Benci potong bawang! Pandelela Rinong belajar masak masa PKP
Published byPANDEMIK maut Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir empat bulan yang membelenggu negara malah dunia, baru-baru ini turut telah membuka sisi lain diri Pandelela Rinong anak Pamg. Reputasi sebutir pingat perak dan sebutir gangsa Sukan Olimpik selain emas Sukan Komanwel yang menjulang ratu terjun akuatik negara ini ‘dilenyapkan’ seketika sepanjang tempoh berehat panjang gara-gara PKP. : KitaReporters
PANDELELA Rinong Pamg, wanita pertama Malaysia menaiki podium dua Sukan Olimpik, London 2012 dan Rio 2016. - Kredit foto Twitter Pandelela.
“Saya memaksa diri saya belajar bagaimana untuk memasak.
"Disebabkannya, saya kini tahu bahawa bukan senang hendak memasak!” katanya yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong meraih perak Olimpik Rio 2016 dalam acara 10 meter terjun seirama.
Dalam wawancara dengan laman sesawang rasmi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), olympic.org, katanya, “kebanyakan masakan yang saya masak melibatkan memotong bawang, bahagian yang saya paling dan benar-benar benci (memedihkan mata).
“Namun saya telah belajar bagaimana untuk memasak masakan baharu, seperti kari ayam dan sup miso (masakan Jepun) … satu pengalaman yang agak mengajar saya.
“Saya juga belajar bagaimana untuk bertafakur, jadi saya melakukan beberapa kegiatan kesedaran kesihatan mental,” katanya yang hanya kembali berlatih secara kem kuarantin berpusat sejak 1 Jun 2020 lalu di bawah Program Jalan Ke Tokyo (RTT) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
MELUPAKAN seketika kolam terjun dan berjinak-jinak dengan bidang memasak, kari ayam masakan kegemarannya. - Kredit foto Pandelela.my.
Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang sepatutnya bermula pada 24 Julai 2020 dan berakhir 9 Ogos 2020, telah pun ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 akibat kebimbangan dunia terhadap Covid-19 atas keputusan drastik IOC dan Jawatankuasa Pengelola Olimpik 2020 (Togoc) serta kerajaan Jepun.
“(Kerana Covid dan PKP), saya mengharungi cuti rehat yang paling panjang sejak karier terjun saya. Ada hikmahnya bagi saya kerana bertahun-tahun berlatih tanpa henti, telah menjejaskan badan saya.
“Kecederaan selalu menimpa saya kerana saya tidak mempunyai masa untuk berehat dan merawatnya 100 peratus.
"Kami juga terpaksa berkurung di rumah dan tidak dapat berlatih sukan terjun. Ini satu peluang yang tepat untuk pulih dan berikan diri ini rehat yang sewajarnya,” katanya.
Rutin latihan Lulu Dolphin (gelarannya) sebagai atlet negara ialah lapan jam dari pagi hingga 12.30 tengah hari disusuli dengan empat jam lagi pada sebelah petang dari pukul 3 hingga 7 malam.
MEMANFAATKAN tempoh cuti rehat paling panjang kariernya dengan menjalani pemulihan daripada kecederaan lama. - Kredit foto FB Pandelela.
Pandelela, 27, bermula dengan hanya menduduki antara tiga corot 10 meter platform Sukan Olimpik Beijing 2008 pada usia 15 tahun, tetapi melonjak dengan memecah tradisi penyumbang pingat Malaysia yang begitu bergantung kepada badminton sejak 1992.
Anak jati Kampung Kupuo Jugan, Bau, Sarawak ini mencipta sejarah sukan negara dengan merangkul gangsa acara sama dalam Olimpik London 2012 selain menghimpun aneka warna pingat Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA serta Sukan Olimpik Belia (YOG) dari 2007 hingga 2019.
“Dalam beberapa bulan lalu (PKP), saya menonton video semua pertandingan silam saya dan saya menyedari bahawa apabila saya menikmati saingannya dan tidak fikirkan sasaran, aksi saya sentiasa lebih baik.
“Cara fikir dan pemikiran begitulah yang saya akan bawa ke dalam Olimpik Tokyo 2020 dan persediaan saya,” kata Olahragawati Kebangsaan Majlis Sukan Negara 2011, 2012 dan 2015 serta Olimpian Majlis Olimpik Malaysia 2016 ini.
MEMBUKTIKAN diri atlet cerdas dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan dari Universiti Malaya pada 2018. - Kredit foto Twitter Pandelela.
Masih terasa satu keajaiban buatnya apabila mencipta sejarah selaku wanita pertama Malaysia yang menaiki podium Olimpik pada 2012, kata Pandelela, “menakjubkan. Bolehkah anda bayangkan saya yang di tiga corot di Beijing 2008, boleh pula muncul tiga terbaik di London?
“Perasaannya amat berlainan (selepas itu). Orang mulai mengenali saya.
"Ke mana sahaja saya keluar dengan keluarga atau kawan, orang akan kenal, mereka seronok bertemu saya dan akan selalu cakap hal-hal yang baik malah tentang bagaimana saya menjadi inspirasi mereka.”
Sudah tentu akui Pandelela, sambutan mereka menyuntik semangatnya atau adakah turut menjadi menjadi satu tekanan tambahan?
“Bersemangat ya, tertekan pun sama.
"Tekanannya kerana lebih sukar untuk mengekalkan prestasi itu. Orang akan mengharapkan anda beraksi lebih baik, mencapai lebih bagus dari sebelumnya.” - KitaReporters