Demi keselamatan nelayan di laut! Maritim Zon Kuala Kurau dan PNK Kerian laksana SAR Pencegahan!
Published byKeselamatan
dalam kalangan komuniti nelayan dan hubungan komunikasi dua hala amat penting ketika mereka
berada di laut.
Justeru itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau, Perak dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kerian telah melaksanakan program Preventive Search and Rescue (SAR) di sekitar perairan Kuala Kurau.
Pengarah Zon
Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, program ini
bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti nelayan
serta memastikan mereka lebih bersedia menghadapi sebarang kecemasan di laut.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada nelayan mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri dan harta benda, tetapi juga mengeratkan hubungan dua hala antara pihak berkuasa dan komuniti nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan pada 14 Mac 2025.
Mohd Hairil berkata,
langkah ini merupakan susulan daripada mesyuarat penyelarasan antara Maritim
Malaysia dan PNK Kerian yang dipengerusikan oleh Mohd Hairil pada 12 Mac lalu
di Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau.
Mesyuarat
yang turut dihadiri Pengerusi PNK Kerian, Chan Leong Peoh, telah
membincangkan pelbagai isu termasuk operasi nelayan dan aspek penguatkuasaan
maritim di kawasan perairan tempatan.
Selain itu
Mohd Hairil turut turut menyampaikan bungkusan bantuan harian kepada para
nelayan yang berada di laut.
Katanya, bantuan tersebut mengandungi barangan keperluan asas bagi meringankan beban komuniti nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan di laut.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk
terus menjalin hubungan erat dengan komuniti nelayan serta mempertingkat usaha bagi memastikan keselamatan perairan negara.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut disarankan untuk menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau menerusi talian 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. - KitaReporters