Pesakit mental sering terpinggir dan kurang diberikan perhatian oleh pihak-pihak tertentu. Disebabkan itu, tidak banyak pusat rehabilitasi dan rumah penjagaan pesakit mental di bawah seliaan kerajaan wujud di negara kita. Kalau ada pun tempat seperti itu, ia adalah rumah penjagaan swasta yang terlalu mahal dan kurang mampu dibiayai oleh keluarga pesakit. 

Ada juga rumah swasta yang mengenakan yuran yang agak murah tetapi keadaan tempat yang sempit, tidak kondusif, terlalu padat dan tidak ada aktiviti tertentu selain makan tidur dan makan ubat, menyebabkan pesakit hanya tinggal di situ sebagai "tempat buangan keluarga".



Jumlah pesakit mental di negara kita pula semakin meningkat kerana tekanan hidup yang mendesak . Kos sara hidup juga tidak begitu memberangsangkan. 

Pesakit mental bukan sahaja terdiri dari orang dewasa malah kanak-kanak juga tidak terkecuali menjadi pesakit mental akibat tekanan perasaan dan kehidupan. 

Tidak mustahil ramai pesakit mental akan terbiar dan tidak mendapat pembelaan serta  penjagaan yang sewajarnya kerana masalah ekonomi dan masalah kurang perhatian daripada pihak pihak berwajib. 

Disebabkan itu sebuah rumah penjagaan OKU mental telah dibangunkan di Lebak, Temerloh, Pahang pada tahun 2014, hasil inisiatif  seorang bekas kakitangan hospital Temerloh di Jabatan Psikiatrik yang mempunyai pengalaman menjaga pesakit mental selama 10 tahun di hospital berkenaan.  


Shohaimi Abdul Latif


Pengasas Rumah Sejahtera OKU Mental, Shohaimi Abdul Latif, 68, berkata selepas beliau pencen dalam tahun 2014 beliau memulakan penubuhan pusat jagaan itu di Kampung Tanjong Belengu, Lebak, Temerloh di tanah miliknya di dalam kawasan kelapa sawit. 

Beliau menggunakan dana peribadi untuk mendirikan pusat jagaan berkenaan dan menguruskan pusat jagaan berkenaan dengan bantuan 4 kakitangannya.  

Usaha ini dilakukan kerana beliau terpanggil untuk membantu mereka yang terbiar akibat sakit mental dan ahli keluarga tidak mampu menjaga pesakit di rumah. Di pusat jagaan ini, pesakit dikenakan bayaran sebanyak RM800 seorang. 

Sebenarnya keluarga cuma bayar RM300 sahaja selebihnya RM500 adalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  di mana  pesakit menerima bantuan bulanan. 



Di pusat ini ada  20 penghuni, semuanya lelaki. Pusat ini tiada melakukan banyak aktiviti selain ke surau berdekatan, senaman pagi, main bola dan badminton yang diadakan sekali sekala. 

Aktiviti berkebun dan penternakan ayam pernah diadakan dulu, tetapi oleh kerana masalah kewangan beberapa aktiviti itu terpaksa dihentikan. 

Di pusat berkenaan ada 4 orang tenaga kerja, termasuk tukang masak dan pengawal keselamatan yang juga menjadi warden yang memastikan  pesakit makan ubat.  

Sebenarnya nisbah bagi 20 pesakit ialah seorang kakitangan bagi setiap 7 orang pesakit. Tetapi oleh kerana pusat jagaan ini tidak cukup dana mereka hanya mampu menggaji 4 orang kakitangan sahaja.


Wakil MMHSO dari Shah Alam di Pusat Jagaan Sejahtera


Dalam hal yang sama, tujuan NGO, Pertubuhan Sokongan Kesihatan Mental Madani (MMHSO) membuat lawatan ke sana adalah untuk meninjau keadaan kawasan penjagaan OKU mental bagi membincangkan mengenai pengalaman pengasas pusat berkenaan menubuhkan pusat OKU mental seperti itu. 

Wakil MMHSO Rosiah Jantan memberitahu, lawatan seumpama itu boleh memberi pihaknya idea bagaimana untuk menubuhkan Pusat Jagaan dan Rehablitasi Pesakit Skizo yang dalam perancangan NGO berkenaan. 

MMHSO juga mahu mengenal pasti masalah dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam usaha mendirikan Pusat Rehablitasi dan Pusat Jagaan OKU Mental di Lembah Klang nanti. Lawatan setengah hari itu banyak memberi manafaat kepada team AJK MMHSO yang datang dari Shah Alam meninjau Pusat Jagaan berkenaan. 


Puan Rosiah Jantan, wakil MMHSO dari Subang Jaya.


Menurut seorang lagi jawatan kuasa MMHSO Roselina Bahaudin, apa yang dapat beliau lihat, pusat penjagaan berkenaan satu pusat yang baik dan boleh diperkembang lagi, tetapi kekurangan dana untuk meneruskan operasi kegiatan harian mereka menyebabkan mereka terpaksa hidup dengan dana yang ada. 

Roselina juga berkata, usaha yang dijalankan oleh Pengasas Pusat Rumah Sejahtera suatu usaha yang murni, namun jika pihak pihak tertentu dapat membantu, pusat berkenaan mungkin akan jadi lebih baik dan menjadi pusat penjagaan Islam yang baik. 

Ini kerana beliau lihat ada unsur mendekatkan pesakit kepada keagamaan dan sudut kerohanian diterapkan di situ. Umpamanya solat berjemaah dan sebagainya.

Kawasan yang agak besar itu juga sesuai untuk aktiviti seperti bercucuk tanam dan berternak. Cuma masalah besar Pusat Jagaan seperti ini ialah dana dan infrastruktur yang serba kekurangan. 

Beliau sangat berharap kerajaan dapat lebih prihatin untuk memberi tumpuan dan bantuan kepada keperluan golongan OKU mental yang semakin ramai dan golongan ini serta keluarga mereka sedang mencari tempat rehab dan tempat latihan untuk memulihkan pesakit-pesakit berkenaan. - KitaReporters


Keadaan kawasan yang menempatkan pesakit OKU Mental di Pusat Jagaan Rumah Sejahtera.


18
14
0
12
0

Copy Link: