Berita Terkini| Putera Philip: Suami Ratu Elizabeth II meninggal dunia! Pada usia 99 tahun!

Published by
KitaReporters


Suami kepada Ratu Elizabeth II, Putera Philip yang berusia 99 tahun dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat, 9 April 2021. Berita kematian Putera Philip tersebut dimaklumkan menerusi akaun Twitter rasmi istana, The Royal Family.

"Dengan dukacitanya, baginda ratu mengumumkan kematian suaminya, Duke Of Edinburgh, Putera Philip.

"Putera Philip meninggal dunia di Istana Windsor," menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth II, pada 9 April 2021.

Mendiang Putera Philip yang mendirikan rumah tangga dengan Ratu Elizabeth II pada tahun 1947 meninggal tiga orang putera dan seorang puteri iaitu Putera Charles, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward.



Sementara itu memetik laporan Sinar Harian, pada pertengahan Februari 2021 lalu, Putera Philip dimasukkan ke Hospital King Edward VII di London selepas dilaporkan tidak sihat.

Mendiang kemudian dipindahkan ke Hospital St Bartholomew pada 1 Mac 2021 lalu selepas dua minggu dirawat.

Kenyataan akhbar Istana Buckingham memaklumkan bahawa Putera Philip dibawa ke hospital atas nasihat pihak doktor sebagai langkah berjaga-jaga.

Sepanjang menerima rawatan, Putera Philip hanya menerima kunjungan daripada putera sulungnya yang juga pewaris takhta, Putera Charles.

Penyakit yang dihidapi Putera Philip dipercayai tiada kaitan dengan virus Covid-19.

Putera Philip dan Ratu Elizabeth, 95, menjadi antara yang terawal di Britain menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pada 11 Januari 2021 lalu, pasangan diraja itu telah menerima suntikan vaksin Covid-19, yang diberikan oleh seorang doktor di kediaman diraja Istana Windsor.

Jurucakap Istana Buckingham memaklumkan, pasangan diraja merupakan golongan kategori berisiko dan diberikan keutamaan mengikut sistem pemberian vaksin di Britain. - KitaReporters


0
0
1
1
0

Copy Link: