini tiba-tiba ular muncul mematuk.  

Adakah mereka yang membiarkan kereta tersadai memikirkan bahaya besar bakal ditanggung pemandu atau orang awam? Sama sekali tidak. Lebih mudah membiarkan kereta tersadai daripada mengeluarkan belanja melupuskan. Kalau terkena diri sendiri atau keluarga mungkin baru menyesal.



Di ibu kota, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi melupuskan kenderaan tersadai. Usaha DBKL ini memang murni dan wajar dipuji demi keselamatan awam serta mengelakkan pencemaran persekitaran. - KitaReporters

Cuma pada pandangan penulis, amat tidak wajar membebankan DBKL membersihkan kekotoran yang dibuat oleh orang lain. Tidak wajar DBKL yang kena berusaha keras sedangkan tukang buang besi buruk ini duduk senang lenang.

Oleh itu tukang buang ini mesti dicari sedaya upaya. Jika nombor pendaftaran kereta masih ada pada kenderaan, boleh dikesan pemilik kenderaan asal. Juga melalui nombor enjin atau casis, boleh membantu.

Jika dapat dikesan, kenakan penalti dan arahkan mereka lupuskan kenderan tersadai tersebut. Jika tidak, atau mahu DBKL melupuskan, bayaran mesti dikenakan. Ini kerana kerja melupus melibatan tenaga kerja dan kos bagi DBKL. 

Jadilah orang yang bertanggungjawab, tidak melepaskan masalah kepada orang lain untuk kesenangan diri sendiri. - KitaReporters


18
9
0
19
0

Copy Link: