Ebit Lew pernah dihina dan diketawakan kerana kemiskinannya! Tapi selalu mengadu kepada Allah
Published byNOOR Laila Aniza Zakaria bersama suaminya melawat Ebit Lew di hospital. - Kredit foto: Noor Laila Aniza
APABILA kita menyebut sahaja pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew pasti kita terbayang di mana jua sama ada di lautan atau di daratan dengan wajah yang tersenyum manis dia akan hadir menghulurkan pelbagai jenis sumbangan kepada mereka yang memerlukannya.
Kebaikannya tidaklah perlu dihuraikan satu persatu kerana umum pun mengetahui kemuliaan hatinya dalam mengagihkan sumbangan tanpa batasan selain tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada mereka yang ditabur budinya kecuali Tuhan yang Maha Esa.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Ustaz Ebit Lew:
https://kitareporters.com/search?search=ebit+lew
EBIT Lew melawat 10 buah terbakar di Kampung Pegawai Alor Setar, Kedah pada 20 Februari 2021. - Kredit foto: FB Ebit Lew
Biarpun beliau yang namanya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 36, bukan seorang tokoh politik yang berpengaruh serta tersohor di negara tetapi namanya sentiasa menjadi kebanggaan orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama kerana hatinya begitu mulia di sisi masyarakat.
Beliau berasal dari Muadzam Shah, Pahang merupakan anak ketiga daripada 12 adik beradik dan memeluk agama Islam ketika berusia 12 tahun dan nama asal Ebit Lew ialah Lew Yun Pun.
Ebit Lew bersama keluarga sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2021. - Kredit foto: FB Ebit Lew
Secara ringkas, usahawan muda itu pantang mendengar khabar berita sebarang masalah ataupun mereka yang menghadapi musibah pasti dalam masa sehari atau dua hari Ebit Lew bersama teamnya akan tiba di lokasi terbabit sehingga haiwan di Zoo Negara yang kelaparan pada tahun lepas pun diberi makanan.
Sayu hatinya melihat, itulah perkataan yang sering digambarkan dalam laman Facebooknya setiap kali beliau pergi ke suatu tempat musibah yang diberikan daripada Allah sebelum menghulurkan sumbangan simpatinya kepada mereka yang terbabit.
Ebit Lew berada di Tokong Wat Nikhrodharam, Alor Setar, Kedah pada 20 Februari 2021. - Kredit foto: Ebit Lew
Namun disebalik kebaikannya, jiwa yang pemurah serta mudahnya dia bersimpati terhadap mereka yang kepayahan dalam kehidupan tetapi rasanya jarang diketahui masyarakat bahawa kira-kira 14 tahun lalu Ebit Lew sentiasa dihina dan dikeji akibat ketiadaan kekayaannya sewaktu itu tidak seperti yang dinikmati hari ini.
Ebit Lew ketika itu hidup dalam serba kekurangan menyebabkan beliau selalu dikenakan serta diketawakan oleh rakan-rakannya tetapi siapa sangka secara tiba-tiba Allah memberi kekayaan yang bukan sedikit.
EBIT Lew melawat 300 ekor anjing serta 130 ekor kucing yang dipelihara oleh arwah Mak Intan di Alor Setar, Kedah pada 18 Februari 2021. - Kredit foto: Ebit Lew
Melalui perkongsian seoang rakannya yang rapat dengan beliau, Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria dalam Facebooknya baru-baru ini memberitahu Ebit Lew adalah rakannya yang baik dan bekerja sepejabatnya di Excel Training di bawah bimbingan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.
Noor Laila berkata, di pejabatnya, pekerja perempuan hanya ada lima orang sahaja, manakala pekerja lelaki termasuk Ebit Lew ialah 20 orang.
NOOR LAILA ANIZA ZAKARIA
Menurutnya, Ebit Lew itu boleh dikatakan setiap hari bersembang serta bercerita kisah nabi-nabi dengan rakannya di pejabat dan jika dia ada masalah akan beritahu Noor Laila tentang orang yang mengutuk serta menghina dirinya.
``Sebelum itu, bila dia (Ebit Lew) bagi tahu dia nak keluar jemaah ke sekian2 tempat.. saya tanya dia.. Ebit asyik keluar jemaah, asyik keluar duit… Nanti macamana kalau duit habis? (soalan saya 14 tahun dulu waktu tak faham *hakikat memberi*) dan saya tahu dia memang tak ada duit.
``Dia jawab… Tak apa Laila… Keluar je jemaah dulu nanti Allah ganti dan dulu keretanya buruk sangat2.. Masih terbayang di mata saya kereta dia… Orang ketawakan dia,’’ ujar Noor Laila lagi dalam catatan Facebooknya.
Sebahagian kisah hidup Ebit Lew yang dikongsikan oleh Noor Laila Aniza dalam akaun Facebooknya.
Noor Laila memberitahu rakan-rakannya ada juga yang menghinanya kerana kedudukannya sedemikian sehingga mereka mengatakan tiada siapa yang akan mendengar ceramah Ebit Lew ketika itu.
Bagaimanapun, beliau mengakui Ebit Lew seorang yang baik serta banyak bersabar selain sering memaafkan orang lain walaupun hatinya pedih ditimpa pelbagai kesusahan tetapi cintanya pada dakwah nabi di merata tempat tidak pernah dipinggirkan.
EBIT Lew bersama anak-anaknya mengaji al-Quran di rumahnya. - Kredit foto: Ebit Lew
Sebelum itu, kata Noor Laila pada pertengahan tahun 2020 lalu, Ebit Irawan memberitahunya dia akan membuka 10 buah pasar raya Elewsmart dan dalam masa dua bulan sahaja Allah makbulkan semua hajatnya itu.
Itulah sebahagian kisah kehidupan Ebit Lew pada masa yang telah berlalu sebagaimana diceritakan oleh Noor Laila.
Semoga dapat dikongsikan bersama sebagai sumber inspirasi bahawa kemiskinan hidup tidak semestinya untuk selama-lamanya asalkan kita tidak lupa kepada Allah yang Maha Esa.
EBIT Lew memberi sumbangan kepada 300 pelajar Sekolah Az-Zahrah, Semporna, Sabah pada 3 Februari 2021. - Kredit foto: Ebit Lew
Sungguh pun begitu, penulis tidak berniat mendedahkan kisah hidup Ebit Lew pada 14 tahun lalu semata-mata untuk memburukkannya atau mengaibkan maruahnya, sebaliknya ia hanya untuk menyedarkan bahawa rezeki yang Allah bahagikan itu tidak akan rugi sekiranya disedekahkan kepada mereka yang memerlukannya.
Rahsia Allah manusia tidak ketahui dan kemungkinan sumbangan yang ditaburkan dengan hati yang jujur serta ikhlas itu akan digantikan oleh Tuhan berlipat ganda lagi dan contohilah Ebit Lew yang berhati suci. - KitaReporters
EBIT Lew mengarungi air banjir untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Temerloh, Pahang pada Januari 2021.