Ahli NGO bekerjasama untuk melakukan tugas sembelihan supaya berjalan lancar.


KELAB Sukarelawan Mahmudah (KESUMA ’24) yang baharu sahaja ditubuhkan tiga bulan lalu berjaya mengelolakan Program Ibadah Korban 2024 dengan bergabung bersama-sama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti penduduk di Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor pada 17 Jun 2024.

Setiausahanya, Rozita Yaakob, berkata inisiatif menjadi pengelola program itu sebagai pembuka jalan untuk KESUMA’ 24 terus aktif dalam kerja amal kebajikan khusus bagi menyantuni warga emas di pusat jagaan atau rumah kebajikan, anak yatim, keluarga asnaf, miskin dan sebagainya.

Menurutnya, pembabitan ahli NGO dan komuniti penduduk dalam program itu memberi pendedahan serta pengalaman kepada ahli KESUMA ’24 mengenai bentuk aktiviti yang sesuai untuk dilaksanakan pada masa depan supaya tidak tersasar dengan matlamat penubuhan kelab.

Tambahnya, KESUMA ’24 juga akan memastikan sumbangan dan infak pelbagai pihak kepada kelab akan disusun atau dirancangkan dengan terperinci untuk diagihkan kepada mereka yang amat memerlukan bantuan di samping menunaikan tanggungjawab seperti diamanahkan.


Ahli NGO turut memberi perhatian kepada cara sembelihan yang patuh syarak.


“Program ibadat korban ini menjadi contoh terbaik untuk ahli KESUMA ’24 mempraktikkan perkara itu terutama bagi memastikannya setiap aktiviti yang dikelolakan atau dianjurkan berjalan lancar selain mereka terbabit mendapat manfaat sebaiknya mungkin daripadanya,” katanya yang ditemui pada program itu di tempat letak kenderaan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.

Pengarah program berkenaan yang juga ahli KESUMA ’24, Norizan Tauhid, berkata untuk ibadat korban itu, KESUMA ’24 berjaya mendapat peserta untuk dua lembu dan dua kambing, manakala seekor lagi lembu dan tiga kambing disumbangkan oleh pemilik KJ Farm Livestock Trading, Muhammad Yunus Abdul Hask sebagai sokongan kepada kelab menjalankan aktiviti amal kebajikan.


Sukarelawan lelaki dan wanita bekerjasama melakukan tugasan memotong dan membungkus daging.


Jelasnya, pada hari program berkenaan KESUMA ’24 berjaya mengumpulkan lebih 80 ahli NGO termasuk dari HXD Manufacturer, Hospital Kajang, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Pusat Jagaan Insan dan komuniti penduduk berdekatan yang berkumpul di PJMM selepas selesai menunaikan solat Aidiladha untuk membantu melaksanakan ibadah korban.

Menurutnya, daging lembu dan kambing yang siap dilapah serta dibungkus diagihkan kepada pusat jagaan, rumah kebajikan, pusat tahfiz, keluarga asnaf serta miskin sekitar Semenyih, sebagaimana permintaan peserta korban juga pemilik KJ Farm Livestock Trading selain dimasak untuk dinikmati bersama semua ahli NGO dan penduduk kampung.

“Saya berasa amat bersyukur kerana kali pertama KESUMA ’24 mengelolakan program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar dan sempurna disamping mengeratkan hubungan antara ahli NGO,” ujar Rozita.


Sebahagian ahli NGO merakamkan kenangan selepas menyertai Program Ibadah Korban 2024 kelolaan Kelab Sukarelawan Mahmudah pada 17 Jun 2024. 


Sementara itu seorang ahli KESUMA ’24, Mehamad Nasir Ali, melahirkan rasa bertuah dapat turun padang bagi membantu menjayakan program berkenaan yang kali pertama diadakan malah menguji kemahiran beliau apabila dipilih untuk melakukan tugasan sembelihan.

Beliau berkata, peluang yang diberikan itu digunakan untuk memberi pendedahan kepada ahli NGO mengenai cara sembelihan memenuhi syarak bersandarkan ajaran agama Islam kerana perkara itu tidak boleh dipandang ringan.

Tambahnya, begitulah juga dalam tugasan melapah serta agihan hendak dibuat sebagaimana dituntut dalam ibadah korban dan dia berkeyakinan perkara itu dipraktikkan oleh ahli NGO terbabit apabila turut memikul tugas sedemikian pada akan datang.

“Program yang dikelolakan oleh KESUMA ’24 ini adalah suatu amat bermanfaat selain mencari keberkatan dalam menyempurnakan ibadah korban terutama bagi memastikan mereka yang berhak mendapat agihan daging lembu atau kambing itu,” katanya lagi. - KitaReporters


Mehamad Nasir Ali membaca senarai nama peserta korban sebelum melakukan sembelihan.


Sebahagian ahli NGO bekerjasana melapah kambing.

19
22
0
19
0

Copy Link: