MBSA pastikan aduan penduduk dilayan! Tapi minta penduduk kerjasama jaga kebersihan, ikut peraturan!

Published by
KitaReporters


Aduan penduduk akan tetap dilayan dengan baik, cuma perlu masa untuk bertindak atas setiap aduan penduduk. 

Itu kata pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila diajukan soalan penduduk merungut kerana MBSA tidak mengambil tindakan segera atas aduan penduduk dan tidak jujur dalam menjalankan tanggungjawab mereka. 

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad, untuk pengurusan kutipan sampah domestik, ia telah diserahkan pada syarikat subkontraktor iaitu KDEB Waste Management. Syarikat itu bertanggungjawab untuk kutipan sisa domestik dan kerja pembersihan awam dan sampah pukal.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Majlis Bandaraya Shah Alam

Shahrin Ahmad. Ketua Bahagian Korporat dan perhubungan Awam MBSA


Shahrin juga memberitahu, penduduk dan pemilik kedai telah diberitahu mengenai cara mengurus sampah supaya memudahkan pihak KDEB WM datang mengutip sampah. 

Umpamanya sampah tidak boleh dibuang begitu sahaja sebaliknya dimasukkan dalam plastik dan diikat dengan rapi. Bagi sampah dahan dan pokok-pokok atau sisa kebun perlu diikat dan dilonggokkan satu tempat untuk memudahkan KDEB mengutip sampah sampah berkenaan. 

Namun masih ada penduduk dan pemilik kedai yang degil tidak ikut peraturan mengurus sampah sebelum dibuang di tempat yang disediakan. Oleh yang demikian Shahrin berharap penduduk membantu syarikat yang mengendalikan sampah dengan mengikut peraturan yang diberi. 

Seperkara lagi Shahrin menyarankan penduduk membuat aduan dalam i aduan MBSA atau menghubungi terus pihak KDEB WM sekiranya sampah tidak diambil beberapa minggu.



Menyentuh mengenai lopak dan jalan yang berlubang serta longkang yang runtuh dan tidak dibaiki sebaliknya dinyatakan dalam sistem bahawa kerja telah selesai, beliau akan menyiasat kes berkenaan dan memastikan kerja kerja berkenaan dilakukan dengan segera. 

Beliau juga memberitahu untuk kerja-kerja membaiki jalan dan longkang juga diserahkan pada syarikat utiliti yang dilantik MBSA untuk menjalankan kerja kerja berkenaan. Pihak MBSA akan memantau syarikat yang dilantik menguruskan infrastruktur dan utiliti serta sampah saraf memastikan mereka menjalankan tugas yang diamanahkan. 


Masalah longkang yang runtuh ini  telah dibuat aduan sejak 6 bulan lalu. Juga sedang dibaiki. Isu ini disiasat oleh pihak MBSA kerana kerja kerja berkenaan telahpun diberi pada syarikat utiliti yang dilantik oleh MBSA. 


Tinjauan KitaReporter mendapati pada 27 Januari 2023, sampah telah dikutip dan longkang yang runtuh sedang dibaiki.  

Rungutan penduduk kerana MBSA lambat bertindak atas aduan mereka dan tidak mahu melayan banyak masalah penduduk, telah disiarkan pada 24 Januari 2023. Dua hari kemudian penulis diberitahu pada 26 Januari kerja-kerja pembersihan sampah dan membaik pulih longkang yang pecah yang dilaporkan dalam media telah dibuat serta merta.   

Dua gambar yang disertakan disini menunjukkan gambar sebelum dan selepas kerja kerja pembaikan dan kutipan sampah dijalankan. Namun tempat sampah itu dikatakan masih mempunyai sampah yang bersepah kerana penduduk tidak menguruskan sampah dengan baik untuk dibuang. 

Dalam hal ini Shahrin menasihatkan penduduk atau pekedai yang membuang sampah domestik agar memasukkan sampah dalam plastik dan tidak dibiarkan berterabur begitu sahaja. Mereka diminta memberi kerjasama mengikut peraturan pembuangan sampah domestik yang telah diberitahu kepada penduduk dan pemilik kedai. 



Bagaimanapun bagi pihak subkontraktor kecil ada juga yang mengatakan mereka dibebani dengan terlalu banyak kerja tetapi lambat mendapat bayaran dari MBSA. 

Akibatnya mereka mengalami masalah hendak bayar pekerja dan masalah kekurangan pekerja yang lari ke syarikat lain. 

Mereka memahami kekangan kewangan dari pihak MBSA, tapi sangat berharap MBSA dapat membayar kontraktor kecil yang mengalami kesukaran hidup selepas pandemik covid dengan segera supaya mereka boleh meneruskan usaha menjaga persekitaran dan kawasan bandaraya dengan baik. 

"Bagaimana nak survive kalau berbulan-bulan tak dapat bayaran, kami pun nak hidup juga. MBSA perlu prihatin juga pada kami kontraktor kecil ni," kata mereka.



Sementara itu seorang penduduk  tetap sejak 20 tahun lalu di Seksyen 9, yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Ahmad memberitahu, penduduk dan penyewa kedai di kawasan Seksyen 9 serta peniaga food truck mestilah bekerjasama menjaga kebersihan tempat berkenaan. 

Baginya semua kerja tidak boleh diserahkan pada pihak MBSA semata-mata kerana kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

Dia berharap pihak MBSA dan syarikat Subkontraktor serta KDEB WM turun padang membuat dailog bersama penduduk mengenai masalah yang timbul. Jangan memantau dari pejabat mereka di bangunan MBSA sahaja sebaliknya ambil inisiatif jengok kawasan yang diadu penduduk. 

Beliau juga berkata MBSA dan pihak tertentu perlu buat siasatan, turun padang tengok sendiri masalah yang diperkata oleh penduduk, selain menjelas kan mengenai banyak perkara dan peraturan yang penduduk perlu tahu.  

Walaupun semuanya ada dalam media sosial namun perjumpaan dan aktiviti turun padang pihak MBSA akan lebih meyakinkan penduduk dan memberi kerjasama pada pihak MBSA dan subkontraktor mereka dalam urus tadbir infrastruktur dan utiliti di Shah Alam. 

Jika masalah kecil seperti sampah dan hal-hal berkaitan jalan raya dan kesihatan tidak ditangani dengan baik, ia mungkin akan memburukkan lagi keadaan bandar raya Shah Alam. Penduduk hilang kepercayaan kepada MBSA dan kerajaan negeri. 

Selain itu juga imej Shah Alam sebagai bandar raya mungkin tercemar kerana beberapa isu berkenaan. Jangan sampai masalah itu menjadi barah sehingga sukar diselesaikan nanti, katanya. - KitaReporters


15
18
0
13
0

Copy Link: