Tolong kami! Bantu IRM bantu rakyat Sudan! Sistem penjagaan kesihatan runtuh! Ramai tak dapat rawatan!
Published bySistem penjagaan kesihatan di Sudan semakin merosot dan hampir lumpuh, selain dihimpit oleh kekurangan dana serta bekalan ubat-ubatan penting, setelah hampir dua tahun bergelut dengan peperangan yang berlarutan.
Doktor dan aktivis bantuan di timur Sudan menggambarkan, situasi sangat teruk dan terdesak di hospital, di mana tiga atau empat pesakit berkongsi satu katil.
Lebih menyayat hati, ada pesakit yang meninggal dunia di atas lantai, sementara yang lain terpaksa dihantar pulang akibat kekurangan kakitangan perubatan untuk mengendalikan jumlah pesakit yang terlalu ramai.
Kebanyakan hospital di kawasan lain negara itu turut menghadapi masalah yang sama.
Bantuan khemah daripada Islamic Relief UK di salah sebuah kem pelarian.
Mohammed Ali, koordinator keselamatan bagi Islamic Relief berkata, “Keadaan perubatan di Sudan sangat teruk. Ribuan orang meninggal dunia dan sistem perubatan telah runtuh.
“Di hospital di negeri Kassala, jika ada tiga atau empat pesakit berkongsi satu katil, itu sudah dianggap bertuah. Pesakit lain terpaksa tidur di atas lantai dalam keadaan yang sangat sesak.
“Ada yang muntah akibat kolera, sementara yang terlalu lemah dan kritikal terpaksa dihantar pulang tanpa rawatan yang sewajarnya, mereka terpaksa dibiar dalam keadaan yang tidak berdaya dan menanti ajal.
“Saya juga baru kehilangan ibu. Ketika ibu saya sakit, saya berusaha mencari katil kosong di mana-mana hospital. Saya pergi dari satu hospital ke hospital lain.
"Lima, enam tempat saya cuba sehinggalah akhirnya ibu dimasukkan ke bilik kecemasan di sebuah hospital. Namun, takdir menentukan segalanya, ibu saya tetap pergi meninggalkan kami.”
“Keadaan ini berlaku di Port Sudan, salah satu bandar terbaik dan paling kaya di Sudan. Jadi, bayangkan macam mana keadaannya di lokasi-lokasi yang paling teruk terjejas oleh konflik seperti Khartoum dan Darfur.
“Di kampung-kampung, keadaan lebih teruk dan penjagaan kesihatan langsung tiada.”
Sumbangan kit kesihatan dan kebersihan Islamic Relief diharap dapat meringankan beban pelarian Sudan.
Pasukan perubatan dan pekerja kemanusiaan berusaha sedaya upaya untuk mengatasi krisis ini, namun keganasan yang berterusan serta perpindahan besar-besaran menyebabkan keperluan semakin melebihi sumber yang tersedia.
Di bandar Gedaref, timur Sudan, Pengarah Hospital Pengajar Al Gedaref, Dr. Abdalbasit Alameen Mohamed Adallah, memaklumkan kepada Islamic Relief bahawa jumlah pesakit yang terpaksa berpindah dan mendapatkan rawatan telah meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding kapasiti hospital.
Walaupun para doktor telah berusaha sebaik mungkin, kemampuan untuk menyediakan katil baharu tetap tidak mencukupi bagi menampung pesakit yang semakin bertambah.
"Keadaan kesihatan sangat serius. Selepas perpindahan baru-baru ini, jumlah pesakit meningkat berkali ganda.
“Di hospital ini, dua hingga tiga pesakit terpaksa dirawat di satu katil, sementara yang lain menerima rawatan di atas sofa.
"Ada juga yang hanya diberi rawatan asas sebelum dilepaskan, sekiranya mereka masih mempunyai tempat untuk berlindung. Ramai orang merayu untuk mendapatkan preskripsi.
"Kebelakangan ini, ada pesakit yang langsung tak ada tempat untuk pergi, jadi tanggungjawab ini semakin besar setiap hari.
“Pesakit-pesakit ini sudah pun berpindah dan mereka telah kehilangan segalanya. Mereka datang bukan hanya untuk mendapatkan rawatan tetapi untuk mencari makanan dan tempat tinggal.
“Kami berusaha memberikan rawatan kecemasan kepada semua pesakit, namun kami menghadapi kekurangan bekalan perubatan yang kritikal, termasuk infusi, ujian makmal, serta pelbagai keperluan asas dalam rawatan,” katanya.
Di kawasan yang terjejas oleh konflik di Sudan, lebih dua pertiga daripada semua hospital utama kini tidak beroperasi.
Seorang ibu menyediakan makanan seadanya buat keluarga tercinta di luar khemah mereka.
Hospital-hospital yang masih beroperasi berisiko untuk ditutup kerana kekurangan kakitangan perubatan, ubat-ubatan, bekalan perubatan, air, dan elektrik.
Lebih daripada 120 petugas kesihatan telah terbunuh, dan sekurang-kurangnya 542 serangan telah berlaku ke atas sistem penjagaan kesihatan Sudan sejak perang bermula.
Krisis kebuluran dan kelaparan yang menjejaskan 24 juta orang serta perpindahan 14.9 juta orang di Sudan, menambah lagi tekanan kepada infrastruktur negara.
Keganasan, gangguan rantaian bekalan, kecurian, rasuah dan kemerosotan ekonomi telah mengurangkan jumlah bekalan ubat di Sudan.
Ramai doktor telah melarikan diri dari negara tersebut akibat keganasan, serangan, perpindahan, kemusnahan infrastruktur, dan gaji yang tidak setimpal. Ada yang hanya dibayar RM445 sebulan.
Tambah Dr Abdalbasit, “Kemusnahan sistematik telah berlaku ke atas semua kemudahan kesihatan di seluruh Sudan.
"Kebanyakan kakitangan perubatan sendiri telah dipindahkan dan banyak hospital telah musnah sepenuhnya, menyebabkan tiada perkhidmatan perubatan.
“Di Gedaref, kami menanggung beban terbesar sejak awal perang akibat perpindahan penduduk dari Khartoum dan negeri Al Jazirah, di mana separuh daripadanya ialah golongan tua, kanak-kanak, dan orang yang mempunyai penyakit kronik. Ia adalah jumlah yang sangat besar,” katanya.
Aktiviti psikososial Islamic Relief bersama pelarian di sebuah kem penempatan di Sudan.
Sehingga kini, Islamic Relief memberi sokongan kepada hospital, klinik kesihatan, dan pusat malnutrisi di pelbagai lokasi di seluruh Sudan.
Sejak April 2023, Islamic Relief telah menyediakan bekalan ubat-ubatan dan perubatan kepada 52 hospital dan klinik di negeri Al Jazirah, Darfur Tengah, Gedaref, dan Sennar.
Islamic Relief juga telah menyampaikan bantuan termasuk makanan, tempat perlindungan, air, dan barangan lain kepada lebih 1 juta orang di Sudan sejak perang meletus pada 15 April 2023, termasuk di Port Sudan, Gedaref, Kordofan Utara, Kordofan Barat, Wad Madani, Sennar, Omdurman, Blue Nile, dan Darfur Tengah.
Melalui sumbangan daripada rakyat Malaysia pula, Islamic Relief Malaysia telah menyalurkan sumbangan lebih RM245 ribu bagi membantu penduduk Sudan yang terjejas.
Antara projek yang dilaksanakan dengan dana ini ialah menyediakan bantuan seperti khemah, wang tunai dan sokongan psikososial kepada 13,050 pelarian dalam negara di Gedaref dan Red Sea.
Orang ramai berpeluang untuk membantu penduduk Sudan dengan menyumbang terus ke kempen Kecemasan Antarabangsa IR Malaysia di laman web; www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media