Fadillah Zakaria: Senyumanmu kekal dalam ingatan! Pemergianmu ditangisi! Baik budimu dirindui!

Published by
KitaReporters

Berakhir sudah perjalanan hidup Kak Ila di dunia ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. - Kredit Foto: FB Allahyarhamah Fadillah Zakaria 


PEMERGIAN bekas kakitangan Unit Pentadbiran di syarikat Utusan Melayu pada 14 Ogos 2021 lalu memberi kesan mendalam di hati saya. Selepas lebih dua minggu disahkan positif Covid-19, Fadillah Zakaria atau mesra dipanggil Kak Ila akhirnya pergi menghadap Ilahi.

Allahyarhamah meninggalkan seorang suami dan tiga anak berusia antara 21 hingga 14 tahun.


Status pemergian Kak Ila yang saya muat naik di laman Facebook sejurus mendapat berita mengenainya. 


Sungguh, air mata saya mengalir tanpa mampu ditahan apabila membaca berita pemergiannya dalam group WhatsApp bekas kakitangan Utusan. 

Selain menghadiahkan bacaan ummul kitab, tangan saya pantas membuka link infak pembinaan sebuah Maahad Tahfiz As Sofa dan meniatkan  pahala sedekah tersebut untuknya.

Sambil mengesat air jernih yang laju menuruni pipi, serentak itu, memori perkenalan pertama dengan Kak Ila muncul di kotak fikiran.

Ia berlaku pada bulan Februari 2005, sekitar dua minggu sebelum mula melapor diri dan bekerja sebagai wartawan di akhbar Kosmo! Selepas berjaya dalam proses temu duga, kami perlu berurusan di bahagian Sumber Manusia yang terletak di bangunan PGRM, Cheras.


Arwah Kak Ila (dua dari kiri) sentiasa disenangi rakan-rakan kerana senantiasa tersenyum di Kosmo dan Utusan Malaysia. 


Saya masih ingat wajah manisnya dari dinding kaca lutsinar sebelum melangkah masuk ke pejabat Utusan Melayu yang terletak di aras tujuh bangunan tersebut.

"Selamat pagi. Ada apa yang boleh saya bantu," ramah dia bertanya sambil menghulurkan senyuman semanis gula.

Dalam hati saya terus berbisik: "Ya Allah, cantiknya kakak ni. Baik pula budi bahasa. Sejuk mata yang memandangnya."

Namun, ayat itu tidak terluah di bibir. Maklumlah, baru nak kemas kini maklumat sebagai kakitangan baru. Cuma apabila saya membahasakan dirinya kakak, dia pantas membalas:

"Tak perlu panggil kakak. Panggil Ila sahaja."

Itulah permintaan Kak Ila yang tak dapat saya tunaikan hingga ke akhirnya kerana saya lebih selesa memanggilnya kakak lantaran mengetahui ada perbezaan usia antara kami.

Apatah lagi apabila teringat pesanan arwah nenek agar sentiasa menghormati orang yang lebih tua dengan memanggil mereka dengan gelaran tertentu berbanding menyebut nama semata-mata.


Gambar kenangan Kak Ila (kanan) bersama bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak. 


Takdir Allah menentukan, sepanjang 13 tahun 8 bulan bertugas di akhbar Kosmo!, saya memang tidak pernah dihantar ke biro atau negeri-negeri. Justeru, dalam tempoh itu, saya hanya berada di ibu pejabat sekali gus sentiasa bertemu pemilik wajah yang manis ini setiap hari disebabkan tugasnya sebagai penyambut tetamu memerlukan arwah berada di kaunter utama.

Dan paling saya kagum, arwah Kak Ila tidak pernah menunjukkan muka yang masam atau marah ketika duduk di kaunter depan di lobi bangunan. Senyuman sentiasa menghiasi wajahnya yang putih bersih. Sapaan mesranya juga sering kedengaran.


Bertugas di kaunter hadapan ibu pejabat Utusan Melayu menyebabkan Kak Ila sentiasa murah dengan senyuman. 


"Selamat pagi Khadijah! Ada barang untuk awak ya. Nanti boleh turun ambil," katanya melalui corong telefon sewaktu memberi ada bungkusan untuk kakitangan.

"Wah, Khadijah bawa bekal apa hari ni?" soalnya ramah apabila melihat saya membawa bekal makanan ke pejabat.

Pendek kata, tiap kali bersua muka, pasti Kak Ila terlebih dahulu menyapa dan menegur sambil menghadiahkan senyuman manis yang menenangkan hati.

Kemudian, apabila media sosial seperti Facebook mula wujud, kami turut berhubung sebagai rakan dalam alam maya. Malah, Kak Ila rajin meninggalkan komen jika saya memuat naik status dan gambar selain memberikan ucapan hari lahir pada ulang tahun kelahiran.


Setiap kali sambutan hari lahir saya, arwah Kak Ila tak pernah lupa memberi ucapan. 


Pernah sekali, sebelum ke pejabat saya menulis status mengenai jeruk mangga asam boi yang dibuat sendiri selepas balik dari rumah mentua di Melaka untuk jualan pada kawan-kawan. Apabila arwah menulis, "Sedapnya jeruk mangga Khadijah," saya tergerak hati untuk memberi Kak Ila rasa sendiri.

Dan sebagai tanda menghargai, dia turut memuat naik status mengenainya di Facebook.

"Alahai sweetnya la Khadijah Mohamad Nor. Terima kasih ye pemberian mangga ni," tulisnya.  


Pemberian jeruk mangga kepada Kak Ila menjadi memori kerana diabadikannya dalam Facebook. 


Allahu Akbar!! Menangis lagi dibuatnya apabila melihat kembali memori yang ada bersama arwah Kak Ila. Cuma satu yang saya terkilan, tiada satu pun gambar kenangan saya bersama arwah sewaktu hayatnya masih ada. Puas saya cari dan godek semua gambar-gambar lama, namun hampa.

Benarlah, hanya senyuman Kak Ila yang akan tetap tersemat dalam ingatan saya hingga ke akhir usia. Senyuman yang juga satu sedekah paling mudah untuk dilakukan. 

Semoga setiap senyuman yang Kak Ila hamparkan pada insan-insan yang ditemui, menjadi pahala yang berpanjangan buatnya di alam yang kekal abadi.


Senyuman Kak Ila pasti tiada galang gantinya terutama buat suami dan anak-anak yang ditinggalkan. 



Selamat tinggal Kak Ila. Terima kasih di atas setiap kenangan yang ditinggalkan buat kami ingati. 

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu, diampunkan segala dosa, dihimpunkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kami juga pasti akan menyusul apabila tiba masanya nanti. 

Al-Fatihah. - KitaReporters


Arwah berpeluang menunaikan umrah pada tahun 2019. 

1
0
11
0
1

Copy Link: