Dalam usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadan, Program Sumbangan Kasih Madani dan Pengagihan Bubur Lambuk Parlimen Bandar Tun Razak telah berlangsung di Surau Al-Mustaqimah, Taman Jaya, pada 25 Mac 2025.

Program ini bukan sahaja menghidupkan tradisi gotong-royong memasak bubur lambuk, tetapi juga menjadi platform untuk menyantuni masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan, sekali gus mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk.

Majlis Sumbangan Kasih Madani kepada 200 orang penerima disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama Setiausaha Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin. Turut hadir Pegawai Tadbir Agama Zon 5, Khalil Ibrahim serta Pengerusi MPP Parlimen Bandar Tun Razak, Roslan Mahmod.



“Saya berharap sumbangan kecil yang disalurkan pada hari ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban sahabat-sahabat kita yang memerlukan dan memberi kegembiraan buat mereka menyambut lebaran yang bakal menjelang,” ujar Dr. Wan Azizah yang seterusnya menuju ke tempat duduk penerima dan memberikan sumbangan kepada mereka yang hadir.

Dr. Wan Azizah seterusnya menekankan betapa pentingnya memupuk nilai keprihatinan dan kesabaran, selari dengan semangat Ramadan yang mengajar erti kasih sayang serta kebersamaan. 



Penerima turut diberikan Bakul Rahmah. - Kredit foto: FAS.


Beliau turut menyeru semua yang hadir agar memperbanyak amalan kebajikan dan ibadah dalam baki hari terakhir bulan yang mulia ini.

“Marilah kita melipatgandakan amalan kebaikan dan ibadah untuk bersama-sama mengejar ganjaran pahala pada bulan yang mulia ini. Saya juga mendoakan agar semua sahabat-sahabat sukarelawan yang sudi meluangkan masa membantu menjayakan program hari ini diberikan ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat atas usaha murni kalian,” tambah Dr. Wan Azizah.

Majlis yang berlangsung  ringkas dan santai menyaksikan Dr. Wan Azizah sempat ke khemah mengacau bubur lambuk yang masih dimasak untuk diagihkan kepada penduduk setempat. 

Aktiviti seperti ini mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan penduduk dalam komuniti Bandar Tun Razak.


Dr. Wan Azizah sempat mengacau bubur lambuk bersama Azman.


Sementara itu, ketika ditemui, Azman memaklumkan sepanjanng bulan Ramadan, Parlimen Bandar Tun Razak telah menyantuni dan memberi sumbangan kepada lebih kurang 3,000 penduduk di kawasan berkenaan, dari pelajar sehingga golongan asnaf serta yang memerlukan.

Selain duit raya serta pengagihan bubur lambuk,  penerima turut mendapat Bakul Rahmah yang megandungi produk-produk keperluan seharian seperti beras, gula dan sebagainya.

“Diharap mereka yang menerima sumbangan seperti Kasih Madani dan sebagainya, ini telah dapat membantu meringankan bebanan masing-masing menyambut raya yang akan datang tidak lama lagi,” akhiri Azman. - KitaReporters 


Sebahagian daripada penerima Sumbangan Kasih Madani bergambar bersama buat kenangan. - Kredit foto: Syuqqree/Wilayahku.

13
8
0
6
0

Copy Link: