Komentar| Hati-hati ibu bapa! Khususnya si ayah, suami! Apabila ketegasan keterlaluan jadi penderaan!
Published byGambar hiasan. - Kredit foto: Pintek.id
KETEGASAN keterlaluan dalam mendidik anak anak adakalanya menjadi satu penderaan fizikal dan mental buat anak anak. Ketegasan ibu bapa memang satu pendekatan mendidik anak yang terbukti berkesan sejak zaman nenek moyang kita. Namun penderaan yang dilakukan ibu bapa terhadap anak-anak adalah satu bentuk kezaliman mental dan fizikal yang akan membawa kesan psikologi sehingga anak anak itu besar.
Dalam media sosial kita sering terbaca luahan anak-anak terhadap sikap ibu bapa yang keterlaluan apabila mendera anak-anak. Begitu juga laporan media mengenai kes kes penderaan kanak-kanak dan wanita.
Adakalanya mereka dipukul dengan penyangkut baju, getah paip dan ditendang terajang seperti bola tanpa ada rasa belas kasihan.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan keganasan rumah tangga
Kisah ini diceritakan seorang remaja yang berusia 20 tahun dan masih menuntut di salah sebuah universiti awam tempatan. Kehidupannya sejak kecil sentiasa berhadapan dengan ketakutan kerana ayahnya seorang yang panas baran dan bengis.
Sikap garang ayahnya bukan sahaja ditunjukkan pada anak anaknya malah ibu mereka turut menjadi mangsa keganasan rumah tangga bila si ayah kerap memukul ibunya walaupun kesilapan yang dilakukan sangat kecil.
Dia dan adik beradiknya sering melihat ibunya menjadi mangsa tendang terajang ayahnya, selain dimaki hamun dan diherdik serta dibentak-bentak.
Namun dia melihat ketabahan ibunya yang sangat luar biasa dalam menjaga mereka 6 beradik dengan penuh kesabaran dan sentiasa ada untuk mereka dalam apa juga situasi.
Ayahnya jarang balik ke rumah kerana tinggal bersama isteri kedua dan jarang juga memberi wang untuk keperluan mereka 6 beradik dan si ibu, tapi mereka sangat suka bila si ayah tidak ada dirumah kerana mereka tak perlu rasa takut.
Jika si ayah ada di rumah mereka semua menikus dan sangat berhati hati dengan apa yang dilakukan.
Bila si ayah tak ada di rumah, mereka rasa tenang dan boleh menjalani kehidupan tanpa rasa cemas. Bila ayahnya balik mereka semua akan masuk bilik dan duduk diam kerana risau ayahnya mengamok.
Gambar hiasan
Untuk makan ibunya memasak apa yang ada, kadang berhutang untuk membeli makanan untuk dia dan adik beradiknya.
Kedua-dua abangnya hanya bersekolah sehingga tahap tingkatan 5 dan mereka terpaksa mencari kerja untuk menampung hidup yang susah.
Abang-abangnya adalah mangsa dera ayahnya dan mereka pernah lari dari rumah kerana tidak tahan dipukul ayahnya. Namun balik semula kerumah kerana ingat pada ibu mereka dan risau keadaan ibunya.
Remaja ini bernasib baik kerana cemerlang dalam pelajaran dan dapat melanjutkan pelajaran di Universiti.
Bagaimanapun kesempitan hidup membuatnya rasa sangat sukar meneruskan pengajian kerana kekurangan duit untuk makan dan keperluan pembelajaran.
Apa pun remaja ini masih bersemangat untuk terus belajar dan lulus cemerlang dalam pengajiaanya supaya dapat membela keluarganya nanti. Dia berazam untuk cepat mencari pekerjaan selepas tamat belajar nanti untuk membantu keluarganya dan keluar dari kemelut kemiskinan.
Gambar hiasan
Kisah remaja ini adalah kisah satu dalam beribu-ribu kes penderaan yang dilakukan seorang ayah terhadap anak-anaknya. Mengikut statistik yang diterima dari PDRM, 70 peratus daripada 1,798 kes penderaan di seluruh negara dalam tempoh 3 tahun ini, pelakunya melibatkan ahli keluarga sendiri.
Bapa kandung merupakan pendera utama anak anak mereka. Malah dalam satu kajian yang dijalankan oleh pelajar Jabatan Psikologi di salah sebuah universiti tempatan mendapati ayah yang mendera anak-anak terdiri dari mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga, menghadapi masalah sikap panas baran, kurang pendidikan agama, suka berfoya-foya, ego yang tinggi iaitu rasa dirinya saja betul dan hidup dalam persekitaran yang sangat ganas dan tidak ada sifat kasih sayang dan belas kasihan.
Faktor yang mendorong si ayah menjadi ganas dan panas baran ialah masalah kewangan, pertengkaran dengan isteri, atau orang luar yang menyebabkan anak2 jadi mangsa keadaan, gagal mengawal nafsu seks, kurang didikan agama, penyalahan gunaan dadah, terlibat dalam kes kes perjudian dan bergaul dengan golongan yang sering terlibat dengan kegiatan tidak bermoral.
Anak-anak yang didera ini akan mengalami trauma sepanjang hayat mereka, Ada antaranya mungkin terikut dengan sikap bapanya yang ganas dan ada juga yang sebaliknya dimana mereka lebih insaf dan tidak mahu menlakukan perkara yang sama pada keluarga mereka apabila dewasa nanti. Penderaan anak anak juga menyebabkan kes kes lari dari rumah, jenayah juvanile, keciciran dalam persekolahan dan penyalahgunaan dadah.
Apa pun hidup ini satu putaran bagi mereka yang sentiasa menyeksa anak-anak dan isteri. Akan ada balasan yang mereka terima atas perbuayan ini.
Ayah -ayah seperti ini lah yang banyak merosakkan masyarakat dan melahirkan ramai manusia bermasalah dan sakit mental. Banyak kes ayah yang dihantar ke rumah orang tua adalah kerana masa lalu mereka yang sangat tidak sihat dan menyebabkan anak-anak menderita.
Statistik juga menunjukkan lebih ramai kaum lelaki yang tinggal di pusat pusat penjagaan orang-orang tua berbanding wanita. Antara salah satu faktor ialah masa silam mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga dan penderaan mental dan fizikal yang mereka lakukan terhadap ahli keluarga.
Balasan di dunia mereka sudah terima sebelum mati dan kita tidak tahu balasan di akhirat nanti macam mana. Itu antara dia dan Allah.
Justeru ibu bapa yang sering mendera anak-anak dan sentiasa tegas yang melampau, fikirkan bahawa kita semua tidak sentiasa muda dan sentiasa sihat dan kuat.
Setiap perbuatan akan ada balasannya. Lambat atau cepat semua daripada Allah. Anak-anak adalah mereka yang kita harapkan menjaga kita bila tua nanti.
Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak. Beri mereka kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya. Tak salah mendidik anak dengan ketegasan tetapi jangan sampi mendera mental dan fizikal mereka.
Anak anak adalah harta yang tidak ternilai besarnya buat ibu bapa, maka sayangi dan jaga mereka dengan penuh kasih sayang. - KitaReporters