Syafakallah Yusof Kelana! Kini derita kanser kulit tahap 4!

Published by
KitaReporters
PENGGIAT seni veteran Yusof Kelana, 66, kini menderita kanser kulit tahap empat. Dia tidak menyangka kanser itu cepat merebak hingga ke tahap serius itu. Menurut Yusof kepada sebuah media, ia bermula apabila mengalami sakit pada kaki, namun semakin membesar. : KitaReporters

Yusof Kelana dikunjungi Datuk Yusof Haslam dan Mohd Noor Kadir. - Kredit foto: IG @mohdnoorkadir


Pada mulanya, Yusof, atau nama sebenarnya Omar Saleh, enggan menerima rawatan kerana mengganggap ia cuma luka biasa.  

Bagaimanapun apabila luka itu semakin membesar dan terasa semakin sakit, anaknya terus membawanya ke hospital pada bulan Jun lalu.

Setelah menjalani ujian Computed Tomography atau CT Scan dan untuk mendapatkan lebih kepastian, diambil tisu, maka dia disahkan menghidap kanser kulit tahap empat, pada dua minggu lalu. 

Dia kini dirawat di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan kemoterapi.

Yusof terus berjuang untuk memulihkan penyakitnya setelah puluhan ribu ringgit dihabiskan untuk rawatan di hospital.

Selepas ini, dia akan mendapatkan rawatan alternatif

Baginya kesihatan penting dirawat walaupun terpaksa menghabiskan banyak wang dan mencuba pelbagai cara untuk mendapat rawatan.

Yusof Kelana ketika pelancaran filem arahannya 'Bidong The Boat People' pada 2018


Hati Yusof terubat apabila sering menerima kunjungan rakan di hospital. Antara rakan yang menziarah ialah  Datuk Yusof Haslam, Mohd Noor Kadir dan A. Galak.

Sebelum dimasuk ke hospital, Yusof Kelana melakukan kerja menyiapkan proses akhir bagi filem ‘Mahathir the Journey’  dan dokumentari berjudul ‘Kota Kota Yang Ditinggalkan’  untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebanyak 13 episod.

Yusof Kelana merupakan antara pelakon, pengarah dan produser filem yang produktif. Dia pernah berlakon dan mengarah dalam sejumlah siri kepolisian ‘Gerak Khas’.

Yusuf Kelana pertama kali mengarah filem berjudul ‘Juara’ pada 1996, diikuti ‘Tragedi Oktober’ pada 1996, ‘MX3’ (2003), ‘Pontianak Menjerit’ (2005), ‘Bahaya Cinta’ (2010) dan ‘Bidong the Boat  People’ (2018)  di bawah syarikatnya, ME Communication.  

Dia kemudian menubuhkan satu lagi syarikat, YKS Film Maker. - KitaReporters

0
0
1
0
0

Copy Link: