Saya nak gi tengok kubur mama, saya rindu mama! Tiga beradik redah gelap untuk ziarah pusara!
Published byKEHILANGAN individu yang sangat disayang amat perit, hanya mereka lalui sahaja tahu keperitan itu. Kerinduan kepada mereka yang ‘telah pergi’ mengatasi segala-galanya dan ketika itu apa sahaja sanggup dilakukan bagi mereda rasa rindu tersebut. Malah ketika itu tiada lagi perkataan takut pada saat hati sedang memuncak rindu. : KitaReporters
KERANA terlalu rindu tiga beradik sanggup redah kegelapan malam semata-mata mahu menjenguk pusara ibunya. - Kredit foto: Facebook Syaffiq S. Salleh.
Itulah yang berlaku kepada tiga beradik yang baru kehilangan ibunya yang meninggal dunia selepas melahirkan anak beberapa hari lalu.
Kisah sayu itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook Syaffiq S. Salleh yang menyaksikan sendiri keberanian tiga beradik mengharungi kegelapan malam membuka pagar kawasan perkuburan di kawasan Kota Bharu, Kelantan bagi melepaskan rindu kepada ibunya.
Menurut Syafiq, tiga kanak-kanak itu yang masing-masing
berusia 12, sembilan dan lima tahun ditemani bapa saudaranya memasuki kawasan
perkuburan untuk menziarahi kubur ibunya kerana terlalu rindu.
Dengan berbekalkan lampu di telefon bimbit itu, mereka
berempat melangkah masuk ke kawasan perkuburan.
Malah Syaffiq yang sedang minum di sebuah kedai berhampiran kawasan berkenaan hairan melihat tiga beradik sebelum bertanya tujuannya ke tanah perkuburan itu.
TIADA lagi rasa takut kerana rindu mengatasi segala-galanya.
“Sy nak gi tengok kubur mama sy, sy rindu mama sy,
dio jawab. Terkejut dengar. Kubur gelap, jalan ke kubur gelap, hutan kiri
kanan. Budak kecik-kecik berjalan kaki mari, berani masuk dlm kawasan kubur hok
gelap tu. 😩 Bayang la perasaan rindu dia
tu sampai tak rasa takut pun. TERLALU RINDU,” kongsinya.
Lebih memilukan lagi apabila tiba di kubur ibunya, si kakak terus mengusapkan pusara ibunya sambil meluahkan kerinduan yang terbuku.
CATATAN Syaffiq dalam laman Facebooknya yang berkongsi kisah keberanian anak-anak kecil yang terlalu rindukan ibunya.
“Mama kakak mintak maaf mama, kakak rindu mama, macam-macamla luahan dio,” ujar Syaffiq lagi yang turut sayu mendengar rintihan anak-anak kecil berkenaan.
Terdahulu, Syaffiq memberitahu, majlis tahlil diadakan
di kediamannya dan dan dipercayai atas faktor itu, ahli keluarga rapat mereka
tidak dapat mengikut permintaan tiga kanak-kanak berkenaan untuk menziarahi
kubur ibunya.
“Rumah tu dalam 400 meter sahaja dari kubur. Tapi
keadaan gelap sungguh. Berapa nekadnya adik ini nak jumpa mama dia, nak luah,
nak bercakap, nak beritahu rindu,” tulisnya lagi.
Dalam masa sama, Syaffiq memohon orang ramai bersama-sama
bersedekah Al-Fatihah kepada Allahyarham ibu tersebut selain memberi kekuatan kepada tiga anak
yatim berkenaan.
Semoga tiga beradik itu tabah hadapi saat getir ini dan
menjadi anak yang solehah yang dapat mendoakan mama di sana. -KitaReporters