Tan Chong bertanya sesuatu kepada salah seorang peserta yang mengikuti Program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Labis pada 19 Ogos 2024.



Lebih 300 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok dan Tenang mendapat manfaat Program MyLesen B2 bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 secara percuma.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong berkata, mereka yang terpilih untuk menyertai program tersebut adalah terdiri daripada golongan B40 sebagai mana yang disyaratkan.

"Selain itu mereka juga mestilah tidak pernah memiliki lesen memandu mana-mana kelas, tidak mempunyai saman dan tidak disenarai hitam serta tidak cacat.

Peserta Program MyLesen B2 mendengar nasihat yang disampaikan oleh Tan Chong semasa ADUN Bekok itu hadir menyantuni mereka di Pusat Latihan Memandu Labis, Johor.


Tan Chong berbincang sesuatu dengan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Segamat, Johor, Zabidi Yusuf (tengah) ketika melawat perlaksanaan Program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memaandu Labis, Johor.


"Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar adalah golongan remaja termasuk remaja Orang Asli dari tujuh perkampungan Orang Asli yang terdapat di kedua-dua kawasan ADUN berkenaan," katanya selepas menyantuni peserta MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Labis pada 19 Ogos 2024.

Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan menasihatkan peserta agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengelakkan daripada terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti lumba haram selepas memperolehi lesen B2 nanti.

Mellisa Nasir.

Sementara itu salah seorang calon, Mellisa Nasir, 23, dari Perkampungan Orang Asli Lenek, Bekok menyifatkan program tersebut sebagai peluang terbaik dia dan rakan lain untuk mendapatkan lesen motosikal B2 secara percuma. 

Katanya, selain tiada sebarang bayaran dikenakan, semua proses bermula ceramah sehinggalah ke ujian di litar dijalankan secara berkelompok bersama rakan-rakan, sekali gus dapat mengurangkan rasa gementar dan memberi keyakinan yang lebih untuk melakukan segala ujian.


Shah Haikal Salim.

Bagi Shah Haikal Salim,17, dari Perkampungan Orang Asli Segamat Kecil, Labis pula, dia turut menyambut baik program tersebut kerana dapat membantu golongan remaja Orang Asli memiliki lesen motosikal B2 yang sah.

"Kos untuk mendapatkan lesen yang agak mahal merupakan antara punca utama kami remaja Orang Asli tidak mengambil lesen sebelum ini. Situasi tersebut sebenarnya agak membataskan pergerakan kami termasuk untuk mencari kerja luar dari kawasan kampung.

"Melalui penganjuran program sebegini, kami bukan sahaja berpeluang memiliki lesen yang sah, malah boleh meneroka pelbagai peluang yang ada berikutan tidak perlu ragu untuk keluar mencari bekerja selepas ini," katanya. - KitaReporters

8
14
0
18
0

Copy Link: