PERSATUAN Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) mahu mempunyai premis bangunannya sendiri yang akan dijadikan sebagai Pusat Dakwah dan pusat sehenti bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan tidak lama lagi. Usaha membeli premis tersebut dilakukan bersama Yayasan  Maghfirah. : KiataReporters 

Di Pusat Perniagaan Pekeliling, Kuala Lumpur inilah bangunan yang bakal dibeli oleh PERTIS dengan kerjasama Yayasan Maghfirah untuk dijadikan sebagai Pusat Dakwah dan pusat sehenti bagi OKU. - Kredit Foto: PERTIS


Lagi kisah-kisah berkaitan OKU:

https://kitareporters.com/search?search=OKU


Bangunan lima tingkat yang terletak di lokasi strategik di Pusat Perniagaan Pekeliling, Kuala Lumpur mempunyai kemudahan berhampiran dengan stesen monorail dan LRT Titiwangsa dan senang untuk golongan OKU akses kerana ada laluan khas bagi mereka.

Usaha mengenal pasti bangunan tersebut dilakukan baru-baru ini oleh PERTIS dengan kerjasama team Yayasan Maghfirah, merupakan salah sebuah badan NGO terkemuka di negara ini. 



Dengan harga munasabah yang ditawarkan bagi pasaran hartanah di Kuala Lumpur iaitu RM4 juta pihak PERTIS dan Yayasan Maghfirah setuju membeli bangunan tersebut dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, pihak pengurusan PERTIS memohon kepada orang ramai khususnya umat Islam di negara ini dapat membantu merealisasikan harapan murni ini dengan menginfaqkan sumbangan derma bagi tujuan pembelian premis berkenaan.
Jurucakap PERTIS, Muhamad Firdaus melalui laman sosial yayasan itu menyatakan, sumbangan derma orang ramai sangat diperlukan bagi menjayakan impian yang dicita-citakan itu.
"Dengan adanya bangunan sendiri, aktiviti dakwah, kelas mengaji al-Quran dan seminar tidak lagi perlu menyewa dewan dan tempat-tempat yang sesuai," ujarnya. 

Muhamad Firdaus.

Selain itu, katanya, bila sudah ada premis sendiri saudara OKU Muslim cacat penglihatan dapat belajar dengan lebih selesa dan tenteram. Malahan bangunan berkenaan juga bakal dijadikan one stop centre bagi kalangan OKU.
PERTIS yang diasaskan sejak 24 tahun lalu (1996) setakat ini mempunyai dua premis iaitu pusat pentadbiran di Medan Idaman Gombak, Selangor dan Unit Penerbitan di Brickfields, Kuala Lumpur.
Sehingga ini pertubuhan berkenaan juga mempunyai cawangannya di Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Salah satu premis iaitu di Unit Penerbitan PERTIS di Brickfields, Kuala Lumpur dijadikan sebagai tempat untuk aktiviti dakwah dan kelas pengajian al-Quran, sekalipun dalam keadaan sempit dan tidak selesa.
Sebelum ini, dengan keluasan pejabat PERTIS sedia ada yang agak sempit dan kurang selesa pihak pengurusan hanya mampu melaksanakan program berskala kecil tidak melebihi 20 orang untuk satu-satu acara.
Jika ingin melaksanakan program agak besar sedikit antaranya seminar mengenai kesihatan, agama, kelas jawi, kelas bahasa Arab, mengaji al-Quran menggunakan Braille dan aktiviti-aktiviti lain, PERTIS terpaksa menyewa dengan kadar kos semakin meningkat. 

Kelas pengajian al-Quran Braille yang diadakan di bangunan persatuan di Brickfields, Kuala Lumpur.

Menurut Firdaus, secara tidak langsung dengan keadaan ini menyebabkan usaha dakwah dalam kalangan OKU khususnya mereka yang cacat penglihatan menjadi terhad dan terbantu sebab dana persatuan tidaklah terlalu banyak.

Katanya, ramai kalangan OKU Islam yang cacat penglihatan ingin belajar agama dan mengaji al-Quran tetapi disebabkan fasiliti terhad golongan ini terbiar begitu sahaja.
PERTIS merupakan satu-satunya pertubuhan di negara ini yang diberi kebenaran mencetak al-Quran Braille bagi kegunaan golongan OKU mengaji al-Quran dan buat masa ini, kira-kira 10,000 orang OKU mendapat manfaat daripada penerbitan tersebut.
Malahan melalui dana sumbangan orang ramai pihak persatuan mempunyai hasrat untuk menjadikan setiap seorang OKU Muslim cacat penglihatan memiliki senaskah al-Quran Braille.
Selain mencetak al-Quran Braille, Unit Penerbitan PERTIS yang diwujudkan pada tahun 1997 juga mencetak sejumlah lima puluh produk antaranya Iqra, buku teks jawi, buku bahasa Arab dan buku-buku agama.
Beliau memberitahu, jika difikirkan nasib gologan OKU Muslim yang cacat penglihatan agak sedih kerana tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang prihatin kecuali yang berada dekat dengan mereka atau kalangan individu berhati mulia. 

Salah satu aktiviti pembelajaran yang diadakan di premis persatuan di Brickfields, Kuala Lumur dengan keadaannya agak sempit dan kurang selesa.

Menurut Firdaus lagi, berikutan keadaan inilah Team Yayasan Maghfirah bekerjasama dengan PERTIS untuk sama-sama mengumpul dana membeli  bangunan berkenaan untuk dijadikan sebagai premis Pusat Dakwah.
Selain itu, katanya, semua urusan pentadbiran, unit penerbitan al-Quran Braille dan asrama kakitangan akan ditempatkan dalam satu bangunan. Juga sebagai usaha memudahkan OKU cacat penglihatan berurusan dengan persatuan.

Semoga dengan adanya bangunan baharu itu nanti yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dapat memberi keselesaan dan kemudahan lebih baik kepada golongan OKU Muslim cacat penglihatan dalam usaha mereka mengembangkan dakwah serta meningkatkan pengajian al-Quran serta bidang agama yang lain.

Orang ramai atau sesiapa sahaja yang ingin beramal menyumbang bagi tujuan pembelian premis Pusat Dakwah PERTIS boleh menyalurkannya kepada akaun CIMB bernombor 8603221427 atas nama Yayasan Maghfirah sama ada secara manual atau CDM dan untuk rujukkan "OKU" atau boleh menghubungi Yayasan Maghfirah melalui talian + 601164001649 juga melalui email: yayasan [email protected]. - KitaReporters


4
0
0
0
0

Copy Link: