BERLAINAN agama bukanlah penghalang kepada seorang wanita keturunan India untuk mendidik tiga beradik mentaati ajaran Islam dengan mengamalkan perintah Allah termasuk solat, puasa dan mengaji al Quran. Cheniah A/P Cheriyya, 67, dari Lorong Selamat, Belakang Gudang, Jertih, Terengganu  boleh dijadikan contoh terbaik kerana jarang dilakukan orang lain dalam keharmonian hidup keluarga dan beragama. : KitaReporters

Cheniah mendapat pengiktirafan Anugerah MyHero Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional  (JPNIN) Terengganu.


Cheniah, anak jati kelahiran Jertih, walaupun beragama Hindu, tetapi beliau tetap memberi didikan agama Islam kepada tiga beradik yang tinggal bersamanya sejak lebih 23 tahun lalu.

Tiga beradik terbabit ialah Norehan Mohd Nor, 26; Nur Shahira, 24; dan Mohamad Hariss Izzudin, 22; tinggal serumah dengan Cheniah selaku penjaga mereka sejak kecil hingga sekarang. 

Cheniah (tengah) bergambar bersama tiga cucu saudaranya, Mohamad Hariss (kanan), Norehan dan Nur Shahira (kiri). 


Katanya, tiga beradik terbabit mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat sebagai anak saudaranya. 

Cheniah atau lebih dikenali dengan panggilan Melayu “Mek Nab” berkata, adik perempuannya, Norain Abdullah, 48, memeluk agama Islam dan berkahwin dengan seorang anggota polis, tetapi sudah berpisah dan hasil perkongsian sebagai pasangan suami iateri mereka mendapat tiga anak terbabit. 

Katanya, adiknya kini tinggal di Kuala Lumpur menyerahkan kepada beliau untuk menjaga dan membesarkan  tiga  beradik berkenaan sehingga sekarang. 

Beliau berkata, Noraini, sering pulang ke rumahnya pada setiap kali menyambut Aidilfitri untuk berjumpa anak-anak serta keluarga mereka. 

“Kehidupan di tengah-tengah masyarakat Melayu di bandar ini menyebabkan saya amat menghormati agama Islam dan sebab itu tiga beradik berkenaan diasuh mendekati semua ajaran Islam,” katanya.

Cheniah berkata, semua tiga beradik tidak pernah diabai dalam ajaran Islam termasuk menunaikan solat, puasa dan mengaji al Quran. 

Malah, katanya, ketiga-tiga beradik berkenaan sudah mampu khatam al Quran hasil didikan yang diberikan oleh beliau. 

Tiga beradik Norehan (kiri), Nur Shahira (tengah) dan Mohamad Hariss 


Mek Nab berkata, beliau sendiri berkahwin dengan seorang lelaki Cina beragama Buddha, tetapi suaminya juga turut berkongsi keharmonian hidup sebagai satu keluarga dan menggalakkan tiga beradik berkenaan mendekati Islam. 

"Oleh itu, dalam rumah kami ada penganut beragama Islam, Hindu dan Buddha, tetapi ajaran Islam tetap diutamakan,” katanya. 

Bekerja sebagai pembantu kedai, Mek Nab adalah satu-satu kaum minoriti India yang dilahirkan di Jertih dan mengamalkan budaya hidup masyarakat Melayu. 

Kakak sulung tiga beradik berkenaan, Norehan berkata, beliau selesa tinggal dengan makcik saudaranya, walaupun dia beragama Hindu, tetapi makan minum seharian kami adalah masakan Melayu. 

“Cheniah juga amat menitikberatkan kami dengan ajaran Islam dan sering marah jika meninggalkan solat dan puasa,” katanya. 

Kejayaan Mek Nab mendidik tiga cucu dengan ajaran Islam mendapat perhatian Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu apabila memilih wanita keturunan India itu untuk anugerah “MyHero” Peringkat Negeri Terengganu pada 2019. 

Pemilihan itu berdasarkan kecemerlangan beliau memupuk semangat perpaduan dalam komuniti selain kejayaan memberi pendidikan Islam walaupun beliau berlainan agama. - KitaReporters

Cheniah menerima sijil penghargaan anugerah "MyHero" dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu.

5
2
1
1
0

Copy Link: